Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Kepimpinan PM Lee perkukuh sokongan terhadap parti pemerintah: Pengamat

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kepimpinan PM Lee perkukuh sokongan terhadap parti pemerintah: Pengamat

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, telah memimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi empat Pilihan Raya Umum (GE), dan dengan peralihan pucuk pimpinan negara, BERITA HARIAN mendapatkan pandangan penganalisis mengenai bagaimana prestasi parti pemerintah itu mencerminkan kepimpinan Encik Lee dan peranan beliau dalam GE akan datang.
Apr 19, 2024 | 04:24 PM



Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, telah memimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam empat Pilihan Raya Umum (GE) yang telah diadakan dalam landskap sosiopolitik baru dan mencabar.

Namun, populariti dan keyakinan rakyat kepada kepimpinan beliau bermakna Encik Lee telah mendapat mandat yang kukuh, yang wajar dibanggakan parti pemerintah.

Justeru, meskipun dalam pilihan raya akan datang, beliau tidak lagi memimpin negara sebagai Perdana Menteri, Encik Lee tetap mempunyai peranan penting dalam perjuangan PAP mendapatkan mandat rakyat, kata para pengamat politik ketika menjawab pertanyaan Berita Harian (BH).


Para pengamat itu memberi pemerhatian mereka dalam konteks kesan dan sumbangan Encik Lee berdasarkan prestasi parti pemerintah dalam pilihan raya sepanjang tempoh beliau sebagai Perdana Menteri.

Sedang peranan Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sebagai ketua perjuangan PAP dalam pilihan raya akan datang adalah jelas, namun ‘faktor Encik Lee’ akan berperanan besar terutama dengan aspirasi sebahagian rakyat yang mahukan ‘suara-suara berbeza’ di Parlimen.

Encik Lee mengumumkan keputusannya pada 15 April untuk menyerahkan pucuk pimpinan negara kepada Encik Wong.

Encik Wong akan menjadi Perdana Menteri keempat Singapura pada 15 Mei, selepas beliau mengangkat sumpah di Istana pada 8 malam.

Semasa bertemu media, Encik Wong mengumumkan beliau akan melantik Encik Lee sebagai Menteri Kanan di Kabinet kelak.

Encik Lee dilantik sebagai Perdana Menteri ketiga Singapura pada 12 Ogos 2004.

Beliau telah bertanding dan memenangi empat GE pada Mei 2006 (66.6 peratus); Mei 2011 (60.1 peratus); September 2015 (69.9 peratus) dan Julai 2020 (61.2 peratus).

Penganalisis kanan, Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, berkata rekod prestasi GE PAP pimpinan Encik Lee patut dipuji kerana beliau telah membawa parti itu mencatat empat kemenangan berturut-turut dan secara konsisten mencapai lebih 60 peratus undi.

“Pencapaian itu mengagumkan dalam keputusan pilihan raya. Kemuncaknya adalah pada 2015 apabila beliau mencapai hampir 70 peratus undi popular,” kata beliau.

Mendiang Encik Lee Kuan Yew, Perdana Menteri pertama Singapura yang juga bapa Encik Lee, memenangi lapan GE bersama PAP dengan keputusan undi terendahnya adalah pada GE1963 (47 peratus).

Perdana Menteri kedua negara, Encik Goh Chok Tong, membawa PAP meraih tiga kemenangan GE dengan keputusan undi corotnya berlaku pada GE1991 (61 peratus). 

Keputusan undi paling rendah Encik Lee adalah pada GE2011. Ketika itu, PAP mendapat undi 60.1 peratus – turun 6.5 peratus daripada 66.6 peratus pada GE2006, sebelum naik 6.8 peratus ke 69.9 peratus dalam GE2015.

Zamil Kanan dan Penyelaras di Program Kajian Sosial & Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata selain dasar pemerintah, isu sejagat dan wahana baru seperti penggunaan media sosial semasa GE dapat mencorak keputusan undi. 

Justeru, keutuhan mandat yang diterima parti pemerintah yang diteraju Encik Lee mencerminkan keyakinan rakyat mengenai keupayaan PAP menangani isu-isu tersebut, serta keberkesanan jentera parti pemerintah dalam mendekati penduduk menerusi wahana-wahana sedia ada.

Dr Norshahril menarik perhatian kepada kemenangan memberangsangkan PAP dalam pilihan raya sulung Encik Lee pada 2006.

Menurut beliau, antara isu penting ketika itu ialah ketidaktentuan geopolitik, yang berpunca daripada serangan pengganas 11 September 2001 di Amerika Syarikat.

“Kita perlu faham konteks pilihan raya diadakan dan tidak semestinya pada dasar sahaja.

“Kita juga harus lihat konteks keputusan pilihan raya pada konteks global, di mana sentimen masyarakat dunia tentang demokrasi, yang juga sudah melalui satu evolusi,” katanya.

Mengulas mengenai kemerosotan prestasi PAP pada pilihan raya 2011 pula – yang disebabkan isu dalaman negara seperti pengangkutan dan kemasukan warga asing – Dr Norshahril berkata Encik Lee telah bertindak secara tegas untuk menangani kemerosotan itu.

“Saya lihat setelah berlakunya GE2011, ada banyak usaha dilakukan oleh Encik Lee dan juga pasukan pemimpin 4G (Generasi Keempat) untuk mendekati rakyat, mengadakan perbincangan dengan orang bawahan untuk mendapatkan maklum balas. Itu membuahkan hasil dan rakyat lihat bahawa ada usaha untuk menyelesaikan masalah.

“Apa yang unik juga GE2015 adalah sambutan kemerdekaan 50 tahun Singapura dan Perdana Menteri Pengasas Encik Lee Kuan Yew yang meninggal dunia (pada tahun yang sama), mungkin antara faktor yang menyebabkan PAP menang besar,” ujar beliau.

Timbalan Ketua Jabatan Sains Politik, Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Bilveer Singh, berpendapat di tengah-tengah kemerosotan jumlah undi akibat keinginan sebahagian rakyat untuk suara alternatif, penguasaan PAP sebagai parti dominan di Singapura akan terus kekal dalam pilihan raya akan datang, dengan Encik Lee memainkan peranan penting dalam mencorak keputusannya bersama-sama dengan Perdama Menteri baru, Encik Lawrence Wong.

Di bawah kepimpinan Encik Lee, Singapura menyaksikan peluasan suara pembangkang politik, kata Profesor Bilveer.

Antaranya dengan jumlah Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) yang meningkat, serta pelantikan ketua pembangkang.

Dalam empat GE lalu, jumlah kerusi di Parlimen untuk pembangkang telah meningkat. 

Pada GE2006, pembangkang – dua Parti Pekerja (WP) dan satu Perikatan Demokratik Singapura (SDA) – mengisi tiga kerusi.

Sembilan kerusi dimenangi pembangkang pada GE2011 – lapan WP dan satu Parti Rakyat Singapura (SPP) – dan GE2015 (sembilan WP).

GE2020 menyaksikan bilangan pembangkang tertinggi sebanyak 12 kerusi – 10 WP dan dua Parti Kemajuan Singapura (PSP) – dalam era Encik Lee.

Encik Pritam Singh dari WP turut dilantik sebagai Ketua Pembangkang.

Bagaimanapun, di tengah-tengah landskap yang berubah itu, Encik Lee dapat terus mempertahankan dominasi PAP.

Memandang ke depan, kesam Encik Lee sebagai Menteri Kanan akan memberi keyakinan dan kesinambungan pentadbiran PAP yang berkesan.

“Legasinya sebagai negarawan domestik dan sejagat terjamin dan akan terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang,” kata Dr Mustafa.

“Impaknya sebagai Menteri Kanan akan menjadi ketara dalam Kabinet Encik Wong dan peranannya sebagai Menteri utama untuk GRC Ang Mo Kio akan menjadi penting dalam mengekalkan kawasan itu pada GE akan datang,” tambah beliau.

Profesor Bilveer bersependapat.

“Beliau tidak menghilang. Beliau akan berkempen.

“Kestabilan domestik telah wujud sejak 1960-an. Pertumbuhan ekonomi berterusan di tengah-tengah cabaran.

“Saya fikir ia adalah kesinambungan yang lancar ketiga-tiga Perdana Menteri secara keseluruhan dan bukannya rehat,” ujarnya. – Laporan tambahan IRMA KAMARUDIN, FAKHRURADZI ISMAIL 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >