Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenyataan palsu tentang Shanmugam: Bekas ahli Parti Reformasi mohon maaf

Jan 2, 2024 | 5:50 PM
DAKWAAN PALSU: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam, sebelum ini berusaha  memaksa TikTok dedahkan maklumat mengenai tiga pengguna yang telah siarkan dakwaan palsu bahawa beliau mempunyai hubungan luar nikah.
DAKWAAN PALSU: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam, sebelum ini berusaha memaksa TikTok dedahkan maklumat mengenai tiga pengguna yang telah siarkan dakwaan palsu bahawa beliau mempunyai hubungan luar nikah. - Foto ZB, REUTERS

Seorang bekas anggota Parti Reformasi yang menerbitkan kenyataan palsu dan fitnah tentang Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam, mempunyai hubungan sulit, telah mengeluarkan kenyataan maaf sambil berkata beliau akan menanggung kos guaman Encik Shanmugam. 

Dalam satu pos di TikTok pada 21 Disember 2023, Encik Thaddeus Thomas, mengaku bahawa “thaddeusthomas81” merupakan akaun miliknya di platform media sosial.

Beliau menggunakan platform tersebut untuk menyiarkan video yang kononnya mengandungi penjelasan mengenai Encik Shanmugam, isterinya dan seorang wanita didakwa menjadi wanita simpanan.

“Pada 17 Ogos 2023, saya menerbitkan kenyataan palsu dan fitnah berhubung dengan Encik K. Shanmugam di akaun TikTok saya... Saya mengaku bahawa saya memang berniat untuk meletakkan kepalsuan ini dan mengaku bahawa kenyataan tersebut adalah palsu dan sama sekali tanpa asas,” katanya, yang dilaporkan The Straits Times pada 2 Januari.

Dalam nota bertajuk “Permintaan maaf dan berjanji”, Encik Thomas seterusnya akur bahawa beliau dengan sengaja mengabaikan surat yang dihantar peguam Encik Shanmugam kepadanya melalui Facebook Messenger pada 25 Ogos.

“Saya berharap bahawa Encik K. Shanmugam tidak akan dapat mengenal pasti atau menghubungi saya, kerana butiran saya tidak dapat dikenal pasti menerusi pos saya itu,” katanya.

“Saya tidak menurunkan pos tersebut dari TikTok dan tidak membalas peguam Encik K. Shanmugam.”

Pos tersebut kemudiannya telah diturunkan oleh TikTok.

Encik Thomas berkata, beliau hanya menjawab surat peguam pada 30 November, selepas membaca artikel di akhbar The Straits Times (ST) yang mengatakan bahawa Encik Shanmugam telah memohon perintah mahkamah terhadap TikTok untuk memaksa platform media sosial mendedahkan maklumat mengenai tiga pengguna yang telah menyiarkan dakwaan palsu terhadapnya mempunyai hubungan luar nikah.

ST melaporkan sebelum ini bahawa Encik Shanmugam telah berusaha memaksa TikTok untuk mendedahkan maklumat tentang pengguna TikTok “trusted.selller”, “thaddeusthomas81” dan “tharakhussin” selepas akaun ini digunakan untuk memuat naik video yang mengandungi dakwaan hubungan sulit antara 13 Ogos dan Ogos 17.

Menurut kertas aduan yang difailkan oleh Encik Shanmugam dengan Mahkamah Negara, mendapatkan maklumat pengguna ini akan membolehkannya mengenal pasti pihak tertentu agar beliau dapat mengambil tindakan undang-undang terus terhadap kenyataan palsu itu.

​Pada 25 Ogos, peguam menteri telah menulis kepada dua pengguna Facebook, seorang bernama “Tharak Hussin””dan seorang lagi “Thaddeus Thomas”, meminta siaran TikTok itu dipadamkan dan memohon maaf secara bertulis. Tiada maklum balas diterima.

Menerusi peguamnya, Encik Shanmugam juga telah menghantar surat ketika itu untuk meminta TikTok melumpuhkan akses pengguna akhir kepada pos tersebut kerana ia adalah palsu dan merupakan “fitnah bertulis yang serius”.

Dalam nota permohonan maaf pada 21 Disember, Encik Thomas berkata, beliau adalah ahli Parti Reformasi apabila beliau menerbitkan kenyataan tersebut. 

Beliau kemudian telah menerima nasihat dan galakan untuk memuatnaik pos TikTok palsunya itu, dan berkata beliau menyesal mendengar nasihat ini.

“Saya kesal dengan tindakan saya dan memohon maaf tanpa syarat kerana membuat kenyataan palsu dan fitnah,” katanya. Kenyataan itu turut disiarkan di akaun Facebooknya.

Beliau berkata Encik Shanmugam telah bersetuju untuk tidak meminta ganti rugi “walaupun dakwaan saya itu amat keji”, dan akan membayar kos guaman menteri.

Encik Thomas juga berjanji untuk tidak menyiarkan sebarang kenyataan lanjut mengenai perkara ini, atau membuat sebarang dakwaan mengenai kesan yang sama atau serupa.

Walaupun profil TikTok Encik Thomas menyatakan bahawa beliau adalah “ahli jawatankuasa eksekutif pusat Parti Reformasi Singapura”, namanya tidak tersenarai dalam ahli jawatankuasa eksekutif pusat di laman parti politik itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg