Topik diikuti
Pergi ke BHkuKenderaan tanpa pemandu Waymo bakal lancar khidmat di S’pura jelang 2028
Kenderaan tanpa pemandu Waymo bakal lancar khidmat di S’pura jelang 2028
Syarikat teknologi pandu sendiri, Waymo, akan melancarkan khidmat tempahan kenderaan tanpa pemandu di Singapura menjelang 2028.
Waymo akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk menyediakan asas bagi pengenalan perkhidmatan tempahan kenderaan komersial elektrik itu.
Perkhidmatan tersebut boleh ditempah penumpang menerusi aplikasi Waymo, tertakluk pada kelulusan kawal selia.
Mengumumkan rancangan itu pada 18 September di pejabat Google di Pasir Panjang, Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, berkata Waymo akan memulakan ujian di kawasan Labrador dan HarbourFront pada 2027, dengan tumpuan kepada perkhidmatan ulang-alik dan kawasan perindustrian.
“Bersama Waymo, kami akan memulakan ujian dan persiapan bagi penggunaannya di bahagian barat Singapura, bermula di kawasan Labrador dan HarbourFront.
“Ini termasuk penggunaan bagi tujuan baharu seperti perjalanan ke tempat kerja, perjalanan pada hujung minggu, serta menyediakan perkhidmatan ke kawasan perindustrian yang mempunyai pilihan pengangkutan lebih terhad,” kata Encik Siow.
Waymo merupakan sebahagian daripada Alphabet Inc, syarikat induk Google.
Sistem pandu sendiri Waymo menggunakan teknologi LiDAR (light detection and ranging) yang menggunakan pancaran laser untuk mengukur jarak, radar serta kamera untuk mendapatkan pandangan 360 darjah di sekeliling, membolehkan kenderaan mengesan dan meramal pergerakan pejalan kaki, penunggang basikal dan pengguna jalan raya lain, jelas Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Waymo, Cik Tekedra Mawakana.
Dalam pada itu, Encik Siow berkata jumlah keseluruhan kenderaan pandu sendiri (AV) di Singapura dijangka meningkat daripada 16 kenderaan yang kini beroperasi di Punggol, kepada beberapa ratus kenderaan dalam tempoh dua tahun.
Jumlah ini termasuk kenderaan tambahan daripada pengendali sedia ada dan platform Grab, yang merancang untuk mengerahkan 50 kenderaan dalam tempoh enam bulan akan datang.
Encik Siow menambah pekerjaan baharu akan direka sedang industri AV berkembang.
“Dengan perkembangan industri ini, peluang pekerjaan baharu akan direka.
“Kita memerlukan tenaga kerja untuk menguruskan kumpulan kenderaan, mengendalikan kenderaan dari jarak jauh, menyelenggara sistem canggih, menguji aplikasi baharu, menganalisis data dan memastikan perkhidmatan beroperasi dengan selamat dan boleh dipercayai.
“Sebahagian daripada pekerjaan ini akan dibuka kepada pemandu teksi dan kereta sewa privet,” kata Encik Siow.
Menurut beliau, pemerintah akan memberi subsidi sehingga 90 peratus daripada kos gaji semasa tempoh latihan untuk “menyokong setiap pemandu yang ingin meneroka peluang-peluang baharu”.
Selain itu, beliau turut berkata kemasukan Waymo ke Singapura menandakan satu fasa baharu dalam perjalanan Singapura ke arah penggunaan kenderaan tanpa pemandu.
Dalam fasa seterusnya, pihak berkuasa merancang untuk memperkenalkan kenderaan autonomi di satu atau dua lagi bandar Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang terletak lebih jauh dari pusat bandar, seperti di Tampines North dan Tengah, kata Encik Siow.
