Maulid Nabi bukanlah sekadar perayaan tahunan, bahkan ia kesempatan untuk memperbaharui kecintaan kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw.
Setiap kali dirai, ia menjadi jambatan untuk menyemai kasih, memperteguh iman, dan mempererat ukhuwah sesama insan.
Pada 2025, Masjid Alkaff Kampung Melayu, yang terletak di Bedok Reservoir Road, terus teguh melangkah walaupun sedang menjalani projek peningkatan prasarana selama dua tahun.
Hampir 60 peratus kawasan kini ditutup buat sementara, menjadikan ruang ibadah lebih kecil daripada biasa.
Namun, semangat masjid untuk berkhidmat sebagai pusat ibadah, pendidikan, dan kebajikan tidak pernah luntur.
Malah, cabaran ini menjadikan kami lebih bertekad menyediakan ruang kebersamaan yang bermakna buat keluarga, sahabat dan masyarakat.
Majlis Maulidur Rasul akan berlangsung pada Sabtu, 6 September, dari 10 pagi hingga 9 malam, dengan susunan atur cara penuh pengisian rohani dan kasih sayang Rasulullah saw.
1. Segmen waktu pagi – khusus untuk Muslimah: Sesi ceramah bertajuk, ‘Muslimah di Sisi Rasulullah: Cahaya Kasih Dakwah’, oleh Ustazah Syariati Sulaiman.
2. Tarikan istimewa sepanjang hari: Persembahan indah daripada Kumpulan Selawat dan Diba’i, Majlis Nur Nabawiy, serta Munsyideen Masjid Hajah Fatimah.
3. Segmen petang dan malam: Segmen nasihat daripada asatizah tempatan dan Forum Maulid yang menjadi kemuncak sambutan.
Lebih istimewa, forum selepas solat maghrib bakal menampilkan jemputan khas dari seberang Tambak – sesuatu yang wajar dinantikan oleh jemaah sekalian.
Projek peningkatan prasarana ini adalah usaha jangka panjang demi memastikan generasi akan datang dapat terus beribadah, menuntut ilmu, dan menerima manfaat kebajikan dalam suasana yang lebih selesa dan kondusif.
Masyarakat Muslim digalak bukan sahaja hadir ke Majlis Maulid 2025 malah turut menyokong usaha mulia ini.
Pelbagai gerai jualan menarik akan disediakan, termasuk gerai khas masjid di mana hasil jualan disalurkan terus kepada Dana Peningkatan Masjid.
Sekiranya anda ingin menyalurkan sumbangan bagi menjayakan acara ini, bolehlah melakukannya melalui PayNow dengan kod rujukan MAULID25, atau terus ke pejabat Masjid Alkaff Kampung Melayu.
Akhir sekali, marilah kita bersama-sama menghidupkan Rabiulawal ini dengan memperbanyak selawat, menghayati pengajaran para alim ulama, serta membumikan sunah Rasulullah saw dalam kehidupan harian.
Inilah masanya untuk memperbaharui tekad mencontohi akhlak Baginda, memperkukuh nilai kekeluargaan, dan membina masyarakat Muslim yang yakin, berdaya tahan, serta sentiasa diberkati Allah swt.
Penulis merupakan Ketua Dakwah di Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Naib Kadi di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).
SEKILAS
Cara menderma kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:
1. Khidmat pungutan derma dari rumah: sila hubungi pejabat masjid untuk janji temu di talian 6242-7244.
2. Pemindahan bank ke dalam akuan OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’ dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg
3. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
4. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘MUP MAKM’ di bahagian ‘Rujukan’.
5. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg