KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengadakan Operasi Khas bagi mengambil tindakan menyita dan melucut hak terhadap kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata operasi khas itu dijalankan susulan beberapa siri kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya membabitkan kenderaan terbabit.
Ia termasuk kemalangan ngeri yang menyebabkan tujuh termasuk seorang wanita Singapura terkorban pada 23 Disember.
Beliau berkata tindakan tegas itu diambil di bawah akta berkenaan menerusi Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ di serata negara.
“Menerusi tindakan penguatkuasaan itu, pemilik syarikat atau kenderaan akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 57 Akta 715 atas kesalahan disyaki Melanggar Lesen Pengendali iaitu gagal memberi keutamaan yang tinggi ke atas pengguna jalan raya lain.
“Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda mengikut seksyen yang sama iaitu denda tidak kurang RM1,000 ($303) dan tidak lebih RM 500,000.
“Melalui tindakan itu juga, kenderaan yang terbabit boleh disita di bawah Seksyen 80 Akta 715 dan kenderaan itu turut boleh dilucut hak sekiranya sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.
Awal sebelum ini, Malaysia dikejutkan dengan tragedi kemalangan ngeri yang mengorbankan tujuh individu termasuk seorang penumpang bas persiaran warga Singapura dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Plaza Tol Simpang Ampat, pada 23 Disember malam.
Tayar lori yang tercabut dipercayai menjadi punca nahas jalan raya membabitkan lima kenderaan itu yang turut menyebabkan aliran trafik sesak di kededua arah selama kira-kira empat jam.
Mengulas lanjut, Datuk Aedy Fadly berkata menerusi Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ di serata negara itu, pihak JPJ akan menumpukan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan berdasarkan beberapa kesalahan iaitu lebih muatan, kesalahan teknikal, kesalahan dokumentasi, kesalahan lalu lintas dan kesalahan teknikal pembuatan dan penggunaan kenderaan.
Menurutnya, JPJ akan melaksanakan tindakan tanpa bertolak ansur kepada pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Tindakan penguatkuasaan yang lebih tinggi terus dipertingkatkan dan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan tahap pematuhan peraturan keselamatan jalan raya di seluruh negara.
“JPJ memandang serius trend kemalangan membabitkan kenderaan perdagangan sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg