SGSecure tingkat kesedaran warga S’pura tentang ancaman radikalisasi
SGSecure tingkat kesedaran warga S’pura tentang ancaman radikalisasi
MHA seru warga S’pura agar teroka cara perkukuh langkah pencegahan, pengesanan, dan respons terhadap ancaman pengganasan
Buat kali pertama dalam mesej antipengganasan, pihak berkuasa menampilkan seorang wanita sebagai pengganas untuk menekankan sesiapa sahaja boleh terdedah kepada ancaman radikalisasi.
Semasa melancarkan kempen SGSecure baru pada 5 Mac, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyeru warga Singapura untuk meneroka cara memperkukuh langkah pencegahan, pengesanan, dan respons mereka terhadap ancaman pengganasan.
Kempen ‘Play Your Role’ (Mainkan Peranan Anda) di bawah SGSecure dilancarkan di pusat beli-belah di Bishan, Junction 8, bagi menggalak warga Singapura bersikap proaktif sebelum, semasa dan selepas serangan pengganas berlaku.
Kempen ini merupakan siri pertama bagi ‘SGSecure Roadshow’ baharu, yang akan diadakan di serata negara pada 2026.
MHA berkata ancaman pengganasan terhadap Singapura kekal tinggi, terutamanya didorong oleh radikalisasi sendiri secara dalam talian.
Radikalisasi dalam kalangan belia juga menjadi satu kebimbangan bagi negara.
Kempen ini juga termasuk sebuah filem pendek yang bertajuk ‘Closer Than We Think’ (Lebih Dekat Dari Yang Disangka).
Filem ini bermula dengan seorang wanita meledakkan bom di sebuah estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan kemudian menyingkap kembali peristiwa yang membawa kepada kejadian itu – termasuk peluang yang tidak dimanfaatkan anggota keluarga dan orang di sekeliling untuk campur tangan.
Radikalisasi sendiri wanita itu secara dalam talian turut didedahkan, bersama tanda amaran yang tidak disedari.
Merujuk kepada pengganas wanita dalam filem tersebut, pengarah pejabat program SGSecure, Encik Matthias Chew, berkata kepada The Straits Times (ST):
“Kami memilih profil yang tidak dijangka kerana kami ingin sampaikan mesej sesiapa sahaja boleh terdedah kepada radikalisasi, justeru semua orang perlu berwaspada.”
MHA berkata mesej utama filem ini ialah, sesiapa sahaja – tanpa mengira umur, jantina, agama atau bidang kerjaya – boleh terdedah kepada radikalisasi.
MHA menambah laporan awal kepada pihak berkuasa mengenai tingkah laku yang disyaki radikal membolehkan individu tersebut menerima bantuan tepat pada masanya.
Majlis itu dihadiri oleh Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong; serta Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Cik Sim Ann.
Encik Tong berkata:
“Eksperimen sosial SGSecure yang dijalankan tahun lalu (2025) menunjukkan ramai daripada kita tidak berhati-hati seperti yang disangka, mungkin kerana ramai warga Singapura tidak merasakan serangan pengganas boleh berlaku di Singapura.
“Melalui kempen baharu ‘Play Your Role’, kami berharap dapat mengalihkan tumpuan daripada kesedaran semata-mata kepada galakan supaya warga Singapura mengambil tindakan dan memastikan Singapura selamat daripada pengganasan.
“Serangan pengganas di Singapura bukan sesuatu yang mustahil. Dengan siri baru SGSecure Roadshow, kami berharap dapat menekankan pengganasan mungkin lebih dekat daripada yang disangka, dan ia sebenarnya bukan soal ‘jika’, tetapi ‘bila’ (ia akan berlaku).”
Gerakan SGSecure telah melibatkan anggota masyarakat sejak 2016 – untuk membina kesedaran, melatih, dan mengerah warga Singapura supaya memainkan peranan dalam mencegah dan menangani serangan pengganas.
Kempen baru ini menekankan enam peranan yang boleh dimainkan warga Singapura dalam pelbagai situasi bagi memastikan keselamatan negara.
Ini termasuk menjadi penjaga yang tenang dan pantas memimpin orang lain keluar dari bahaya; pemeriksa fakta yang menangkis berita palsu bagi menghentikan penyebarannya; serta penyelamat yang dilatih dengan kemahiran kecemasan bagi bertindak sewajarnya.

