Penduduk Punggol yang ingin pergi dari satu tempat ke tempat lain dalam estet mereka mungkin boleh menggunakan kenderaan tanpa pemandu seawal suku keempat 2025.
Ini sekali gus menjadikan Punggol estet kejiranan pertama untuk menikmati khidmat demikian sedang Singapura meneroka penggunaan kenderaan autonomi (AV) dengan lebih meluas, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, kepada media dalam lawatannya ke Guangzhou, China.
Beliau dan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling berada di sana untuk mempelajari tentang pembangunan dan penggunaan AV di negara tersebut.
“Kami akan mula mengerahkan AV di estet-estet HDB dalam masa terdekat. Sebelum hujung tahun ini, kami menjangkakan dapat mengerahkan beberapa kenderaan di Punggol di mana kami akan mencuba laluan tetap,” kata Encik Siow.
Menurut beliau, Punggol dipilih kerana ia merupakan estet di mana “corak perjalanan sudah cukup matang” dan “infrastruktur jalan raya sudah matang”.
Dalam wawancara sebelum ini, Encik Siow telah mengatakan yang AV akan diperkenalkan dengan lebih meluas di Singapura dalam masa lima tahun mendatang.
Encik Siow berkata percubaan AV akan tertumpu pada Punggol dahulu sebelum ia diperluas ke estet perumahan lain.
“Kami ingin mencubanya di satu tempat dahulu, membiasakan diri dengan cara kenderaan itu boleh digunakan dan memahami masalah yang mungkin timbul dan cara menyelesaikannya. Lakukan itu dengan baik terlebih dahulu sebelum melancarkannya ke estet HDB yang lain,” katanya.
“Jika kami berjaya setelah memulakannya di Punggol...kami boleh lihat kawasan lain pula. Mudah-mudahan lebih ramai akan tertarik pada masa itu – orang ramai akan mahu melihat (AV) di jalan raya di estet HDB mereka.
“Kami fikir Tengah boleh jadi kawasan selanjutnya. Tengah merupakan tempat di mana kami telah mereka bentuknya sebagai bandar ‘car-lite’ (kurang bergantung pada kereta. Saya fikir ia adalah tempat di mana AV akan sangat berguna,” tambah beliau.
Encik Siow berkata AV merupakan teknologi yang semakin matang dan boleh menjadi pengubah keadaan bagi pengangkutan awam.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata dalam jangka pendek, AV boleh membantu menambah rangkaian pengangkutan awam.
Ini boleh dilakukan dengan memperkenalkan perkhidmatan laluan tetap dari satu tempat ke satu tempat lain di estet HDB yang boleh membawa orang ramai ke stesen MRT, pasar atau pusat penjaja dengan lebih mudah.
Dalam jangka sederhana, AV boleh membantu mengurangkan kekangan tenaga kerja lebih-lebih lagi dalam industri pengangkutan awam.
“AV tidak memerlukan seorang pemandu, jadi terdapat kemungkinan kami boleh menyediakan bas malam dengan lebih kerap.
“Selain itu, pengangkutan ulang-alik dari estet swasta...tidak begitu menjimatkan untuk dijalankan sebagai khidmat bas, tetapi anda boleh menggunakan AV,” kata Encik Siow.
Dalam jangka panjang pula, AV boleh memperluas rangkaian pengangkutan awam Singapura dengan lebih pantas.
“Hari ini, jika kami mahu memperkenal laluan bas baru, ia memakan masa kerana kami perlu mengambil kerja pemandu bas, melatih mereka. Dengan AV, kita hanya perlu beli kenderaan tersebut dan ia sudah boleh digunakan di jalan raya,” jelas beliau.
Encik Siow menekankan keselamatan akan diutamakan apabila AV diperkenal di jalan raya Singapura kelak.
Ini akan dilakukan dengan memastikan terdapat pegawai keselamatan di dalam setiap AV.
Selain itu, had kelajuan AV juga akan dipastikan berada pada tahap yang selamat.
“Untuk tempoh awal, kami mungkin akan menjalankannya tanpa penumpang supaya orang ramai tahu bahawa AV adalah kenderaan di jalan raya, dan mereka selesa dengannya sebelum AV mula mengambil penumpang.
“Dan jika kami berjaya, kami bermula di Punggol, kami melakukan beberapa laluan, menjelang akhir tahun, kami membawa masuk kenderaan. Selepas itu, masuk tahun baru, kita boleh meneroka tempat lain,” tambah Encik Siow lagi.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa pekerjaan masih tersedia untuk pemandu dalam sektor pengangkutan, walaupun apabila penggunaan AV di Singapura menjadi lebih meluas pada masa hadapan.
Namun, peranan pemandu mungkin berubah, dan menjadi tugas pemerintah untuk membantu pemandu memanfaatkan peluang baru yang terbaik.
“Anda mungkin mempunyai seseorang di dalam kenderaan yang melakukan perkara berbeza...mungkin membantu warga emas menaiki kenderaan atau mengangkat bagasi atau mungkin juga sebagai pemandu pelancong,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg