Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan 9,144 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada 15 Oktober.
Ia termasuk flat pertama di dua kawasan perumahan baru – Mount Pleasant di Toa Payoh dan Berlayar, terletak di bekas tapak Kelab Keppel di Bukit Merah.
Secara keseluruhan, 10 projek ditawarkan di Ang Mo Kio, Bedok, Bishan, Bukit Merah, Jurong East, Sengkang, Toa Payoh dan Yishun.
Bagi Berlayar Residences – projek pertama di kawasan Greater Southern Waterfront – kadar pemulangan subsidi ditetapkan pada 14 peratus, tertinggi setakat ini.
Kadar bagi flat Prime pada tawaran jualan Julai lalu adalah antara 11 peratus dengan 12 peratus.
Kadar itu merujuk kepada peratusan bayaran oleh pemilik kepada HDB hasil harga jualan semula atau nilainya, mana-mana yang lebih tinggi.
Pemulangan itu sejajar dengan tahap subsidi tambahan yang ditawarkan, kata HDB.
Terdapat juga Tempoh Penginapan Minimum (MOP) selama 10 tahun bagi flat tersebut.
Kadar pemulangan di Mount Pleasant Crest di Toa Payoh dan Redhill Peaks di Bukit Merah ditetapkan pada kadar 12 peratus. Di Bishan Terraces pula, kadarnya adalah 10 peratus.
Satu-satunya projek di bawah klasifikasi Plus, Oak Ville @ AMK di Ang Mo Kio Avenue 5, yang menempatkan 1,425 unit, mempunyai kadar pemulangan 7 peratus dengan MOP 10 tahun juga.
Lima projek Standard pula tidak mempunyai klausa pemulangan subsidi dan hanya memerlukan MOP lima tahun.
Berlayar Residences menempatkan 880 unit flat dua bilik jenis fleksi, tiga dan empat bilik antara stesen MRT Telok Blangah dengan Labrador Park.
Ia mempunyai tempoh menunggu empat tahun lapan bulan.
Mount Pleasant Crest di Toa Payoh pula menawarkan 1,348 unit, termasuk 270 flat sewa awam, dengan tempoh menunggu selama empat tahun 11 bulan.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, dalam hantaran di media sosial pada 15 Oktober, berkata pelancaran lebih 9,000 flat itu mencerminkan usaha berterusan pemerintah dalam memastikan perumahan awam kekal mampu milik dan bermutu.
Menurutnya tawaran jualan BTO bagi Oktober adalah yang pertama ibu bapa dan anak-anak mereka tidak kira status perkahwinan, boleh memohon secara bersama bagi dua unit dalam projek BTO yang sama di bawah Skim Penjagaan Keluarga (Undian Bersama).
Ini agar mereka dapat tinggal bersama, katanya.
Beliau berkata lebih satu pertiga flat yang ditawarkan ialah kategori Masa Tunggu Lebih Singkat (SWT) dengan tempoh menunggu kurang tiga tahun.
Bagi meningkatkan kemampuan, semua flat baru ditawarkan dengan diskaun pasaran ketara, manakala flat Plus dan Prime menerima subsidi tambahan.
Keluarga pemohon kali pertama yang layak juga boleh menerima geran sehingga $120,000.
Permohonan ditutup pada 11.59 malam, 22 Oktober, di Portal Flat HDB.
Dalam pelancaran seterusnya pada Februari, sekitar 4,600 flat akan ditawarkan di Bukit Merah, Sembawang, Tampines dan Toa Payoh, tidak termasuk 3,000 flat baki.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg