Kepimpinan keagamaan Singapura, termasuk pemimpin Islam di sini yang membentuk sebahagian daripada golongan minoriti, telah mencapai pembangunan tinggi dan berada dalam kedudukan baik yang membolehkan kerjasama silang agama mekar.
Hal sedemikian, kata Cik Amenah F. Pangandaman, merupakan ideal yang masyarakat Islam minoriti Filipina, yang membentuk sekitar 6.4 peratus berdasarkan banci 2020 Penguasa Statistik negara itu, dan minoriti lain ingin kecapi tetapi sukar diterapkan.
Menurutnya, Filipina masih bergelut dengan isu perpaduan silang kaum dan agama.
Cik Amenah merupakan Setiausaha Jabatan Belanjawan dan Pengurusan Filipina – satu-satunya wanita dalam pasukan ekonomi dan Muslim dalam kabinet Presiden Ferdinand R Marcos Jr.
Beliau berkata demikian kepada Berita Harian (BH) di luar Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) 2024 di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands baru-baru ini.
Cik Amenah merupakan antara panelis yang dijemput membuat pembentangan sebagai panel penutup pada hari kedua.
Beliau berkata: “Sungguhpun Singapura adalah masyarakat majmuk, kepimpinan keagamaan di sini telah mencapai pembangunan ketara.
“Ini berbanding Filipina yang masih bergelut bagi memupuk dan memberi motivasi kepada warganya untuk menyemai perpaduan sedemikian.
“Saya amat teruja melihat Tuan Presiden anda yang bukan Islam menghadiri acara seperti ini dan berkongsi tentang topik atau agenda bagi memacu (golongan minoriti) ke hadapan.”
Beliau merujuk kepada Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang hadir selaku tetamu terhormat pada hari pertama ICCOS.
Cik Amenah menjelaskan bahawa cabaran unik bagi golongan minoriti di Filipina, khususnya masyarakat Islam, adalah penempatan individu yang tertumpu sebahagian besarnya di selatan Filipina – iaitu di daerah Mindanao, Palawan dan Sulu.
Pemerintah persekutuan pula terletak di utara Filipina iaitu di ibu kota Manila dan ini, menurut beliau, “halangan secara geografi”.
“Menjadi golongan minoriti (di Filipina) sangat mencabar. Apabila anda orang minoriti, anda kurang perwakilan, dan apabila anda kurang perwakilan, tiada peluang bagi anda.
“Jadi dalam apa jua yang saya lakukan, saya mengambil peluang untuk melakukan sesuatu bagi memastikan semua inisiatif yang saya lakar bersifat inklusif – bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah peringkat tempatan,” tambah Cik Amenah.
Beliau memberi contoh berkenaan dasar awam yang tidak mengambil kira pertimbangan golongan minoriti, yang disifatkannya sebagai “pembaharuan dan dasar yang tidak mencukupi”.
“Apa yang saya inginkan adalah pada masa hadapan, kami menjadi sebuah negara seperti Singapura. Kami ada impian untuk mengurangkan kemiskinan, tingkatkan kehidupan rakyat Filipina.
“Kami ingin golongan minoriti seperti saya… untuk menjadi sebahagian daripada pertumbuhan atau pembangunan tersebut,” ujar beliau.
Bertemakan ‘Pemimpin Masa Depan Berinspirasi: Membangunkan Kepercayaan, Memperkasa Masyarakat’, edisi kedua ICCOS yang berlangsung selama dua hari pada 14 dan 15 Oktober dianjurkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Ia menyaksikan kehadiran lebih 600 hadirin pada hari pertama – terdiri daripada penggubal dasar dan pemimpin agama, antara lain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg