Sebuah keluarga warga Singapura mendapati kereta mereka dipecah masuk selepas membeli-belah di Johor Bahru pada 18 Disember.
Lelaki itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Azhar, berkongsi bahawa beliau, isterinya, dan anak lelaki mereka yang berusia setahun telah memandu masuk ke Johor Bahru dengan kereta rakan sekerjanya.
Beliau meletakkan kereta di sebuah gedung membeli belah ‘Little Genius’ selama kira-kira dua jam, dan terkejut apabila sekembalinya mereka ke kereta, tingkap bahagian penumpang belakang sebelah kanan didapati pecah.
Beg galas jenama Hellolulu berwarna hitam yang mengandungi termos air panas untuk anaknya dan alat peranti AirPods isterinya telah hilang.
“Kami meninggalkannya di tempat duduk belakang kerana hari masih siang dan kami fikir kawasan itu mempunyai kawalan keselamatan.”
Encik Azhar dan rakan sekerjanya berkata mereka mengesyaki kereta Hyundai Sonata model lama yang dipandunya itu mungkin menjadi sasaran kerana usianya selain kurang ciri keselamatan.
Keluarga itu terpaksa memendekkan tempoh perjalanan mereka dan menghabiskan sepanjang hari membuat laporan polis, Akibatnya mereka tidak dapat meneruskan rancangan untuk pergi ke taman permainan di Aeon Mall.
Encik Azhar menawar untuk membayar pembaikan kerosakan pada kereta itu, tetapi rakan sekerjanya berkata beliau akan memfailkan tuntutan insurans.
“Saya ingin memberi amaran kepada rakyat Singapura bahawa apa sahaja boleh berlaku. Berwaspada dan jangan tinggalkan sebarang beg di tempat duduk anda (dalam kereta), tidak kira betapa kecil barang di dalamnya.”
Beliau menambah bahawa kerumitan melaporkan kejadian dan membaiki tingkap sememangnya tidak berbaloi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg