Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kepercayaan, kekuatan dan kesatuan penting untuk bangun masyarakat kohesif

Oct 15, 2024 | 8:42 PM
Timbalan Ketua Eksekutif, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim, berkata bahawa masyarakat yang berjaya akan terbina apabila setiap lapisan masyarakat sedar akan peranan yang mereka mainkan dan mengambil kesempatan itu sebaik mungkin. 
Timbalan Ketua Eksekutif, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim, berkata bahawa masyarakat yang berjaya akan terbina apabila setiap lapisan masyarakat sedar akan peranan yang mereka mainkan dan mengambil kesempatan itu sebaik mungkin.  - Foto MUIS

Kepercayaan, kekuatan dan kesatuan penting dalam membina masyarakat kohesif, ujar Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim.

Dalam ucapan penutupnya di Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) 2024 pada 15 Oktober, beliau berkata masyarakat yang berjaya akan terbina apabila setiap lapisan masyarakat sedar akan peranan yang mereka mainkan dan mengambil kesempatan itu sebaik mungkin.

“Pertama kita harus lihat pada kepercayaan, ia dibina dan diperkukuh dengan tindakan dan interaksi yang berulang.

“Ia adalah sesuatu yang berkembang dari masa ke masa, dan akan memihak kepada kita jika kita melabur di dalamnya dan menjaganya dengan betul,” jelas beliau dalam sidang yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands itu.

Encik Khairul Anwar menukil kata-kata Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Dr Syed Harun Alhabsyi, dalam salah sebuah perbincangan panel mengenai Kepimpinan Perwakilan pada 14 Oktober, apabila beliau mengatakan bahawa “kepercayaan dibina secara perlahan dari masa ke masa dan ia tidak boleh tergesa-gesa”.

Encik Khairul Anwar menambah, struktur interaksi dari masa ke masa seperti pertemuan berkala dan Harmony Circle penting untuk membina kepercayaan di dalam dan di luar masyarakat Islam.

Tambahan pula, komponen yang akan memperkukuh kepercayaan adalah kekuatan.

Menurut beliau, individu perlu menampilkan kelebihan mereka supaya dapat memberi manfaat kepada entiti yang lebih besar, seperti masyarakat minoriti Islam kepada Singapura.

“Sikap saling mempercayai berlaku apabila semua orang mempunyai dan dilihat mempunyai peranan yang berharga untuk diberikan secara keseluruhan,” tambahnya.

Namun, Encik Khairul Anwar memberi peringatan bahawa kepercayaan dan kekuatan boleh disalahgunakan apabila ia dilaksanakan untuk mencabar dan mengatasi orang lain.

Justeru itu, komponen terakhir yang akan melengkapi kededuanya, kata beliau, adalah kesatuan dan menghasilkan masyarakat yang lebih stabil.

“Apa yang mengekalkan masyarakat bersama bukan sekadar kepercayaan dan kekuatan, tetapi apabila pemimpinnya menyedari bahawa kekal bersatu bakal memberikan jaminan jangka panjang terbaik kepada masyarakat yang aman dan stabil.

“Ia kemudian membolehkan semua orang meneruskan kehidupan yang bermakna,” katanya.

Semasa upacara penutup itu, Encik Khairul Anwar turut menggariskan tujuan ICCOS diadakan, iaitu menerangkan asas pengetahuan, kepakaran dan pandangan tentang bagaimana masyarakat minoriti Islam boleh menguruskan diri mereka agar dapat menjadi masyarakat yang berjaya dan boleh menyumbang kepada masyarakat secara keseluruhan.

Selepas edisi pertama ICCOS pada 2022 yang memfokuskan peranan penting pemimpin agama dan edisi 2024 menumpukan kepimpinan masyarakat, edisi seterusnya pada 2026 akan memberi tumpuan kepada peranan kepimpinan politik, menurut Encik Khairul Anwar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg