Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) meraikan ulang tahunnya yang ke-53 pada 16 September.
Pengumuman ini dikongsi oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, menerusi catatannya di media sosial, di mana beliau juga berkongsi fakta menarik tentang tarikh penubuhan kementerian tersebut.
“Kementerian ini juga berkongsi tarikh hari lahir yang sama dengan Perdana Menteri Pengasas Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew!” tulis Cik Fu di Instagram dan Facebook.
“53 tahun lalu, Singapura merupakan antara negara terawal yang menubuhkan Kementerian Sekitaran (atau ENV) bagi menangani isu-isu seperti kawalan pencemaran dan kesihatan alam sekitar.
“Sejak itu, peranan, struktur, malah nama kami telah berkembang untuk menghadapi keadaan alam sekitar yang berubah dan memenuhi cabaran kemampanan yang baru,” tulisnya lagi.
Cik Fu juga turut memuat naik video di mana beliau mengajak rakan-rakan sekerjanya untuk berkongsi kenangan mereka sepanjang lima dekad lalu.
Salah seorang kakitangan MSE berkata beliau masih ingat lagi trak-trak kementerian sekitaran yang akan ke pintu rumah untuk mengambil sampah.
“Apabila kami baru mula, kerja sekitaran dilakukan oleh pihak kementerian sendiri,” ujar Cik Fu membalas komen rakan kerjanya dalam video itu.
Seorang lagi kakitangan MSE mengimbau kembali bagaimana kementerian itu dahulunya dikenali sebagai Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) sebelum ia bertukar nama kepada MSE pada 2020.
Cik Fu juga mengucapkan terima kasih kepada penjaga keselamatan yang telah bekerja 20 tahun di MSE, kerana menjaga para peserta semasa acara tahunan ‘Vertical Marathon’.
Mengakhiri video itu, Cik Fu berkata: “Sambil kami meraikan ulang tahun MSE yang ke-53, kami memperbaharui komitmen kami untuk menjadikan Singapura lebih hijau dan lebih berdaya tahan demi generasi seterusnya.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg