AMPANG (Selangor): Anak seorang penyanyi terkenal Malaysia antara enam individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan supercar jenis Ferrari di sebuah pusat cuci kenderaan di Hulu Kelang, Selangor, pada 17 November.
Seorang ahli perniagaan berusia dalam lingkungan 50-an tahun yang juga pemilik Ferrari itu membuat laporan polis selepas kenderaannya dilaporkan hilang dipercayai dicuri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM300,000 ($90,260).
“Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya yang menjalankan siasatan lanjut kemudian menahan empat lelaki tempatan berusia 23 hingga 33 tahun di sekitar daerah Ampang pada 17 November.
“Tangkapan susulan dibuat tiga hari kemudian (20 November) ke atas seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun sebelum Ferrari tersebut ditemui di tempat letak kereta sebuah kediaman di Taman Tunku, Ampang, pada 23 November.
“Bagaimanapun, nombor pendaftaran kenderaan itu telah ditukar kepada nombor pendaftaran palsu,” katanya, lapor Kosmo!.
Datuk Hussein menambah, seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Ferrari itu dibawa lari oleh bekas pemandu yang mendakwa tidak dibayar gaji, namun kita masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Menurut Datuk Hussein, pihaknya merampas pelbagai barangan antaranya lapan telefon bimbit, kunci Ferrari dan sebuah lagi kereta jenama Kia, beg silang, pasport serta tali lanyard (gantung) bersambung pisau berhulu.
Selain kereta Ferrari yang dilarikan, turut dirampas ialah kereta Naza Suria, BMW X5, BMW dan alat kawalan jauh kereta.
Menurut Datuk Hussein, tiga suspek dibebaskan dengan jaminan polis, manakala dua lagi direman sehingga 28 November dan seorang lagi sehingga 3 Disember ini bagi membantu siasatan.
“Kita sedang giat mengesan rakan penjenayah yang masih bebas,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan mencuri kenderaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg