Penasihat perubatan utama Republik, Profesor Kenneth Mak, telah dilantik sebagai pengerusi Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) – sebuah badan berkanun baru.
Agensi ini akan ditubuhkan pada 1 April, menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada 24 Mac.
Diumumkan pertama kali oleh MOH pada 13 Februari, CDA akan ditubuhkan untuk menyatukan fungsi kesihatan awam yang mengesan, mencegah, dan mengawal penyakit berjangkit, lapor The Straits Times (ST).
Ia bertujuan membolehkan pemerintah bertindak pantas terhadap wabak penyakit dan “memainkan peranan penting dalam melindungi Singapura daripada ancaman penyakit berjangkit,” kata MOH.
Sebagai Pengarah-Jeneral Kesihatan Singapura, Profesor Mak kini mengawasi perkhidmatan klinikal dan kesihatan awam Singapura, serta berada di barisan hadapan dalam respons kesihatan awam Singapura terhadap Covid-19.
Dalam peranan barunya, beliau akan membantu merangka arah strategik CDA, dan menyokong penyepaduan serta penyelarasan operasi penyakit berjangkit di seluruh sektor penjagaan kesihatan.
Beliau juga akan memimpin agensi tersebut dalam meningkatkan kesediaan dan respons Singapura terhadap cabaran kesihatan awam dan pandemik akan datang.
Bersama Profesor Mak, lembaga CDA akan terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang selain penjagaan kesihatan, seperti kecerdasan buatan (AI), sains data dan komunikasi.
Antara mereka ialah Encik Nazry Mokhtar, Editor akhbar Berita Harian (BH); Encik Ervin Yeo, ketua pegawai strategi kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pengurusan komersial, CapitaLand Investment; dan Profesor Ho Teck Hua, Presiden Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg