Pemangku Menteri Pengangkutan baru dilantik, Encik Jeffrey Siow, mempunyai satu misi: Untuk mengembalikan rasa bangga dan cinta rakyat Singapura pada sistem pengangkutan negara.
Beliau percaya bahawa pengangkutan adalah bahagian penting dalam kisah Singapura, dengan ramai warga negara mempunyai pelbagai kenangan manis menaiki pengangkutan awam.
“Terdapat sebab mengapa di banyak bandar utama, seperti New York, London dan Tokyo, ada muzium pengangkutan… Ini kerana pengangkutan adalah sebahagian daripada kehidupan kita, sebahagian daripada sejarah.
“Bagi sesetengah daripada kita, anda mungkin terfikir tentang tiket bas, kad tambang lama. Anda mungkin terfikir tentang kenangan apabila melihat gambar bas lama.
“Hari ini, bas kita semua berhawa dingin, tetapi ada dalam kalangan pemandu yang masih ingat lagi situasi di mana mereka perlu tutup tingkap supaya hujan tak masuk.
“Ini semua adalah sebahagian daripada kenangan dan sejarah kolektif kita,” ujar Encik Siow.
Dalam wawancara panjang yang pertama dalam peranannya sebagai pemangku menteri bersama media di Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 11 Jun, Encik Siow berkongsi mengenai tumpuan dan rancangannya dalam mempertingkat sistem pengangkutan negara.
Ini termasuk untuk mengurangkan masa perjalanan apabila menaiki pengangkutan awam, terutamanya dari estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang terletak lebih jauh dari pusat bandar; pengerahan kenderaan autonomi (AV) dalam sistem pengangkutan awam; dan usaha untuk mempertingkat kebolehpercayaan rel.
Encik Siow menyedari bahawa tugasnya di MOT “tidak mudah” dan adalah “sengit dari segi politik”.
Namun, beliau melihat pada sudut positif, sambil menambah bahawa tugasnya adalah sesuatu yang amat bermakna kerana “sama ada anda jalan kaki, naik kereta api, naik bas, atau anda memandu”, hal pengangkutan adalah penting bagi semua rakyat Singapura.
Bertugas dalam sektor pengangkutan bagaimanapun bukan sesuatu yang asing bagi Encik Siow.
Sebelum menceburi kerjaya politik selepas menang di GRC Chua Chu Kang dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), beliau seorang penjawat awam kanan dengan portfolio yang luas.
Jawatan terakhirnya adalah setiausaha tetap kedua di Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
Sebelum ini, beliau pernah menyandang jawatan pengarah urusan di lembaga berkanun Enterprise Singapore dan ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong.
Khususnya, beliau pernah berkhidmat sebagai pengarah di MOT dari 2012 hingga 2017.
Dalam peranannya itu, beliau mempertingkat kebolehpercayaan pengangkutan awam melalui pembaharuan kepada rangka kerja pembiayaan rel dan pelaksanaan model kontrak bas.
Beliau juga mengetuai rundingan dengan Malaysia bagi Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura dan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura.
Semasa tempoh perkhidmatannya itu, pembangunan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi diumumkan pada 2013 manakala pembangunan Pelabuhan Tuas pula diumumkan pada 2012.
Encik Siow lantas pada mulanya tidak menjangkakan beliau akan dilantik sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, “kerana tidak menjangka akan perlu melakukan sesuatu yang saya telah lakukan sebelum ini”.
Namun, setelah memikirkannya, beliau gembira telah diberi kepercayaan oleh Encik Wong untuk melakukan tugas tersebut.
Bahkan, beliau juga bertemu mantan Menteri Pengangkutan, Encik Khaw Boon Wan, yang memberikan sokongan dan berkongsi nasihat.
“Beliau memberitahu saya bahawa kami perlu menjadi satu keluarga pengangkutan, yang bermakna terdapat ramai pihak berkepentingan dalam sistem – pengendali, agensi pemerintah, pengawal selia, penumpang, kementerian dan juga ahli politik… Namun, kami semua perlu bergerak dalam arah yang sama,” kata Encik Siow.
Dalam memenuhi misinya untuk mengembalikan rasa bangga dan cinta pada sistem pengangkutan, Encik Siow merancang untuk terus mempertingkat sistem pengangkutan Singapura, baik dari segi pengangkutan darat, laut mahupun udara.
Menurut beliau, rakyat Singapura sememangnya amat berbangga dengan Lapangan Terbang Changi dan juga kedudukan Singapura sebagai sebuah hab udara.
Malah, Terminal 5 yang baru akan mempunyai kapasiti menguruskan sekitar 50 juta pergerakan penumpang setahun apabila mula beroperasi pertengahan 2030-an nanti, sekali gus memastikan Changi kekal sebagai hab penerbangan berdaya saing.
Tetapi lebih banyak boleh dilakukan dalam sektor maritim dan pengangkutan awam, selain menekankan pentingnya mempertingkat kebolehpercayaan pengangkutan awam, tekan Encik Siow.
Dalam sektor maritim, beliau berkata pandemik Covid-19 telah menjejas rantaian bekalan dan usaha telah dilakukan untuk mengoptimumkan pelabuhan, pergerakan kapal dan logistik.
Namun, soal daya tahan kini telah menjadi isu besar semakin hari, terutamanya di tengah-tengah cabaran ekonomi global, dengan negara ini perlu memastikan aliran perdagangan berterusan meskipun jika terdapat gangguan seperti serangan lanun atau tarif.
Sektor penerbangan menyumbang sekitar 5 peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura, manakala sektor maritim pula 6 peratus.
Dalam sektor pengangkutan awam pula, Encik Siow telah berkongsi keutamaannya dalam lima tahun mendatang – iaitu untuk mengurangkan masa perjalanan pengangkutan awam, terutamanya dari estet perumahan HDB yang terletak lebih jauh dari pusat bandar.
Misalnya, beliau mahu mengurangkan masa perjalanan antara estet seperti Tengah, Jurong West, Punggol dan Pasir Ris dengan pusat bandar menggunakan pengangkutan awam kepada “satu atau dua kali ganda” masa yang diambil menggunakan kereta privet.
Encik Siow turut menyentuh tentang rancangan mengerahkan AV, iaitu kenderaan tanpa pemandu, yang akan menjadi pengubah keadaan (game changer) dan tambahan yang bermanfaat kepada rangkaian pengangkutan awam Singapura.
Berkenaan kebolehpercayaan pada sistem rel pula, Encik Siow menekankan peri pentingnya mempunyai rangkaian kereta api yang berdaya tahan dan terhubung.
Misalnya, laluan MRT, seperti Laluan Circle dan Laluan Rentas Pulau (CRL) yang sedang dibina, adalah penting kerana ia memberi alternatif kepada penumpang untuk meneruskan perjalanan sekiranya berlaku gangguan perkhidmatan pada laluan lain.
Teknologi juga dimanfaatkan, seperti video kamera dan sensor, manakala pendekatan proaktif untuk menyenggara peralatan dan aset secara dahuluan dilakukan untuk mengelakkan gangguan perkhidmatan daripada berlaku dan memastikan sistem rel berjalan lancar.
Sistem pengangkutan Singapura mungkin “tidak sempurna”, namun jika dilihat pada sistem negara lain, adalah adil untuk menyatakan bahawa “kami melakukan tugas yang baik di sini, dan sistem kita adalah baik”, kata Encik Siow.
“Ia tidak sempurna, namun lebih baik daripada yang lain untuk sebahagian besarnya, dan lebih penting, ini adalah sistem kita di Singapura dan ia unik kepada kita.
“Jika saya boleh kembalikan semula rasa bangga dan cinta pada sistem pengangkutan kita, saya fikir beberapa perkara yang lebih mencabar, masalah yang perlu kita tangani pada masa depan, akan dapat dikendalikan dengan lebih baik,” kata beliau.
“
Ia (sistem pengangkutan Singapura) tidak sempurna, namun lebih baik daripada yang lain untuk sebahagian besarnya, dan lebih penting, ini adalah sistem kita di Singapura dan ia unik kepada kita. Jika saya boleh kembalikan semula rasa bangga dan cinta pada sistem pengangkutan kita, saya fikir beberapa perkara yang lebih mencabar, masalah yang perlu kita tangani pada masa depan, akan dapat dikendalikan dengan lebih baik.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg