Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Leukemia tidak halang pelajar raih keputusan baik dalam PSLE

Nov 25, 2025 | 6:03 PM
PSLE, Leukemia, pelajar
Azaan Khan Mohamed Rafi (tengah) disahkan menghidap Leukemia Limfoblastik Akut (ALL) sekitar empat bulan sebelum kertas PSLE pertamanya. Namun, sokongan bapa, Encik Mohamed Rafi Khan (kiri) dan ibu, Cik Siti Noraini (kanan), serta pihak sekolah, telah menjadi kekuatan untuknya menjalani rawatan dan menduduki peperiksaan dari dalam bilik hospital. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Sebelum diagnosis pada Mei lalu, rutin harian Azaan Khan Mohamed Rafi, 12 tahun, sentiasa rancak... dipenuhi latihan ragbi, pertandingan matematik, dan kegembiraan membina set Lego di rumah.

Aktiviti inilah yang menjadi pembakar semangat dan sumber kegembiraannya di tengah-tengah jadual sekolah yang padat, terutama ketika dia sedang mengharungi tahun genting Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Justeru, apabila ibu bapa dan para guru menyedari bahawa Azaan kerap kelihatan lesu, mereka menganggap ia hanyalah keletihan biasa akibat tuntutan sukan dan tugasan sekolah.

Namun, segalanya berubah sama sekali apabila dia disahkan menghidap Leukemia Limfoblastik Akut (ALL), hanya kira-kira empat bulan sebelum kertas PSLE pertamanya.

Menurut gurunya, Encik Mohd Hasri Bahari, tanda-tanda perubahan pada diri Azaan sudah mula dikesan lebih awal.

“Penyakit ini telah membuat Azaan cepat letih, dan lama-kelamaan dia mula susut berat badan. Ini amat berbeza dengan pelajar yang kami kenali... seorang yang penuh karisma dan selalu membawa keceriaan ke dalam bilik darjah.

“Sebagai guru, rasa kasihan kami terhadap Azaan memang tidak dapat dibendung,” katanya.

Sejak diagnosis itu, Azaan terpaksa menyempurnakan baki tahun persekolahannya di Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH) demi menjalani rawatan kemoterapi hampir dua kali seminggu.

Walaupun keadaan fizikalnya sering terjejas, semangatnya tetap membara ketika menduduki PSLE keseorangan di bilik hospital.

“Saya tidak pernah terbayang duduki peperiksaan tanpa rakan-rakan di sisi. Di hospital, suasananya sepi dan janggal. Hati saya berdebar dan terasa benar-benar sunyi,” katanya.

Azaan akhirnya menerima keputusan PSLE di Sekolah Rendah Bedok Green pada 25 November.

Sebanyak 37,926 pelajar Darjah 6 telah menduduki peperiksaan itu tahun ini dengan sekurang-kurangnya 98 peratus layak melangkah ke sekolah menengah, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dalam satu kenyataan.

Sebagai anak sulung daripada tiga beradik, Azaan dikenali sebagai seorang yang berdaya saing dan sentiasa mahu melakukan sesuatu dengan terbaik.

Malah, dia pernah menjadi kapten pasukan ragbi dan mewakili sekolah dalam beberapa pertandingan Matematik berprestij tahun ini.

“Apa saja dia buat, dia mahukan yang terbaik sama ada dalam bidang sukan, matematik atau permainan video,” kata ibunya, Cik Siti Noraini, 38 tahun.

Sifat-sifat itu menjadi penguat semangat yang membolehkannya meneruskan perjuangannya untuk menghabiskan tahun peperiksaan ini walaupun sedang menjalani rawatan.

Kata Azaan, penyesuaian jadual termasuk sesi hibrid serta bimbingan berterusan daripada guru-guru memastikan dia tidak tercicir daripada persediaan peperiksaan.

Penyesuaian jadual termasuk sesi hibrid serta bimbingan berterusan daripada guru-guru memastikan pesakit seperti Azaan Khan Mohamed Rafi tidak tercicir daripada persediaan peperiksaan.
Penyesuaian jadual termasuk sesi hibrid serta bimbingan berterusan daripada guru-guru memastikan pesakit seperti Azaan Khan Mohamed Rafi tidak tercicir daripada persediaan peperiksaan. - Foto ihsan oleh MOHAMED RAFI KHAN

Penyesuaian ini membolehkan dia mengikuti pengajian dari rumah dan terus hadir secara dalam talian meskipun sedang menjalani rawatan.

Sokongan tersebut membantu mengekalkan rutin akademiknya. Ini penting baginya untuk terus terhubung dengan pengajaran di sekolah.

Di rumah pula, dia mengekalkan rutin ulang kaji yang teratur, manakala lawatan hospital oleh guru-guru menjadi pemangkin semangat sepanjang fasa sukar itu.

Dalam perkongsiannya kepada Berita Harian (BH) sejurus menerima keputusan, Azaan menyatakan bahawa dia menantikan permulaan fasa baru di sekolah menengah.

Walaupun masih belum menetapkan cita-cita tertentu, dia melihat peralihan ini sebagai peluang untuk membuka lembaran baru dalam membina keyakinan diri setelah melalui tempoh rawatan yang panjang.

“Saya hanya mahu buat yang terbaik dan menjadi orang yang berjaya satu hari nanti, Itu sahaja harapan saya,” kata Azaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg