Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Dr Amy Khor, telah melancarkan pelekat kereta ‘Ride clean, Pay the fare’ baru bagi menggalak etika yang baik dan sikap berbudi semasa menaiki teksi dan kereta sewa privet (PHC).
Menerusi satu hantaran di Facebook pada 10 Februari, Dr Khor berkata ia sebahagian daripada Kempen Baik Budi Dalam Pengangkutan Awam, yang dikendalikan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) – ‘We Keep Your World Moving’ dan Pergerakan Baik Budi Singapura.
Dalam pada itu, beliau turut mengadakan satu perbincangan dengan Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Yeo Wan Ling, yang juga penasihat bagi Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA).
Mesyuarat Jawatankuasa Tiga Pihak Pengangkutan Tempat Ke Tempat (P2PTTC) itu turut melibatkan anggota Persatuan Teksi Nasional (NTA) dan NPHVA serta operator teksi dan PHC.
Dr Khor berkata:
“Selama bertahun-tahun lamanya, P2PTTC, telah menjadi wadah perbincangan bermakna dan membantu memberi sokongan yang lebih baik kepada pemandu kami.
“Ini dilakukan sambil berkongsi maklum balas berharga dengan pengendali untuk menambah baik tawaran perkhidmatan secara keseluruhan.
“Sebagai contoh, dengan pengendali mempertingkatkan aplikasi mereka, penumpang kini lebih mudah menempah perkhidmatan yang betul dan menyatakan keperluan mereka untuk tempat duduk kanak-kanak atau ruang bagi kerusi roda berlipat.
“Ini memudahkan pemandu dalam memberikan perkhidmatan P2P yang selamat dan cekap.”
Dengan perkongsian tiga pihak yang kukuh, Dr Khor melahirkan keyakinan lebih banyak inisiatif akan dihasilkan daripada dialog sedemikian, untuk memberi manfaat kepada pemandu, penumpang, dan bagi menyokong pertumbuhan sektor P2P.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg