Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerugian akibat penipuan pesanan pukal cecah $6.8j sejak Apr

Aug 27, 2024 | 6:50 PM
Aplikasi ScamShield akan menunjukkan warna merah jika mesej, nombor telefon atau laman web mempunyai unsur penipuan.
Aplikasi ScamShield akan menunjukkan warna merah jika mesej, nombor telefon atau laman web mempunyai unsur penipuan. - Foto ST

Peningkatan kes penipuan pesanan pukal yang menyasarkan sektor ubah suai, makanan dan minuman, runcit serta perkhidmatan telah menjerat ratusan mangsa yang kerugian berjuta-juta dolar.

Polis berkata pada 27 Ogos bahawa 427 kes telah dilaporkan sejak April 2024, dengan jumlah kerugian mencecah sekurang-kurangnya $6.8 juta.

Menurut The Straits Times (ST), jumlah itu adalah lonjakan besar daripada nasihat awal polis pada 26 Jun yang menyaksikan 60 mangsa kerugian $831,000 sejak 12 April.

Polis berkata skim itu biasanya bermula dengan penipu menyamar sebagai seorang guru daripada sekolah tempatan.

Penipu biasanya menelefon atau menghantar teks kepada restoran, peruncit dan perniagaan berkaitan perkhidmatan menerusi WhatsApp dengan membuat pesanan pukal atau membuat tempahan.

Mereka kemudian meminta item tambahan, atau item daripada jenama yang tidak disimpan oleh syarikat perniagaan, atau jumlah yang tidak dapat dipenuhi oleh peruncit dalam masa yang singkat.

Sebaliknya, penipu akan mengesyorkan pembekal palsu untuk mangsa membeli barangan tersebut.

Sesetengahnya mungkin memberikan tangkap layar dokumentasi pembayaran palsu untuk membuktikan bahawa mereka telah membayar sebahagian daripada pesanan pukal lebih awal.

Ini sekali gus akan meyakinkan mangsa untuk membuat bayaran pendahuluan bagi pesanan yang dibuat dengan pembekal palsu, tambah polis.

Mangsa menyedari telah ditipu apabila mereka tidak menerima apa-apa bayaran daripada “pelanggan”, atau apabila pembekal palsu tidak menghantar barang, atau apabila kedua-dua “pelanggan” dan “pembekal” langsung tidak dapat dihubungi.

Polis menasihatkan syarikat perniagaan supaya mengamalkan langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada terjerumus dalam penipuan.

Mereka harus mengesahkan identiti pihak yang berkaitan dengan mereka secara bebas. Mereka harus mengelak daripada membuat bayaran pendahuluan atau cengkeram kepada pembekal baru.

Mereka juga harus mengatur pertemuan dengan pembekal dan hanya membayar selepas pesanan telah dihantar.

Selain itu, mereka harus menyemak tanda-tanda penipuan melalui sumber rasmi seperti WhatsApp ScamShield dan laman web itu.

Mereka juga harus menyemak ulasan pembekal untuk membuktikan kesahihan mereka sebelum membuat sebarang pembelian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg