Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kontrak $8.1j untuk bas pandu sendiri di Marina Bay, one-north

Oct 3, 2025 | 2:20 PM
Singapura, bas pandu sendiri, Marina Bay, one-north
Bas pandu sendiri dengan 16 tempat duduk ini akan menyerupai bas pengeluar kenderaan elektrik BYD yang sedang digunakan di Jepun. - Foto LTA

Sebuah konsortium yang melibatkan beberapa syarikat telah memenangi kontrak mengendalikan kenderaan pandu sendiri bagi dua perkhidmatan bas awam di Marina Bay dan one-north bermula separuh kedua 2026.

Bernilai sekitar $8.1 juta, kontrak tersebut diberikan kepada konsortium yang terdiri daripada pembangun perisian dan aplikasi, MKX Technologies; pakar kenderaan berautonomi (AV), Zhidao Network Technology (Beijing), dan pengeluar kenderaan elektrik BYD.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha Singapura memperkenalkan AV di serata negara dalam tempoh lima tahun akan datang bagi mempertingkat rangkaian pengangkutan awam.

Kontrak itu merangkumi enam bas elektrik dengan 16 tempat duduk, perisian dan perkakasan AV, serta sistem yang diperlukan untuk mengendalikan perkhidmatan bas awam.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata program perintis tersebut akan dimulakan dengan bas perkhidmatan 400 di laluan Marina Bay dan bas perkhidmatan 191 di laluan one-north untuk tempoh permulaan tiga tahun.

Perkhidmatan 400 merangkumi kawasan Marina Bay dan Shenton Way, dengan hentian di Pusat Kapal Persiaran Marina Bay Singapura, Gardens by the Bay, serta stesen MRT Shenton Way dan Downtown.

Perkhidmatan 191 pula merangkumi kawasan one-north, dengan hentian di terminal bas Buona Vista, serta stesen MRT one-north dan Buona Vista.

Selepas enam unit bas tersebut mula beroperasi, LTA boleh memperoleh 14 lagi bas pandu sendiri daripada konsortium sama dan meluaskan program perintis itu kepada lebih banyak perkhidmatan bas awam Singapura.

MKX Technologies – yang dimiliki oleh anak syarikat Singapura kepada syarikat pembiayaan kenderaan dalam talian China, Yixin Group, dan syarikat perkongsian kereta elektrik Jepun, MK.X – akan mengetuai kerja penyelidikan dan pembangunan tempatan, serta pengurusan projek.

Zhidao Network Technology akan membekalkan perisian AV, serta perkakasan seperti sensor pengesanan cahaya dan jarak (Lidar), kamera, sistem pengurusan kenderaan dan sistem operasi jarak jauh.

Syarikat itu mempunyai kaitan dengan syarikat pemanduan autonomi China, Mogo Auto, yang disokong oleh konglomerat teknologi, Tencent.

Pengeluar kereta China, BYD, pula akan membekalkan bas elektrik tersebut, lapor The Straits Times.

Kenderaan pandu sendiri itu akan dilengkapi ciri-ciri serupa dengan bas awam sedia ada, termasuk ruang khas untuk kerusi roda, alat bantuan mobiliti peribadi, serta kereta sorong bayi.

Bas pandu sendiri ini akan beroperasi seiring dengan bas biasa sebagai sebahagian daripada rangkaian kenderaan hibrid.

Dalam peringkat perintis, tambang bas tersebut adalah sama seperti perkhidmatan bas biasa.

LTA akan menguji bas pandu sendiri itu sebelum ia mula beroperasi dan akan bekerjasama rapat dengan konsortium bagi memastikan bas serta sistem sokongan berada dalam keadaan bersedia untuk operasi.

Pada peringkat awal, seorang pengendali keselamatan akan ditempatkan dalam setiap bas pandu sendiri pada setiap masa, sementara LTA memantau prestasi bas secara masa nyata dan memastikan ia mematuhi peraturan.

Pengendali pengangkutan awam, SBS Transit, yang mengendalikan kedua-dua laluan bas tersebut, akan mengumpul maklum balas daripada penumpang bagi menilai dan memperbaiki operasi bas pandu sendiri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg