Murid-murid yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada 2025 akan menerima keputusan mereka mulai 11 pagi, 25 November.
Pihak sekolah telah membuat persiapan bagi murid untuk mengambil keputusan mereka, serta akan memaklumkan kepada mereka tentang aturan tersebut.
Demikian menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (Seab) dalam satu kenyataan bersama pada 18 November.
Murid yang tidak dapat hadir ke sekolah untuk mengambil keputusan mereka secara peribadi boleh melantik wakil untuk mengambilnya bagi pihak mereka sehingga 27 November.
Ibu bapa boleh menghantar pilihan Sekolah Menengah 1 anak mereka melalui Portal Menengah 1 di laman web MOE dari 11.30 pagi pada 25 November hingga 4.30 petang pada 1 Disember.
Ibu bapa perlu mempunyai akaun Singpass yang sah untuk log masuk ke portal tersebut.
Hanya salah seorang ibu atau bapa diperlukan untuk log masuk dan menghantar pendaftaran melalui portal tersebut.
Ibu bapa yang memerlukan bantuan bagi urusan penghantaran dalam talian boleh menghubungi sekolah rendah anak mereka sebelum 4.30 petang pada 1 Disember.
Keputusan penempatan sekolah Menengah 1 akan diumumkan pada 18 atau 19 Disember melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), tambah kenyataan itu.
Maklumat itu juga boleh didapati di laman web MOE atau di sekolah rendah murid, lapor The Straits Times (ST).
Dalam kenyataan tersebut, MOE dan Seab berkata para murid digalakkan mempertimbangkan faktor seperti budaya sekolah, program khas, subjek yang ditawarkan serta kegiatan kokurikulum (CCA) dalam pemilihan sekolah menengah mereka.
Murid Darjah 6 akan memasuki sekolah menengah mengikut tiga kumpulan penempatan, iaitu 1, 2 dan 3, yang dipadankan dengan julat markah PSLE bagi aliran Normal (Teknikal), Normal (Akademik) dan Ekspres.
Murid yang layak untuk Kumpulan 1, atau pilihan Kumpulan 1 atau 2 dan lebih berminat dengan pembelajaran amali atau berasaskan latihan, boleh membuat permohonan bagi Sekolah Menengah Crest (CSS) dan Sekolah Menengah Spectra (SSS).
Murid yang layak boleh menghantar permohonan mereka terus kepada sekolah berkenaan.
Namun, mereka tetap perlu menghantar Borang Pilihan Sekolah Menengah 1 supaya dapat ditempatkan di sekolah pilihan mereka yang lain, sekiranya tidak diterima masuk ke CSS atau SSS.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg