Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Sumbangan, jasa PM Lee kepada masyarakat Melayu/Islam dihargai

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sumbangan, jasa PM Lee kepada masyarakat Melayu/Islam dihargai

Apr 16, 2024 | 07:15 PM



Keupayaannya bertutur dalam bahasa Melayu, perhatiannya kepada isu dan cabaran kaum minoriti serta kepekaannya terhadap keprihatinan masyarakat Islam di Singapura menjadikan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, ketua negara yang dikenang, dihormati dan disanjungi.

Menyusuli pengumuman bahawa Encik Lee akan melepaskan jawatannya pada 15 Mei nanti, beberapa Pertubuhan Melayu/Islam (MMO) telah menyingkap sumbangan dan jasa beliau kepada negara khususnya kepada masyarakat Melayu/Islam di sini.

Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) berkata Encik Lee sentiasa memaparkan sikap memahami dan baik budi ketika mendengar keprihatinan dan usulan badan itu, terutamanya menyentuh isu pemakaian tudung dalam sektor penjagaan kesihatan awam.

“Saya bersyukur kerana pekerja penjagaan kesihatan kini dibenarkan memakai tudung di tempat kerja mereka,” kata Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid.

Di Rapat Hari Kebangsaan pada Ogos 2021, Encik Lee telah mengumumkan kebenaran jururawat Muslim di sektor kesihatan awam memakai tudung dengan seragam mereka mulai November 2021.

Ustaz Muhammad Tarmizi turut menarik perhatian tentang daya kepimpinan Encik Lee yang diuji oleh ketidakpastian semasa pandemik Covid-19, dan bagaimana beliau masih dapat memimpin negara dalam mengharungi krisis itu dengan pantas dan berjaya.

Beliau menambah krisis itu melihat kerjasama berkesan antara pemerintah dengan Pergas untuk meningkatkan kehidupan dan masa depan asatizah dalam tempoh mencabar itu.

Semasa pandemik itu, Pakej Rahmah yang diperkenalkan oleh Pergas untuk menyokong asatizah bebas yang mata pencarian mereka terjejas dengan Covid-19 dilengkapi dengan Skim Bantuan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (SIRS) oleh pemerintah.

“Bagi pihak Pergas, saya berterima kasih kepada Encik Lee di atas jasa dan sumbangan yang tidak ternilainya kepada negara. Saya mendoakan yang terbaik untuk beliau dalam usaha masa depannya,” kata Ustaz Muhammad Tarmizi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman, berkata Encik Lee beriltizam dalam memastikan rakyat berbilang kaum dan agama di Singapura dapat hidup dalam keadaan harmoni, bersatu dan saling menghormati antara satu sama lain

“Di bawah kepimpinan beliau, masyarakat Islam diberi peluang untuk menjalani kehidupan beragama dengan baik, meningkatkan kemajuan khususnya dalam aspek pendidikan, serta menyumbang bakti kepada pembangunan negara,” katanya.

Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) pula berkata Encik Lee tanpa berbelah bagi berhubung dengan warga Singapura daripada setiap lapisan masyarakat dan kerap mendampingi masyarakat minoriti untuk lebih memahami perkara yang dekat dengan hati mereka.

Antara lain, Encik Lee telah mendorong PPIS agar terus bekerjasama dengan pertubuhan lain untuk menangani cabaran utama yang dihadapi masyarakat, kata jurucakap persatuan itu.

“Encik Lee juga sering mengiktiraf kemajuan masyarakat Melayu/Islam dan menggalakkan pertubuhan masyarakat bekerjasama untuk menyokong kumpulan yang mudah terjejas, supaya kita dapat meluaskan usaha kita untuk meningkatkan kehidupan masyarakat,” kata jurucakap itu.

“Kefasihan beliau bertutur dalam bahasa kebangsaan kita, bahasa Melayu, memberi inspirasi kerana ia menggalakkan dan membuka pintu untuk pertukaran yang bermakna,” tambahnya.

Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Syed Harun Taha Alhabsyi, berkata Encik Lee tidak sekadar memimpin Singapura untuk terus berkembang pesat di mata dunia dan terus berjaya dan makmur dari segi ekonomi, tetapi beliau juga “memimpin dengan hati yang berkhidmat secara ikhlas demi rakyat”.

Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) meluahkan penghargaannya di atas kepimpinan cemerlang dan perkhidmatan penuh dedikasi Encik Lee kepada Singapura.

“Encik Lee telah mengemudi Singapura melalui zaman mencabar dan makmur, membina sebuah masyarakat yang harmoni dan dihormati oleh warga dunia,” kata Pengarah Eksekutif 4PM, Encik Didicazli Ismail.

Presiden Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura, Encik Abdul Halim Kader, turut merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Lee di atas perkhidmatan penuh dedikasinya selama 20 tahun.

“Kepimpinan beliau telah secara ketara membentuk Singapura menjadi sebuah negara yang disegani di peringkat sejagat, meletakkan asas yang kukuh untuk generasi akan datang,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >