Parlimen meluluskan pindaan kepada Akta Insurans di Parlimen pada 16 Oktober, yang antara lain, akan memperkukuh daya pemerintah melindungi kepentingan awam berkaitan penanggung insurans yang merupakan koperasi.
Langkah itu akan membolehkan pembatalan cadangan perjanjian antara syarikat insurans Jerman Allianz dan syarikat insurans tempatan Income Insurance atas keprihatinan mengenai struktur perjanjian dan keupayaan Income meneruskan misi sosialnya.
Dengan pindaan Akta Insurans itu, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan mempertimbangkan pandangan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam permohonan masa depan berkaitan penanggung insurans, yang merupakan koperasi atau dikaitkan dengan koperasi.
Di bawah undang-undang baru itu, MAS juga boleh menahan kelulusan membabitkan permohonan sedemikian jika menganggap ia adalah demi kepentingan awam untuk berbuat demikian selain mengambil kira pertimbangan berhemat di bawah Akta Insurans (IA).
“Saya ingin memberi jaminan kepada Dewan bahawa Singapura kekal komited untuk mempertahankan status kami sebagai hab perniagaan terbuka, berasaskan peraturan dan pro-perusahaan.
“Perkara yang sama berlaku kepada MAS sebagai pengawal selia sektor kewangan. Tiada perubahan dalam hal ini,” kata Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat, yang juga Timbalan Pengerusi MAS.
Perubahan kepada undang-undang itu berlaku selepas Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, mengumumkan pada 14 Oktober di Parlimen bahawa cadangan perjanjian antara Allianz dan Income terpaksa dibatalkan dalam bentuk semasa.
Ini, katanya, disebabkan keprihatinan terhadap struktur perjanjian dan keupayaan Income untuk meneruskan misi sosialnya.
Pengumumannya dibuat tiga bulan selepas Allianz pada 17 Julai membuat tawaran untuk membeli sekurang-kurangnya 51 peratus saham Income dalam perjanjian yang bernilai $2.2 bilion.
Antara rancangan tersebut, yang ketika itu tidak dikemukakan kepada MCCY, adalah bagi Income menjalankan perniagaan insuransnya dengan lebih cekap, tanpa perlu memegang modal sebanyak yang ia lakukan sekarang.
Ia juga menunjukkan bahawa Allianz mengunjurkan bahawa Income boleh memulangkan kira-kira $1.85 bilion tunai kepada para pemegang sahamnya dalam tempoh tiga tahun pertama selepas selesai transaksi.
Dengan maklumat baru ini, Encik Tong berkata MCCY tidak yakin urus niaga yang dicadangkan itu tidak akan menjejaskan keupayaan gerakan koperasi secara keseluruhan, atau Income sendiri, untuk melaksanakan misi sosialnya.
Langkah menyekat perjanjian itu dibuat selepas MAS memberikan MCCY maklumat baru mengenai cadangan transaksi itu berikutan persidangan Parlimen pada 6 Ogos di mana isu itu dibahaskan.
Encik Chee yang membentangkan rang undang-undang itu, berkata pemerintah perlu membuat pindaan kepada rang undang-undang itu dengan segera kerana urus niaga yang dicadangkan sedang dalam pertimbangan aktif oleh pemegang saham Income.
“Ia adalah skop yang ketat kepada penanggung insurans koperasi, penanggung insurans yang telah menjalankan perniagaan koperasi atau mempunyai pemegang saham yang besar atau pengawal yang berkesan iaitu koperasi. Ini mengiktiraf bahawa koperasi insurans adalah kategori khas penanggung insurans dengan misi sosial.
“Memandangkan pada masa ini tiada peruntukan dalam IA yang membenarkan MAS mempertimbangkan pandangan MCCY…, cadangan pindaan itu akan membolehkan MAS menimbangkan pandangan MCCY... dan untuk menahan kelulusan yang melibatkan permohonan sedemikian jika Menteri yang bertanggungjawab MAS menganggap bahawa ia adalah demi kepentingan awam untuk melakukannya,” kata Encik Chee.
Beliau menambah dengan pindaan itu, MAS boleh mengenakan syarat untuk memastikan komitmen Income kepada misi sosialnya ditegakkan selepas transaksi.
Rang undang-undang tersebut telah diluluskan di Parlimen pada 16 Oktober. Namun, semua AP Parti Pekerja (WP) mengecualikan diri daripada undian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg