Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenderaan S’pura tidak boleh keluar dari M’sia jika belum lunas saman VEP

Penguatkuasaan lebih meluas mulai 15 Nov turut sasar kenderaan milik syarikat
Nov 1, 2025 | 3:15 PM
Kenderaan S’pura, M’sia, saman, VEP
Sejak langkah penguatkuasaan dimulakan pada 1 Julai, sebanyak 4,028 notis saman telah dikeluarkan, dengan jumlah denda melebihi RM1.2 juta ($373,067). - Foto fail

KUALA LUMPUR: Mulai 15 November, pemandu kenderaan berdaftar asing yang tidak mempunyai Permit Masuk Kenderaan (VEP), terutamanya kenderaan dari Singapura, tidak dibenarkan keluar dari Malaysia sehingga saman tertunggak mereka dilunaskan.

Berbeza dengan penguatkuasaan sebelum ini, di mana ia hanya terhad kepada kenderaan persendirian, langkah baru ini turut menyasarkan kenderaan milik syarikat.

Selain itu, saman akan dikenakan ke atas pemandu yang tidak memiliki VEP, memiliki VEP yang telah tamat tempoh, atau masih dalam proses mendaftar untuk tag tersebut, lapor The Straits Times (ST).

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli, mengumumkan perkara ini kepada media tempatan pada malam 31 Oktober, susulan operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.

“Sebelum ini, operasi kami terhad di Johor, tetapi kini diperluas ke seluruh negara.

“Mana-mana kenderaan berdaftar Singapura yang ditemui tanpa VEP di mana-mana sahaja di Malaysia akan dikenakan tindakan penguatkuasaan,” kata Datuk Aedy, seperti yang dipetik oleh portal berita Malaysia, Bernama.

Pemandu yang telah dikenakan saman bukan sahaja perlu melunaskannya dengan segera, malah perlu menyelesaikan pendaftaran VEP mereka juga sebelum meninggalkan negara, tambah Datuk Aedy.

“Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang masalah di sempadan Malaysia-Singapura,” kata Datuk Aedy.

Tag VEP, yang dilengkapkan dengan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID), membolehkan pihak berkuasa Malaysia mengenal pasti kenderaan berdaftar asing di jalan raya negara.

Ia juga dapat memantau sebarang saman tertunggak bagi kesalahan trafik yang perlu diselesaikan sebelum kenderaan tersebut keluar dari Malaysia.

Pembayaran saman boleh dilakukan di kaunter JPJ, kaunter bergerak JPJ, kaunter pendaftaran VEP di Danga Bay, atau secara dalam talian melalui sistem MyEG, jelas Datuk Aedy.

Sejak langkah penguatkuasaan dimulakan pada 1 Julai, beliau berkata sebanyak 4,028 notis saman telah dikeluarkan dengan jumlah denda melebihi RM1.2 juta ($373,067).

Pada 21 Oktober, media Malaysia melaporkan bahawa 3,910 notis saman telah dikeluarkan di tiga lokasi di Johor Bahru, dengan denda RM300 bagi setiap saman.

Sejumlah besar saman dikeluarkan di dua pusat pemeriksaan darat di Woodlands dan Tuas, manakala selebihnya dikeluarkan di Taman Daya, sebuah kawasan pinggir bandar berhampiran Mount Austin.

Setakat 31 Oktober, Datuk Aedy berkata 303,183 tag VEP telah dipasang pada kenderaan persendirian, manakala 31,643 tag lagi telah dipasang pada kenderaan milik syarikat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg