Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suasana kelas Mendaki pengaruhi prestasi cemerlang di PSLE

Oct 1, 2024 | 2:40 PM
Faiqa Alisa Putri Mohamed Faiz menerima anugerah Pelajar Keseluruhan Terbaik (PSLE) pada majlis Anugerah Tuisyen Bersama (JTA) 2024 yang berlangsung di Politeknik Republik pada 24 Ogos 2024 lalu bersama tetamu terhormat, Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang.
Faiqa Alisa Putri Mohamed Faiz menerima anugerah Pelajar Keseluruhan Terbaik (PSLE) pada majlis Anugerah Tuisyen Bersama (JTA) 2024 yang berlangsung di Politeknik Republik pada 24 Ogos 2024 lalu bersama tetamu terhormat, Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang. - Foto YAYASAN MENDAKI
Ibu Faiqa Alisa Putri Mohamed Faiz, Cik Noor Farhani Mohamed Rahim (bertudung), banyak memberi dorongan dengan menyediakan pelbagai bahan rujukan tambahan dan menggalakkan anaknya memasuki Program Tuisyen Mendaki (MTP) atau sebelum ini dikenali sebagai Skim Tuisyen Mendaki bagi membaiki prestasi akademik semasa.
Ibu Faiqa Alisa Putri Mohamed Faiz, Cik Noor Farhani Mohamed Rahim (bertudung), banyak memberi dorongan dengan menyediakan pelbagai bahan rujukan tambahan dan menggalakkan anaknya memasuki Program Tuisyen Mendaki (MTP) atau sebelum ini dikenali sebagai Skim Tuisyen Mendaki bagi membaiki prestasi akademik semasa. - Foto YAYASAN MENDAKI

Seorang pelajar, Faiqa Alisa Putri Mohamed Faiz, 13 tahun, yang sebelum ini bergelut dalam akademik peringkat rendah, telah mempamerkan perubahan ketara, setelah tiga tahun mengikuti Program Tuisyen Mendaki (MTP).

Mengalami penurunan prestasi pembelajaran, Faiqa Alisa pada awalnya hanya menyasarkan lulus sekurang-kurangnya Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Namun, usaha tanpa hentinya telah menuai hasil membanggakan, apabila dia berjaya meraih keputusan cemerlang dalam PSLE pada tahun 2023, sekali gus membaiki prestasi akademiknya, daripada gred AL6 kepada AL1 bagi subjek Matematik dan Sains.

Malah, dia juga merangkul anugerah Pelajar Keseluruhan Terbaik (PSLE) pada majlis Anugerah Tuisyen Bersama (JTA) 2024 yang berlangsung di Politeknik Republik pada 24 Ogos lalu.

BERDEPAN CABARAN KELUARGA

Menurut Faiqa Alisa, pelbagai cabaran perlu dihadapi sepanjang perjalanan pendidikannya, khususnya ketika abangnya menderita penyakit angin ahmar dan keluarga perlu berpindah ke tempat tinggal sementara.

Keadaan tersebut mengganggu prestasi akademiknya kerana dia terpaksa menyesuaikan diri dengan suasana baru dan perhatian keluarga pula teralih kepada usaha menjaga abangnya itu.

Konsistensi persekitaran belajar yang tidak stabil telah menyebabkan perhatiannya sebagai pelajar, sedikit terganggu. Kesannya, dia mengalami kesukaran untuk menguasai sesetengah subjek.

IBU SUMBER INSPIRASI TERBESAR

Walaupun begitu, pelajar Menengah Satu Sekolah Menengah Junyuan itu mendapat sokongan hebat daripada ibunya, Cik Noor Farhani Mohamed Rahim, 43 tahun, yang membantunya mengatasi segala cabaran tersebut.

Faiqa Alisa, yang bercita-cita menjadi seorang pendidik, berkata beliau bertuah mempunyai ibu yang mengambil berat terhadap perkembangan pendidikannya.

Ibunya menyediakan pelbagai bahan rujukan tambahan dan menggalakkannya memasuki MTP, atau sebelum ini dikenali sebagai Skim Tuisyen Mendaki, bagi membaiki prestasi akademik semasa.

Tambah Faiqa Alisa: “Ibu merupakan sumber inspirasi terbesar dalam hidup saya. Beliau banyak memberi dorongan agar saya cemerlang dan mengalakkan saya menyertai MTP semasa sekolah rendah bagi subjek Matematik dan Sains.

“Berkat sokongan beliau yang begitu bersungguh-sungguh terhadap anak, akhirnya saya berjaya mencapai kejayaan cemerlang dalam akademik.”

SOKONGAN POSITIF DALAM KELAS MENDAKI

Anak bongsu tiga beradik itu juga bersyukur kerana sesi pembelajaran dalam MTP, menggunakan pendekatan mesra pelajar dan menambahkan keyakinannya menerusi pembelajaran interaktif.

“Tutor MTP sangat baik. Mereka menjelaskan konsep-konsep rumit dengan cara yang mudah difahami. Dengan bantuan tutor, saya mampu menguasai teknik penyelesaian masalah dengan lebih berkesan.

“Sekiranya saya tidak mampu memahami subjek tertentu, tutor akan sediakan sesi tambahan, selepas tamat kelas tuisyen, bagi membincangkan masalah tersebut secara dua hala.

“Ia dapat menghilangkan kebingungan dan menjadikan proses pembelajaran lebih seronok,” jelas Faiqa Alisa, yang masih mengikuti MTP bagi subjek Bahasa Inggeris dan Matematik bagi peringkat menengah.

ANAK SEMAKIN FOKUS

Turut gembira dengan pendekatan MTP, Cik Noor Farhani juga menyedari perubahan positif anaknya dalam pelajaran.

“Dia (Faiqa) seorang yang tidak begitu vokal dan kadang-kadang malu bertanya dalam kelas. Tetapi, saya lihat dia sangat selesa dalam kelas MTP kerana sikap tutor yang senang didekati dan berdedikasi tinggi. Dia juga menunjukkan kegembiraan menyertai MTP kerana dapat berkenalan dengan kawan-kawan baru.

“Setakat ini, prestasi akademiknya sangat memuaskan dengan sokongan bahan rujukan bagus daripada MTP, terutama sekali untuk para pelajar yang mempunyai prestasi akademik merosot.

“Secara keseluruhannya, MTP telah membuktikan bahawa dengan sokongan tepat, pelajar mampu mencapai potensi tertinggi dalam diri mereka,” kata Cik Noor Farhani.

Dibuka kepada pelajar sekolah rendah Darjah Satu hingga Enam dan Menengah Satu hingga Lima, Program Tuisyen Mendaki (MTP) ini menawarkan sokongan akademik yang menyeluruh bagi subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dengan yuran $10 sahaja.

Program ini dijalankan secara fizikal dan dalam talian oleh tutor berkelayakan dalam kumpulan kecil pada hari-hari biasa dan hujung minggu.

Pendaftaran untuk kelas 2025 akan bermula dari 15 Oktober (untuk pelajar semasa) dan 4 November (untuk pendaftaran baru) dan akan tamat pada 31 Disember 2024. Lungsuri laman my.mendaki.org.sg untuk maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg