Siasatan koroner mengenai kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dilanggar bas sekolah dimulakan pada 20 Februari.
Mahkamah diberitahu pemandu bas sekolah itu tidak melihat kanak-kanak tersebut sebelum kemalangan berlaku.
Nivya Rameshwar, murid Darjah 2, dibawa ke Hospital Besar Sengkang dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas nahas di kondominium The Topiary di Fernvale pada 15 Ogos 2024.
Dia disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Pada 20 Februari, siasatan koroner dimulakan mengenai kematian Nivya, lapor The Straits Times.
Ibu bapa Nivya hadir dalam siasatan itu bersama peguam keluarga, Encik Alfred Dodwell dan Cik Lolita Andrew.
Inspektor Stesen (SI) Jeff Tan, pegawai penyiasat Polis Trafik (TP), memberitahu mahkamah mengenai kejadian sekitar 6.20 pagi pada hari kemalangan.
Pembantu keluarga, Cik Sivakumar Ilavarasi, berkata beliau selalu membawa Nivya ke jalan raya kecil ke tempat letak kereta untuk menunggu bas sekolah.
Pada hari kejadian, beliau memberitahu Nivya agar menunggu di pintu pagar blok mereka sementara beliau meletakkan beg sekolahnya di seberang jalan.
Namun, selepas meletakkan beg, Nivya tidak kelihatan.
Pemandu bas mini tersebut, Encik Phua Hak Heong, pula baru mengambil seorang pelajar lain dan sedang dalam perjalanan untuk mengambil pelajar lain.
Beliau memperlahankan kenderaan apabila melihat Cik Sivakumar melintas, tetapi tidak melihat Nivya.
Namun, Encik Phua dapat rasakan kesan impak dan sedar telah melanggar seseorang.
Pembantu rumah itu berlari dan menjerit meminta tolong dan ia didengari bapa Nivya dari rumah.
Selepas melihat pembantunya memegang Nivya, Encik Rameshwar segera turun dan memeriksa anaknya, disusuli ibu Nivya, seorang jururawat.
Nivya meninggal dunia akibat kecederaannya di Hospital Sengkang sekitar 7.30 pagi.
Encik Phua ditahan kerana memandu dengan cuai hingga menyebabkan kematian.
Belum diketahui sama ada beliau akan didakwa.
SI Tan berkata kamera bas mini itu mungkin tidak merakam nahas tersebut atau kad memorinya rosak.
Mahkamah turut diberitahu adanya tembok dan semak di blok Nivya yang menghalang penglihatan pemandu.
Koroner Negara Adam Nakhoda mengarahkan SI Tan supaya memberikan rakaman kemalangan kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) bagi menentukan sama ada kelajuan pemanduan itu boleh dianalisis.
Beliau turut meminta penyiasat agar mengesahkan ketinggian tembok dan tumbuhan semak, di samping memeriksa sama ada ujian pernafasan bagi mengukur jumlah alkohol Encik Phua telah dilakukan.
Keputusan akan diumumkan kelak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg