Sebuah kereta merempuh sebatang tiang lampu di Tanjong Pagar Road pada dinihari 15 Disember, selepas dikejar pasukan polis.
Pihak polis berkata bahawa pegawai mereka berada di South Bridge Road sekitar 4.35 pagi ketika mereka mengesan sebuah kereta yang dipandu dengan kelajuan tinggi. Mereka cuba memberi isyarat supaya pemandu kereta itu berhenti, namun pemandu tersebut enggan mematuhi arahan dan terus memecut laju. Ketika dalam kejaran, pemandu dipercayai telah hilang kawalan ke atas kenderaannya sehingga menyebabkan kereta itu terhempas dan merempuh sebuah tiang lampu.
Pemandu dan beberapa penumpangnya kemudian melarikan diri menuju ke Tras Street.
Akhbar Shin Min Daily News melaporkan bahawa kejadian ini berlaku berdekatan dengan lokasi kejadian nahas pada tahun 2021, di mana sebuah kenderaan terbakar dan mengakibatkan lima orang terkorban. Lokasi kejadian baru ini berjarak kira-kira 140 meter dari kejadian sebelumnya menurut peta Google.
Menyusuli kejadian pada 15 Disember, dua orang penumpang iaitu seorang wanita berusia 22 tahun dan seorang lelaki berusia 32 tahun telah ditahan atas kesalahan berkaitan dadah. Lelaki itu, setelah ditemui dalam keadaan sedar, telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Seorang saksi kejadian yang ditemui oleh Shin Min melaporkan bahawa kereta yang terlibat telah berpusing sebelum akhirnya merempuh tiang lampu tersebut.
Saksi wanita itu juga turut mengesahkan bahawa terdapat tiga hingga empat individu yang cuba melarikan diri dari tempat kejadian dengan berlari ke arah yang berbeza sebelum salah seorang dari mereka ditangkap oleh pihak polis.
Siasatan polis sedang berterusan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg