Murid yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada 2026 akan menerima keputusan mereka pada 11 pagi, 24 November, umum Kementerian Pendidikan (MOE) pada 17 November.

Dalam satu kenyataan bersama, MOE dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) berkata persiapan telah dibuat bagi membolehkan calon mengambil keputusan di sekolah rendah masing-masing.

Pihak sekolah akan memaklumkan butiran mengenai pengambilan keputusan.

Murid yang tidak dapat mengambil keputusan di sekolah pada 24 November boleh melantik wakil untuk berbuat demikian selewat-lewatnya pada 26 November.

Ibu bapa boleh mengemukakan pilihan sekolah menengah dan aliran pendidikan anak mereka bagi penyertaan ke Menengah 1 menerusi portal di laman web Penempatan Menengah 1 MOE mulai 11.30 pagi pada 24 November hingga 4.30 petang pada 30 November.

Hanya seorang ibu atau bapa perlu mendaftar masuk dan mengemukakan pendaftaran menggunakan akaun Singpass yang sah.

Mereka yang memerlukan bantuan mengemukakan permohonan dalam talian boleh menghubungi sekolah rendah anak mereka sebelum 4.30 petang pada 30 November.

Keputusan penempatan Menengah 1 dijangka diumumkan pada 18 Disember, dengan tarikh rasmi akan dimaklumkan kemudian, menurut kenyataan bersama MOE dan SEAB.

Keputusan boleh disemak menerusi portal dalam talian, SMS jika nombor telefon setempat diberikan semasa permohonan, atau di sekolah rendah murid berkenaan.

MOE dan SEAB menggalakkan murid mengambil kira budaya sekolah, mata pelajaran yang ditawarkan serta kegiatan kokurikulum (CCA) apabila memilih sekolah menengah.

Daripada enam pilihan, murid digalakkan menyenaraikan sekurang-kurangnya dua hingga tiga sekolah yang pada tahun-tahun sebelumnya mencatat markah kelayakan lebih rendah daripada markah PSLE mereka.

Markah kelayakan terendah (cut-off points) tahun-tahun sebelumnya dianggap hanya sebagai panduan dan boleh berubah setiap tahun bergantung pada keputusan PSLE kohort berkenaan serta pilihan sekolah semasa latihan penempatan sekolah, menurut kenyataan itu.

Murid Darjah 6 akan memasuki sekolah menengah mengikut tiga kumpulan penempatan - 1, 2 dan 3 - yang menentukan tahap mata pelajaran yang boleh diambil pada permulaan Menengah 1.

Murid yang layak memasuki kumpulan 1 atau mempunyai pilihan antara kumpulan 1 dan 2 serta lebih berminat terhadap pembelajaran amali boleh memohon ke Sekolah Menengah Crest atau Sekolah Menengah Spectra.

Murid yang layak dan berminat boleh memohon terus kepada sekolah-sekolah tersebut.

Bagaimanapun, mereka masih perlu menyerahkan Borang Pilihan Menengah 1 bagi membolehkan penempatan di sekolah pilihan lain jika tidak diterima masuk ke Crest atau Spectra, menurut kenyataan itu.