Subsidi perkhidmatan penjagaan jangka panjang akan dinaikkan sehingga 15 mata peratusan kepada maksimum 80 peratus.
Ambang kelayakan pendapatan isi rumah per kapita bulanan untuk subsidi perkhidmatan penjagaan jangka panjang juga akan dinaikkan daripada $3,600 kepada $4,800 untuk memanfaatkan lebih banyak isi rumah, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Encik Ong berkongsi demikian semasa perbahasan Belanjawan Kementerian Kesihatan (MOH) pada 7 Mac.
Ini berikutan pengumuman Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Ucapan Belanjawannya pada 18 Februari, yang mana beliau mengumumkan beberapa langkah untuk membantu warga emas.
Encik Wong berkata ketika itu bahawa pemerintah akan meningkatkan sokongan untuk kos penjagaan jangka panjang bagi warga emas yang berada di rumah perkhidmatan penjagaan bermula 2026.
Subsidi sedia ada untuk perkhidmatan penjagaan jangka panjang akan meningkat sehingga 15 mata peratusan.
Subsidi tambahan sebanyak 5 hingga 15 mata peratusan juga akan diperkenalkan untuk warga Singapura yang lahir pada 1969 atau lebih awal.
Menjelaskan lebih lanjut, Encik Ong berkata penjagaan jangka panjang ialah bagi warga emas yang sudah terlalu lemah, kurang upaya dan bergantung pada orang lain untuk menjalankan kegiatan harian seperti makan, mandi atau menukar pakaian.
Mereka dijaga di rumah jagaan atau di rumah, dengan sokongan daripada perkhidmatan masyarakat dan penjagaan di rumah.
Encik Xie Yao Quan (GRC Jurong) menyuarakan kebimbangan terhadap kos perkhidmatan sedemikian yang tinggi dan bertanya sama ada kos itu boleh dihadkan.
Dalam responsnya, Encik Ong berkata:
“Malah, kedua-dua perkhidmatan itu hari ini sudah mendapat subsidi yang sangat besar daripada pemerintah, dengan pembayaran bersama oleh pengguna.
“Dengan masyarakat yang semakin tua, perbelanjaan operasi penjagaan jangka panjang tahunan kami telah meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh lima tahun yang lalu, daripada $1.7 bilion kepada sekitar $3 bilion hari ini, dan terus meningkat.”
Terdapat juga tekanan besar ke atas yuran, didorong oleh kos tenaga kerja, terutamanya selepas Covid-19, yang mana gaji pekerja penjagaan kesihatan meningkat secara global.
Untuk memastikan kemampuan, MOH telah meningkatkan pembiayaan untuk menyokong penyedia rumah jagaan dan pada masa yang sama mengenakan had kenaikan yuran untuk penduduk sedia ada.
Penyedia rumah penjagaan juga menyerap sebahagian daripada kos yang lebih tinggi untuk penduduk sedia ada ini.
Bagi warga emas yang baru dimasukkan ke rumah jagaan sedemikian sepanjang setahun lalu, mereka perlu membayar yuran yang lebih tinggi.
Peraturan sedemikian tidak mampan, kata Encik Ong, sambil menambah ia juga tidak adil bagi penyedia khidmat tersebut.
Oleh itu, MOH akan meningkatkan subsidi sehingga 15 mata peratusan bagi hampir semua isi rumah yang layak dan meningkatkan bilangan orang yang boleh mendapatkan bantuan sedemikian dengan meningkatkan pendapatan isi rumah per kapita yang layak daripada $3,600 kepada $4,800.
Peningkatan subsidi akan berkuat kuasa mulai Julai 2026. Antara sekarang dan masa tersebut, MOH akan memberikan rebat sementara untuk mengekalkan yuran yang rendah bagi warga Singapura.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan penyedia khidmat untuk menguruskan yuran mereka, yang dijangka tidak banyak berubah tahun ini. Dari masa ke masa, yuran mereka sepatutnya meningkat secara beransur-ansur seiring dengan inflasi dan pendapatan,” kata Encik Ong.
Keseluruhan pakej peningkatan penjagaan jangka panjang akan memberi manfaat kepada lebih 80,000 warga emas, yang boleh menjangkakan sokongan sehingga $2.1 bilion, dari 2025 hingga 2030.
“
Dengan masyarakat yang semakin tua, perbelanjaan operasi penjagaan jangka panjang tahunan kami telah meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh lima tahun yang lalu, daripada $1.7 bilion kepada sekitar $3 bilion hari ini, dan terus meningkat.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg