Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masyarakat Islam minoriti yang kukuh dapat beri manfaat pada negara

Oct 15, 2024 | 7:09 PM
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, merupakan antara ahli panel dalam satu sesi panel penutup di hari kedua dan terakhir ICCOS di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 15 Oktober. 
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, merupakan antara ahli panel dalam satu sesi panel penutup di hari kedua dan terakhir ICCOS di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 15 Oktober.  - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Masyarakat Islam minoriti yang hidup dalam negara sekular, moden dan terbuka perlu bersatu padu dan membina kekuatan sebagai masyarakat yang dapat memberi sumbangan kepada negara dan juga masyarakat lain, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Sebuah masyarakat Islam minoriti yang bersatu padu dan kukuh akan dapat membina kekuatan dan juga kepercayaan antara semua masyarakat lain dan dengan pemerintah serta pihak berkuasa yang dapat membantu dan memberikan manfaat kepada masyarakat tersebut, tambah beliau.

Ditemui media pada akhir Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) 2024 di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 15 Oktober, Encik Masagos berkongsi usaha yang dijalankan rakan-rakannya seperti di Filipina dan Thailand, telah menunjukkan bahawa kepimpinan memainkan peranan penting dalam membangun sebuah masyarakat minoriti yang berjaya.

“Apa yang jelas adalah dalam kita memimpin masyarakat, bukan hanya sebagai pemimpin politik tetapi juga sebagai pemimpin masyarakat, kita harus selalu membina kepercayaan dalam kita sendiri dan juga di antara masyarakat yang berbilang kaum.

“Dan ini telah disampaikan oleh rakan saya tadi dari Thailand dan juga dari Filipina. Jadi, kita mengambil iktibar bahawa kita perlu bekerjasama, berganding bahu dalam masyarakat Islam di Singapura supaya kita terus menjadi masyarakat yang kuat dan menjadi masyarakat gemilang,” kata beliau.

Lebih 600 peserta tempatan dan antarabangsa menyertai edisi kedua sidang selama dua hari itu yang bertemakan ‘Menginspirasikan Pemimpin Masa Depan: Membina Kepercayaan, Memperkasa Masyarakat’.

Encik Masagos bersama dengan Setiausaha Jabatan Belanjawan dan Pengurusan Filipina, Cik Amenah F. Pangandaman; dan Datuk Bandar Yala, Thailand, Encik Pongsak Yingchoncharoen, merupakan ahli panel dalam satu sesi panel penutup di hari kedua dan terakhir ICCOS pada 15 Oktober.

Sesi itu turut disertai Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim, selaku pengerusi panel.

Menyingkap kembali, Encik Masagos berkata ICCOS telah memberi banyak manfaat kepada masyarakat Islam tempatan, dengan edisi yang pertama pada 2022 telah melahirkan beberapa daya usaha untuk mempertingkat masyarakat Melayu/Islam di sini berdasarkan perbincangan yang diadakan dan pendapat yang dikongsi.

Ini termasuk Program Penyelidikan dalam Pengajian Masyarakat Islam Gemilang (RPCS) yang dibentuk Muis sebagai sebahagian usaha memajukan kepimpinan pemikiran agama untuk masa depan.

Selain itu, program possiswazah yang dipanggil Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) untuk karyawan agama yang baru pulang dari universiti luar negara diwujudkan supaya mereka dapat meraih ilmu tentang cara menyampaikan agama yang sesuai dengan konteks masyarakat Islam minoriti yang hidup dalam negara berbilang bangsa dan agama.

Singapura juga akan mewujudkan Kolej Islam Singapura, dengan butirannya akan dikongsi Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, nanti, kata Encik Masagos.

Encik Masagos berharap peserta yang mengambil bahagian dalam ICCOS, terutamanya mereka yang menerajui kepimpinan masyarakat, dapat memahami pentingnya bagi mereka bersatu padu dan berani mengenal pasti dan menangani kelemahan semasa dan masa depan dalam masyarakat.

“Kita harus juga membina kekuatan masyarakat kita melalui pendidikan, peningkatan kemahiran dan sebagainya. Saya lihat mereka peka dan mereka, terutamanya yang dari Singapura, telah menunjukkan kepada pengunjung kami dari luar negara bahawa masyarakat kita adalah masyarakat yang tahu bagaimana menjadi masyarakat yang mesra hidup dalam negara yang berbilang bangsa seperti Singapura,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg