Calon Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) telah membelanjakan lebih $13 juta bagi meraih sokongan para pengundi Singapura, dengan hampir separuh daripada jumlah tersebut digunakan untuk iklan fizikal seperti poster dan sepanduk.
Iklan dalam talian pula merangkumi sekitar 16 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan.
Parti-parti politik pula telah membelanjakan sebanyak $1.7 juta – atau sekitar 13 peratus – untuk perhimpunan fizikal, yang kembali dianjurkan selepas ketiadaannya pada GE2020 akibat pandemik Covid-19.
Perbelanjaan selebihnya digunakan untuk kos lain seperti penyewaan pejabat, peralatan, bekalan dan pengangkutan, lapor The Straits Times (ST).
Secara keseluruhan, jumlah yang dibelanjakan parti-parti politik meningkat sekitar 42 peratus berbanding GE2020, yang mencatatkan jumlah perbelanjaan sebanyak $9.2 juta.
Seramai 211 individu bertanding dalam pilihan raya pada 3 Mei dan senarai penuh perbelanjaan pilihan raya telah diterbitkan di laman web Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada 27 Jun untuk semakan awam.
Parti Tindakan Rakyat (PAP) mencatat perbelanjaan tertinggi – iaitu sebanyak $9.4 juta untuk bertanding kesemua 97 kerusi di Parlimen, berbanding jumlah gabungan $3.6 juta oleh 10 parti pembangkang dan dua calon bebas.
Dalam kalangan parti pembangkang, Parti Pekerja (WP) mencatat perbelanjaan tertinggi dengan membelanjakan $1.6 juta untuk 26 calonnya.
Ini diikuti Parti Demokratik Singapura (SDP), yang membelanjakan $583,440 untuk 11 calon, dan seterusnya Parti Kemajuan Singapura (PSP) dengan perbelanjaan sebanyak $441,548 untuk 13 calon.
ELD sebelum ini telah menerbitkan dua siri penyata perbelanjaan pilihan raya dalam talian untuk semakan awam.
Kesemua parti membelanjakan kurang daripada had maksimum yang ditetapkan, iaitu $5 bagi setiap pengundi – peningkatan daripada $4 pada GE2020, bagi mengambil kira kesan inflasi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg