Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenali ‘chatbot’ yang boleh buat keputusan untuk pengguna

Kemajuan AI tanda peralihan teknologi; peranan manusia dalam pelbagai industri dijangka terus berkembang
Dec 23, 2024 | 2:31 PM
Kecerdasan buatan (AI) berautonomi secara proaktif menentukan langkah yang diperlukan untuk mencapai matlamat yang ditentukan pengguna, seperti memesan piza, tanpa memerlukan campur tangan manusia dalam proses tersebut.
Kecerdasan buatan (AI) berautonomi secara proaktif menentukan langkah yang diperlukan untuk mencapai matlamat yang ditentukan pengguna, seperti memesan piza, tanpa memerlukan campur tangan manusia dalam proses tersebut. - Foto ADOBE

Bayangkan masa depan apabila anda hanya perlu mengarahkan chatbot untuk memesan piza dengan nota tambahan ‘tanpa cendawan, keju sahaja, kerak nipis, dari tempat dengan pendapat dan ulasan yang baik’. 

Anda boleh duduk santai sementara chatbot melungsuri Internet, membaca pendapat dan ulasan, berinteraksi dengan chatbot lain dan membuat pesanan yang dikhususkan untuk anda tanpa jerih payah.

Chatbot jenis ini, yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) berautonomi, dikenali sebagai agentic AI, telah digembar-gemburkan sebagai gelombang ketiga AI. 

Teknologi itu mampu membuatkan keputusan bagi pihak pengguna.

Digambarkan oleh pembuat cip Nvidia sebagai “sempadan baru AI”, teknologi itu menandakan gelombang kemajuan seterusnya selepas teknologi pembelajaran mesin dan kemunculan alat AI generatif seperti ChatGPT dan Midjourney sejak 2022, yang mampu mencipta kandungan.

Berbeza daripada sistem AI terdahulu, AI berautonomi secara proaktif menentukan langkah yang diperlukan untuk mencapai matlamat yang ditentukan pengguna, seperti memesan piza, tanpa memerlukan campur tangan manusia dalam proses tersebut.

Keupayaan pemikiran AI yang semakin baik menandakan peralihan asas dalam apa yang AI mampu lakukan untuk pengguna, tetapi ia juga membawa risiko baru dari segi kerosakan yang mungkin berlaku.

Pada Oktober, syarikat AI Anthropic telah melancarkan kemas kini untuk chatbot, Claude 3.5 Sonnet, yang boleh mengambil alih tetikus dan papan kekunci pengguna secara maya untuk menyelesaikan tugasan seperti memesan piza dengan melayari web.

Perkhidmatan Web Amazon (AWS), yang bekerjasama dengan Anthropic, memperkenalkan model AI berautonomi baru itu kepada media antarabangsa pada Oktober, sambil memberikan gambaran tentang keupayaan AI terkini – serta risiko yang mungkin timbul jika model AI itu bertindak di luar kawalan.

Bagaimana AI berautonomi berfungsi?

Model AI berautonomi membahagikan tugasan yang rumit kepada tugasan kecil, dilengkapi dengan keupayaan memeriksa hasil kerja mereka sendiri. 

Malah ia boleh melibatkan manusia untuk membantu jika mereka tidak dapat menyelesaikan tugasan tertentu.

Berbeza dengan alat AI terdahulu yang hanya beroperasi berdasarkan peraturan ringkas – seperti menghidupkan pemanas apabila suhu menurun – agen AI moden kini dapat membangunkan strategi untuk melaksanakan tugasan berdasarkan arahan pengguna.

Kini, dengan model AI berautonomi milik Anthropic yang mampu memahami dan menggunakan aplikasi di komputer, ia boleh menangani pelbagai tugasan merentasi pelbagai platform, kata Naib Presiden Teknologi AWS, Cik Mai-Lan Tomsen Bukovec, lapor The Straits Times.

AWS telah melangkah lebih jauh dengan menunjukkan bagaimana Claude 3.5 Sonnet boleh memesan piza secara dalam talian.

Daripada melayari laman web atau menggunakan aplikasi, pengguna hanya perlu menaip arahan dalam kotak sembang atau chat box, seperti ChatGPT.

Claude kemudian menjalankan tugasnya.

Ia menatal, mengklik, dan menaip sambil menjelaskan setiap langkah kepada pengguna semasa ia mengendalikan komputer.

Ia membuka pelayar Internet, melayari laman web piza, memilih piza yang diinginkan, mengisi butiran penghantaran pada halaman pesanan, sebelum kembali kepada pengguna untuk mendapatkan izin pembelian.

Dalam demonstrasi yang diadakan untuk media pada Oktober, Claude juga boleh menganalisis laman web produk golf berdasarkan arahan mudah yang dimasukkan oleh pengguna.

AI itu membuat keputusan sendiri bahawa cara terbaik untuk mencadangkan produk adalah dengan menyusun maklumat berdasarkan harga, penerangan produk, dan ulasan pengguna.

Adakah pekerjaan terancam?

Firma perunding McKinsey meramalkan bahawa AI boleh mengautomasi 30 peratus waktu kerja menjelang 2030, yang berpotensi mengubah landskap pekerjaan secara signifikan berbanding hari ini.

Dengan AI semakin banyak mengambil alih tugas secara berautonomi, peranan manusia dalam pelbagai industri dijangka terus berkembang.

Menurut penganalisis bakat, Encik Josh Bersin, dalam laporan pada September, pekerja perlu menyesuaikan diri dengan realiti.

Mereka bekerjasama dengan agen AI, seolah-olah ia rakan sekerja yang memerlukan latihan untuk melengkapkan tugasan.

Pengarah, Inovasi AI di AI Singapore, program nasional yang memacu penerapan teknologi itu, Encik Laurence Liew, berkata: 

“Kami melihat AI mengubah pekerjaan, bukan menggantikannya.”

Namun, peranan seperti kemasukan data, perkhidmatan asas pelanggan, penciptaan kandungan, pengekodan, dan pentadbiran kemungkinan besar akan diambil alih oleh AI, tambah beliau.

“Ini membebaskan masa pekerja bagi memberi tumpuan kepada pertanyaan yang memerlukan perhatian tambahan atau tugas yang lebih rumit, seperti perancangan strategik,” jelasnya.

Apakah risiko yang mungkin timbul?

Pada 2016, Microsoft terpaksa menghentikan operasi chatbot AI yang dituju kepada golongan muda. 

Chatbot tersebut telah belajar melalui interaksi dengan pengguna di Twitter, tetapi mula membuat komen bersifat perkauman selepas pengguna mengajarnya maklumat yang bersifat meng­hina.

Persoalan besar yang terus timbul adalah: Siapakah yang bertanggungjawab apabila program AI melakukan kesilapan?

Garis panduan di syarikat teknologi seperti IBM menekankan perlunya pemantauan manusia terhadap operasi AI berautonomi.

Menurut IBM, apabila agen AI membandingkan prestasinya dengan piawai yang dijangkakan dan membuat penyesuaian, kelulusan manusia mesti diberikan sebelum sebarang tindakan yang memberi kesan besar dilakukan oleh mesin.

Beberapa model AI berautonomi yang membantu mengisi borang, melengkapkan tugas pentadbiran di komputer, atau membuat pembelian bagi pihak pengguna turut membawa risiko pendedahan atau penyalahgunaan data peribadi.

Sebagai langkah perlindungan, Claude diprogramkan untuk melibatkan manusia dalam proses ketika ia hendak membuat pembelian atau mencipta akaun.

“Kami tidak mahu ia mampu mencipta akaun Instagram, contohnya,” kata Ketua Pegawai Produk Anthropic, Mike Krieger, merujuk kepada potensi penggunaan alat AI untuk menghasilkan akaun bot. 

“Itu adalah sesuatu yang anda perlu lakukan sendiri.”

Tanggungjawab terletak pada pembangun AI untuk mengehadkan kebebasan mesin dengan memprogramkan keperluan persetujuan dengan tepat dan jelas bagi manusia pada tahap genting.

“Berita baiknya adalah tugas-tugas yang boleh dilaksanakan AI berautonomi dihadkan kepada batasan yang ditetapkan oleh pembangunnya,” ujar Encik Liew.

“Kami melihat AI (kecerdasan buatan) mengubah pekerjaan, bukan menggantikannya... Ini membebaskan masa pekerja bagi memberi tumpuan kepada pertanyaan yang memerlukan perhatian tambahan atau tugas yang lebih rumit, seperti perancangan strategik... Berita baiknya adalah tugas-tugas yang boleh dilaksanakan AI berautonomi dihadkan kepada batasan yang ditetapkan oleh pembangunnya.”
Encik Laurence Liew, Pengarah, Inovasi AI di AI Singapore.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg