Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peranan penterjemah masih penting walau muncul ChatGPT, Google Translate

Penterjemah manusia faham nuansa bahasa, rujukan budaya, simpulan bahasa dan makna tersirat
Nov 15, 2024 | 7:02 PM
Timbalan Editor Berita di Berita Harian, Cik Nur Adilah Mahbob (tengah) berkongsi peri pentingnya peranan penterjemah manusia untuk menyampaikan nuansa bahasa, rujukan budaya, simpulan bahasa dan makna yang tersirat kepada masyarakat.
Timbalan Editor Berita di Berita Harian, Cik Nur Adilah Mahbob (tengah) berkongsi peri pentingnya peranan penterjemah manusia untuk menyampaikan nuansa bahasa, rujukan budaya, simpulan bahasa dan makna yang tersirat kepada masyarakat. - Foto BH oleh KHALID BABA

Walaupun terdapat kemajuan hebat dalam teknologi pembelajaran mesin terjemahan seperti Google Translate dan ChatGPT, penterjemah manusia masih diperlukan untuk menyampaikan nuansa bahasa, rujukan budaya, simpulan bahasa dan makna tersirat.

Ini kerana teknologi terjemahan semasa sering bergelut dengan nuansa yang diperlukan dan boleh menyebabkan terjemahan tidak tepat atau janggal, kata Timbalan Editor Berita di Berita Harian (BH), Cik Nur Adilah Mahbob.

Beliau berkata demikian semasa bercakap dalam satu sesi perbincangan panel di Persidangan Ulang Tahun ke-10 Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC) pada 15 November di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura.

Semasa perkongsiannya, Cik Adilah berkata dengan peralihan kepada media digital, adalah lebih penting untuk berita menjadi lebih pantas dan tepat bukan dari segi fakta sahaja, malah bahasa dan terjemahan.

Beliau memetik contoh bagaimana BH sebagai sebuah pertubuhan media Melayu Singapura telah membangunkan panduan dan glosarinya sendiri untuk membantu wartawan mengekalkan tahap penyeragaman, nada dan gaya tulisan tertentu merentas artikel berita yang berbeza.

Panduan dan glosari itu berfungsi sebagai rujukan buat wartawan melebihi pangkalan data istilah terjemahan pemerintah sedia ada, kata Cik Adilah, yang berkhidmat sebagai anggota Panel Sumber Melayu NTC sejak 2020.

“Terjemahan dalam laporan media perlu mengenali konteks Singapura. Kita perlu mempertimbangkan landskap budaya, sosial dan politik Singapura yang unik.

“Walaupun Singapura berkongsi hubungan linguistik dan budaya dengan negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia, terdapat perbezaan ketara dalam penggunaan bahasa dan konvensyen media,” ujar beliau.

Cik Adilah memetik contoh perkataan Inggeris government yang di Singapura biasanya diterjemahkan kepada ‘pemerintah’, tetapi kepada ‘kerajaan’ di Malaysia kerana sistem berajanya.

Semasa berkongsi pengalamannya, Cik Adilah, yang mula menjadi wartawan di BH pada 2010, berkata penterjemahan rencana berita dalam media cetak vernakular adalah proses kompleks yang memerlukan keseimbangan yang halus antara penyeragaman (standardization) dan penyetempatan (localisation).

Beliau menjelaskan bahawa walaupun penyeragaman perkataan terjemahan memastikan penggunan perkataan itu konsisten dan jelas, penyetempatan makna perkataan itu adalah penting untuk menangkap nuansa budaya agar dapat bergema dengan pembaca yang disasar.

“Memandangkan landskap media terus berkembang dengan kebangkitan kecerdasan buatan (AI) dan ChatGPT, elemen manusia kekal penting kerana penterjemah mencipta pengetahuan budaya dan pengalaman linguistik yang unik.

“Dengan memupuk pemahaman yang kukuh tentang kedua-duanya, penyeragaman dan penyetempatan, kita sebenarnya boleh meningkatkan mutu media, dan memastikan berita kekal boleh diakses dan menarik perhatian semua pembaca,” kata Cik Adilah.

Perkongsian Cik Adilah menyusuli pengumuman Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How, bahawa sebuah  Kumpulan Kerja Industri Penterjemahan baru telah dilancar untuk meningkatkan piawaian terjemahan di Singapura.

Beliau mengatakan demikian semasa berucap membuka persidangan itu pada 15 November.

Kumpulan kerja itu, yang akan diketuai bersama oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang , Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, akan meninjau landskap terjemahan Singapura, menyemak program pensijilan sedia ada, dan mengenal pasti individu berpotensi untuk berkhidmat sebagai piawaian nasional.

Penceramah lain semasa persidangan itu termasuk Pengarah Urusan ScreenBox Pte Ltd, Encik Sujimy Mohamad, yang berkongsi bagaimana beliau berjaya menghasilkan kempen yang sesuai dengan masyarakat Melayu menggunakan strategi pemasaran dan penceritaan.

Encik Sujimy, yang mempunyai lebih 35 tahun pengalaman dalam bidang media, berkongsi bagaimana bahasa bukan sahaja sekadar alat untuk berkomunikasi dan mengapa ia merupakan kunci kepada pengaruh budaya dan pelibatan dalam masyarakat berbilang budaya dan berbilang bahasa seperti Singapura.

“Bahasa ialah mata wang sebenar apabila anda ingin berhubung dengan masyarakat tertentu. Apabila kita ingin menggunakan bahasa, cuba fikirkan apa yang sebenarnya difahami oleh masyarakat, apa yang digunakan secara meluas dan jenis bahasa yang boleh mereka fahami dengan segera.

“Kemudian, terokai bagaimana anda boleh menukarnya dari segi jualan, anda boleh menukarnya kepada pelanggan dan penyokong dan membawa mesej anda ke mana-mana,” kata Encik Sujimy.

Pengarah Urusan ScreenBox Pte Ltd, Encik Sujimy Mohamad, berkongsi bagaimana beliau berjaya menghasilkan kempen yang sesuai dengan masyarakat Melayu menggunakan strategi pemasaran dan penceritaan.
Pengarah Urusan ScreenBox Pte Ltd, Encik Sujimy Mohamad, berkongsi bagaimana beliau berjaya menghasilkan kempen yang sesuai dengan masyarakat Melayu menggunakan strategi pemasaran dan penceritaan. - Foto BH oleh KHALID BABA

Encik Sujimy turut mengambil bahagian dalam perbincangan panel bersama Presiden Persekutuan Penterjemah Antarabangsa (FIT), Cik Alison Rodriguez, serta Profesor Bahasa dan Komunikasi di Universiti Hong Kong, Profesor Lee Tong King.

Semasa perkongsiannya, beliau menekankan bagaimana ChatGPT, meskipun merupakan alat AI yang kukuh untuk menterjemah, masih “belum kuat” dan tidak boleh dipercayai untuk menterjemah bahasa mengikut budaya, nuansa atau masyarakat.

“Jika anda cuba menterjemah menggunakan ChatGPT, ia tidak akan sentiasa menangkap intipati mesej. Oleh itu, peranan penterjemah masyarakat masih sangat penting.

“Jika anda seorang penterjemah, interaksi antara manusia dengan manusia adalah sangat penting dan anda perlu berhubung dengan orang ramai, bukannya hanya bergantung pada alat AI sebagai rujukan budaya untuk terjemahan yang betul.

“Model AI mungkin membantu anda, tetapi ia tidak memahami sepenuhnya apa yang anda perlukan untuk menterjemah buat masyarakat tertentu,” kata Encik Sujimy.

“Terjemahan dalam laporan media perlu mengenali konteks Singapura. Kita perlu mempertimbangkan landskap budaya, sosial dan politik Singapura yang unik. Walaupun Singapura berkongsi hubungan linguistik dan budaya dengan negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia, terdapat perbezaan ketara dalam penggunaan bahasa dan konvensyen media.”
Cik Nur Adilah Mahbob, Timbalan Editor Berita di Berita Harian (BH).

“Jika anda cuba menterjemah menggunakan ChatGPT, ia tidak akan sentiasa menangkap intipati mesej. Oleh itu, peranan penterjemah masyarakat masih sangat penting. Model AI mungkin membantu anda, tetapi ia tidak memahami sepenuhnya apa yang anda perlukan untuk menterjemah buat masyarakat tertentu”
Encik Sujimy Mohamad, Pengarah Urusan ScreenBox Pte Ltd.

Antara Pencapaian 10-Tahun Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC)

  • Repositori ‘Government Terms Translated’ (GTT) oleh NTC kini menjadi rujukan piawaian terjemahan lebih 7,000 istilah berkaitan dasar dalam empat bahasa rasmi negara.
  • Menyokong 40 karyawan dan 14 pelajar yang berminat meneruskan kerjaya dalam penterjemahan melalui Skim Pembangunan Bakat Terjemahan (TTDS) dan Biasiswa Perkhidmatan Penerangan (Terjemahan).
  • Lebih 60 agensi pemerintah telah mengeluarkan sekurang-kurangnya 6,700 pesanan pembelian pada Kontrak Tempoh dan Perjanjian Rangka Kerja (PCFA) bagi Khidmat Penterjemahan sejak 2015, yang bertujuan menyediakan perkhidmatan awam akses kepada penyedia perkhidmatan penterjemahan yang telah dinilai sebelumnya.
  • Geran Acara Masyarakat Yang Peka Terhadap Penterjemahan (CiTEG) telah menyokong hampir 60 acara yang mempromosikan terjemahan di Singapura antara 2020 hingga Jun 2024. 
  • Lebih 2,500 penterjemah, yang digelar Penterjemah Kita, telah direkrut dari kalangan usia 15 hingga 88 tahun, dan telah menyumbang kepada usaha penterjemahan di seluruh negara.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg