Pemilik kereta yang membiarkan pintu mereka tidak berkunci di tempat letak kereta Suntec City mendapati pelbagai barangan termasuk jam tangan mewah dan wang tunai lebih daripada $25,000 dicuri.
Pencuri itu, Mohamed Rasid Mohd Ali, 56 tahun, dijatuhi hukuman penjara 26 bulan pada 27 November selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mencuri.
Pegawai Pendakwa Negara Encik Ting Nge Kong berkata salah seorang mangsa – seorang warga Singapura berusia 40 tahun – telah meletakkan kereta Porschenya di besmen satu kira-kira jam 3.30 petang pada 13 Mei 2024.
Rasid, yang pergi ke sana dengan niat untuk mencuri dari kenderaan yang tidak berkunci, menyedari bahawa Porsche itu tidak berkunci, lapor The Straits Times.
Dia memasuki kereta melalui pintu pemandu dan mencuri pelbagai barangan dari ruang tengah hadapan, termasuk dua dompet mengandungi wang tunai $1,000 secara keseluruhan dan jam tangan mewah jenama Audemars Piguet bernilai $30,000.
Pemandu itu kembali ke keretanya kira-kira 5.15 petang dan mendapati barang-barang itu hilang. Beliau membuat laporan polis tiga hari kemudian.
Rasid kembali ke tempat letak kereta pada 29 Ogos untuk mencuri dari kereta yang tidak berkunci, dan antara 11 pagi dengan 2.30 petang, dia melihat sebuah lagi Porsche yang tidak berkunci di besmen dua tempat letak kereta.
Dia mencerobohi kereta itu dan mencuri Rolex bernilai $14,000 yang ditinggalkan di dalam tempat meletak cawan.
Pemandu itu kembali ke kereta kira-kira jam 9 malam dan memandu dengan tergesa-gesa, kerana sudah terlewat untuk janji temu makan malam.
Beliau menyedari bahawa jam tangannya hilang tetapi tidak mengesyaki kecurian kerana berfikir kemungkinan tertinggal di rumah.
Kira-kira 9.50 malam pada hari yang sama, Rasid menemui sebuah lagi kereta yang tidak berkunci dan mencuri wang tunai $19,328 daripada beg Cartier yang ditinggalkan di tempat duduk belakang dan wang tunai $6,000 yang berada di bahagian tengah di sebelah depan kereta.
Dia pergi ke kedai barang kemas dan menggunakan sebahagian wang tunai untuk membeli gelang bernilai $10,350.
Pemilik wang tunai itu menghubungi polis pada hari yang sama ia dicuri, manakala pemilik Rolex yang tidak menemuinya di rumah membuat laporan polis pada 8 September.
Polis kemudiannya mengenal pasti identiti Rasid dan menahannya pada 19 September.
Jam tangan Rolex dan Audemars Piguet ditemui dari rumahnya berikutan serbuan, manakala selebihnya barangan termasuk wang tunai dan gelang tidak ditemui.
Rasid mendakwa dia telah menjual gelang itu kepada orang yang tidak dikenali di Batam, dan dia membelanjakan hasil serta wang tunai yang lain.
Bagi setiap pertuduhan mencuri, Rasid, yang mempunyai sejarah melakukan kecurian, boleh dipenjara hingga tiga tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg