Sekitar 22,000 individu telah mendaftar untuk “bergerak” dalam tempoh tiga minggu akan datang – sama ada dengan berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam – bagi peluang menebus barangan eksklusif Hello Kitty.
Daya usaha ‘Hello Kitty’s Move Lite Adventure’ oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dilancarkan bagi menggalak warga Singapura mengamalkan tabiat perjalanan yang mampan.
Pendaftaran yang bermula pada 4 September itu masih dibuka di laman movelite2025.42campaign.io.
Setakat ini, sambutan bagi daya usaha tersebut telah melebihi sasaran awal LTA iaitu seramai 10,000 peserta, kata Timbalan Pengarah Komunikasi Pemasaran LTA, Cik Gina Chin.
Dari 1 hingga 21 November, peserta boleh memperoleh duit syiling digital dengan menjawab soalan dalam kuiz harian di laman web, dengan jumlah syiling bertambah pada pusingan kuiz seterusnya.
Peserta juga boleh menyertai larian/perjalanan maya sejauh 50 kilometer dengan menamatkan 12 segmen perjalanan mengikut kemampuan masing-masing.
Selepas menamatkan 3 kilometer pertama, peserta akan menerima sijil elektronik Hello Kitty.
Duit syiling yang diperoleh boleh digunakan untuk menebus barangan Hello Kitty, termasuk gantungan beg, rantai telefon dan pin enamel.
Dari 7 hingga 21 November, peserta boleh mengumpul setem digital unik Hello Kitty dan duit syiling dengan mengimbas kod QR di 15 stesen MRT, termasuk Botanic Gardens, Maxwell, Orchard, Tampines, dan Woodlands.
Kereta api bertema Hello Kitty kini beroperasi di Laluan North East (NEL), Laluan Downtown (DTL) dan Laluan Thomson-East Coast (TEL) sehingga 23 November.
Penumpang yang memuat naik swafoto di dalam kereta api bertema atau hiasan Hello Kitty di stesen, berpeluang memenangi medal eksklusif ‘Hello Kitty’s Move Lite Adventure’ menerusi pertandingan media sosial LTA dari 28 Oktober hingga 9 November.
Kempen ini akan diakhiri dengan acara penutup di One Holland Village dari 21 hingga 23 November, yang menampilkan penebusan barangan, reruai foto Hello Kitty, serta aktiviti poskad setem yang boleh dicap di pelbagai lokasi dalam pusat beli-belah itu.
Peserta juga boleh memilih untuk mendapatkan barangan yang ditebus itu dihantar terus ke rumah dengan bayaran penghantaran sebanyak $6.
Memaparkan Hello Kitty dalam kempen Move Lite LTA pada 2025 “menambah elemen keseronokan dan kemesraan dalam perjalanan seharian”, kata Cik Chin.
“Dengan daya tarikan yang meluas merentasi semua peringkat umur, kami percaya ia (Hello Kitty) boleh memberi inspirasi kepada semua – kanak-kanak, keluarga, golongan muda, dan orang dewasa – untuk mengamalkan tabiat perjalanan yang mampan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg