Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kereta rempuh blok di Yishun; pemandu kini di ICU, isteri maut

Jul 5, 2024 | 2:19 PM
Encik Aziz Shariff kini dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU) di Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 1 Jun.
Encik Aziz Shariff kini dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU) di Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 1 Jun. - Foto MOHAMMAD HANIF AZIZ

Seorang pesara berusia 76 tahun, mengalami kecederaan pada otak dan patah tulang rusuk manakala isterinya, seorang ustazah, terkorban dalam satu kemalangan kereta pada 1 Jun.

Pesara yang juga pemandu kereta itu, Encik Aziz Shariff, seorang penduduk tetap Singapura, kini dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU) di Hospital Khoo Teck Puat (KTPH).

Isterinya, Allahyarham Zaleha Maksum, 74 tahun, meninggal dunia pada hari sama selepas dihantar anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH).

Semasa dihubungi, anak ketiga Encik Aziz, Encik Hanif Aziz, berkata kereta yang dipandu bapanya itu terbabas dan merempuh laluan berbumbung berdekatan flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Yishun Street 81.

Menurut Pasukan Polis Singapura (SPF), ia dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut pada 1 Jun sekitar 3.45 petang.

Memberi kemas kini, Encik Hanif, 36 tahun, berkata bapanya belum dapat menggerakkan badan dan hanya mampu menggerakkan jarinya sedikit.

Menurutnya, kos rawatan hospital ayahnya berjumlah hampir $100,000.

Selepas kira-kira sebulan bertungkus-lumus mencari wang, keluarga beliau akhirnya berjaya mengumpul jumlah yang diperlukan untuk membayar bil hospital Encik Aziz melalui usaha pengumpulan dana di wadah Give.Asia.

Encik Hanif berkata jumlah dikumpul sudah menjangkau sasaran $150,000 yang ditetapkan sebelum ini.

“Saya berterima kasih kepada semua yang menderma… kami sekeluarga menghargai jasa semua orang yang menyumbang,” kata Encik Hanif ketika memberi butiran terkini mengenai keadaan ayahnya.

Sekiranya ada tambahan, Encik Hanif berkata keluarganya akan menggunakan wang itu untuk meneruskan rawatan Encik Aziz di Johor Bahru.

“Apabila ayah lebih stabil, kami merancang membawanya pulang ke Johor dan memindahkannya ke rumah penjagaan dengan kos rawatan lebih rendah,” ujar Encik Hanif, seorang kakitangan keselamatan di Asphalt Specialist Services Pte Ltd.

Menurut beliau, pada setiap Sabtu, Encik Aziz akan memandu Allahyarhamah Zaleha, seorang ustazah, dari rumah mereka di Taman Daya, Johor Bahru, ke Jamiyah Singapura bagi mengajar Al-Quran kepada pelajar buta.

Semasa melakukan rutin itu pada 1 Jun, Encik Aziz diserang angin ahmar ketika memandu.

Menurut Encik Hanif, ayahnya kini memerlukan alat sokongan pernafasan untuk terus hidup.

“Doktor terpaksa menebuk lubang di lehernya kerana beliau tidak dapat bernafas. Beliau boleh membuka mata tetapi tidak konsisten – hanya seketika, kemudian tutup.

“Doktor memberinya suntikan bagi menipiskan darah beku dalam paru-paru dan kaki kanannya tetapi dikatakan ada risiko yang boleh membuat kecederaan otaknya lebih teruk.

“Tetapi alhamdulillah, lama-kelamaan terdapat perubahan. Beliau mampu menggerakkan tangan dan kepalanya sedikit,” kongsi Encik Hanif.

Menurutnya lagi, para pelajar Allahyarhamha Zaleha yang rapat dengan keluarga pasangan itu terkejut mendapat tahu mengenai kejadian itu.

Abang Encik Hanif, Encik Nizam Aziz, 52 tahun, teknisyen kanan di SMRT, berkata beliau juga terkejut kerana baru menemui ibu dan bapanya dan bersarapan bersama pada pagi hari kemalangan.

Encik Hanif pula mendapat tahu tentang kemalangan itu daripada seorang kenalan yang mengenal pasti kereta dipandu ayahnya yang dimuat naik di media sosial.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg