PETALING JAYA: Jika warga asing membeli petrol bersubsidi di stesen minyak tempatan di Malaysia, peniaga itu boleh didenda sehingga RM1 juta ($306,651) atau penjara tiga tahun – tetapi warga asing itu sendiri terlepas tanpa sebarang kesalahan.
Kecewa dengan keadaan itu dan peningkatan jumlah warga asing yang mengeksploitasi keadaan tersebut, peniaga petrol kini mahu undang-undang untuk menghukum warga asing seperti itu.
Setiausaha Media dan Perhubungan Persatuan Peniaga Petrol Malaysia (PDAM), Encik Gordon Lim, berkata pembelian petrol RON95 bersubsidi oleh kenderaan asing harus dilarang, dengan pesalah didakwa bersalah.
Beliau berkata sukar bagi peniaga petrol mengawasi kereta asing yang menggunakan pam petrol yang terletak di hujung stesen dan menggunakan kad kredit untuk mengisi dengan cepat.
“Adalah tidak adil menghukum peniaga stesen minyak. Peniaga tidak mahu menjual RON95 kepada warga asing. Margin keuntungan dalam urus niaga sedemikian adalah minimum, jadi tidak praktikal atau berbaloi untuk melanggar undang-undang.
“Selagi pembeli tidak dihukum, mereka akan sentiasa mencuba,” kata Encik Lim, lapor The Star.
Selepas video menunjukkan kereta asing mengisi RON95 di stesen minyak di Johor menjadi tular, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mengeluarkan peringatan bahawa kenderaan asing dilarang membeli petrol RON95.
Encik Lim berkata isu itu perlu dikendalikan melalui pembaharuan dan penguatkuasaan sistemik, dan bukannya mengenakan syarat yang tidak boleh dipertahankan kepada peniaga petrol.
Beliau berkata tiada kaedah berkesan mengenal pasti kenderaan dengan plat pendaftaran asing dengan mudah, kerana plat Singapura adalah serupa dengan plat dari Sabah.
Encik Lim menambah bahawa cadangan supaya seorang atendan ditempatkan di setiap pam untuk memantau kenderaan asing adalah tidak sesuai, kerana ia akan meningkatkan kos operasi secara drastik.
Dengan margin keuntungan amat tipis di bawah mekanisme penetapan harga automatik (APM), kos buruh tambahan akan membawa kepada kerugian besar bagi pengendali.
Beliau berkata ia juga bermakna peningkatan pergantungan kepada buruh asing, kerana rakyat tempatan secara amnya tidak mahu menjadi atendan pam.
“Ia juga tidak bersesuaian dengan konsep layan diri di stesen minyak,” katanya.
Ditanya sama ada isu itu akan diselesaikan apabila rasionalisasi subsidi bahan api dilaksanakan, Encik Lim berkata PDAM masih tidak ada sebarang butir mengenai perkara itu. Namun, jika subsidi dihapuskan sepenuhnya, tidak ada sebarang isu.
Sebelum ini, dirakam melalui video beberapa kes pemandu Singapura mengisi petrol bersubsidi RON95 di stesen minyak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg