Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin agama, masyarakat, politik perlu bersatu bina masyarakat Islam gemilang

Panel penutup ICCOS 2024 tekan peranan kepimpinan bangun masyarakat Islam minoriti berjaya
Oct 15, 2024 | 6:44 PM
(Dari kiri) Setiausaha Jabatan Belanjawan dan Pengurusan Filipina, Cik Amenah F. Pangandaman; Datuk Bandar Yala, Thailand, Encik Pongsak Yingchoncharoen; Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; dan Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim, pada sesi panel penutup di hari terakhir Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) 2024 di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 15 Oktober.
(Dari kiri) Setiausaha Jabatan Belanjawan dan Pengurusan Filipina, Cik Amenah F. Pangandaman; Datuk Bandar Yala, Thailand, Encik Pongsak Yingchoncharoen; Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; dan Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim, pada sesi panel penutup di hari terakhir Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) 2024 di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 15 Oktober. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Masyarakat Islam minoriti gemilang yang dapat memberi sumbangan secara bermakna dan berkesan bukan hanya kepada masyarakatnya sendiri, malah negara, perlu disokong oleh pemimpin agama, masyarakat dan politik yang bersatu padu dan bekerjasama untuk menangani dan menyelesaikan masalah serta mempertingkat masyarakat.

Demikian dinyatakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam satu sesi panel penutup di hari terakhir Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) 2024 di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 15 Oktober.

Lebih 600 peserta tempatan dan antarabangsa menyertai sidang selama dua hari itu yang bertemakan Menginspirasikan Pemimpin Masa Depan: Membina Kepercayaan, Memperkasa Masyarakat.

Encik Masagos turut berkata pemimpin perlu mempunyai empat ciri kepimpinan – iaitu kecekapan, kewibawaan, keberanian dan kebijaksanaan – untuk melakukan perkara yang wajar dan betul untuk membantu masyarakat.

Membincangkan tentang pentingnya peranan kepemimpinan dalam membina masyarakat Islam minoriti yang berjaya, panel penutup tersebut itu turut disertai Setiausaha Jabatan Belanjawan dan Pengurusan Filipina, Cik Amenah F. Pangandaman; dan Datuk Bandar Yala, Thailand, Encik Pongsak Yingchoncharoen.

Dua pemimpin luar negara itu telah berkongsi bagaimana mereka membantu membina masyarakat minoriti yang berjaya dan bersatu padu di negara masing-masing.

Sesi panel turut disertai Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim, selaku pengerusi panel.

Berkongsi pengalaman di Singapura, Encik Masagos berkata usaha membina sebuah masyarakat Melayu/Islam minoriti Singapura yang moden, progresif dan terbuka kepada perubahan dipacu oleh visi Masyarakat Gemilang berdasarkan tiga ciri – keperibadian, kemahiran dan kewarganegaraan.

Pemimpin agama, kata Encik Masagos, memainkan peranan penting dalam membimbing masyarakat mengharungi cabaran yang dihadapi, namun mereka juga perlu berganding bahu dengan pemimpin masyarakat dan juga pemimpin politik.

“Kita perlu ada keberanian untuk mengenal pasti apakah kelemahan yang wujud dalam masyarakat dan menanganinya, dan tidak cuba untuk menyembunyikan,” kata beliau.

“Pemimpin masyarakat harus menyelesaikan masalah yang dihadapi kerana kelemahan akan menghindari kita daripada menjadi sebuah masyarakat yang kukuh, dan (dalam hal ini), pemimpin politik juga mempunyai peranan pelengkap.

“Selain membina kekuatan dan menangani kelemahan, pemimpin masyarakat mesti membina kepercayaan dengan masyarakat lain dan juga dengan pihak berkuasa. Ini kerana sebagai masyarakat minoriti, hakikatnya anda memerlukan perlindungan, dan anda tidak boleh dapat perlindungan sehingga anda membina kepercayaan bersama pihak berkuasa dan masyarakat lain.

“Justeru, peranan pemimpin politik adalah untuk memastikan meskipun Singapura sebuah negara berbilang kaum dan agama, kita semua bersatu padu,” tambah beliau.

Encik Masagos turut berkata bahawa asas kepimpinan mesti berteraskan kecekapan, kepercayaan dan kewibawaan.

Beliau menambah bahawa seorang pemimpin juga harus berani dan mempunyai kebijaksanaan dalam menghadapi cabaran dan menyelesaikan masalah.

“Bukti kepimpinan bagi saya ialah keberanian dan kebijaksanaan, kerana seorang pemimpin tidak boleh hanya berfikiran dari sudut politik. Beliau juga harus menjadi pemimpin politik.

“Seseorang yang berfikiran politik hanya mahu melakukan perkara yang membuatnya popular tetapi bukan perkara yang semestinya betul… dan itu kerana dia tiada keberanian untuk melakukan apa yang perlu dilakukan seorang pemimpin.

“Keberanian pada saya adalah salah satu bukti kepimpinan, iaitu untuk melakukan perkara yang sukar dan menghadapi perkara yang mencabar,” kata beliau.

Cik Amenah pula berkata bahwa ketelusan, kebertanggungjawaban dan kerjasama serta komunikasi dari pihak kepimpinan adalah kunci dalam menggembleng masyarakat untuk bekerjasama.

“Apabila anda menunjukkan kepada orang ramai bahawa anda mengambil berat, bersikap telus dan bertanggungjawab, anda beri kepercayaan kepada orang di sekeliling anda.

“Dan apabila orang percaya anda, ia menunjukkan kepimpinan anda dalam masyarakat. Apabila anda seorang pemimpin, adalah penting bagi orang untuk mempercayai anda… Tanpa adanya kepercayaan dari orang yang anda berkhidmat untuk dan bekerja bersama, saya tidak rasa anda boleh berjaya dalam apa yang anda ingin lakukan,” kata beliau.

Memberi contoh bagaimana bandar Yala membina kepercayaan dalam masyarakatnya, Encik Pongsak berkongsi mereka mengadakan kegiatan sosial seperti sesi penceritaan kepada kanak-kanak untuk membina rasa kekitaan dan kem perpaduan belia di mana belia pelbagai agama, termasuk Buddha dan Islam, belajar hidup dan bekerjasama.

“Apa yang saya cuba lakukan ialah melihat pada keadaan yang membuat orang rasa tidak selesa dan kemudian menyediakan tempat untuk orang berkumpul.

“Contohnya, di peringkat mikro, kami mengunjungi masyarakat yang berbeza, dan di peringkat makro pula, di bandar, kami adakan platform bagi orang ramai berhimpun dan menyuarakan apa yang mereka mahu,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg