Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kereta sewa privet tidak boleh dijual kepada individu 3 tahun selepas didaftar

Langkah demi stabilkan bekalan kenderaan yang digunakan untuk sedia khidmat sewa
Feb 19, 2025 | 8:10 PM
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata bahawa langkah ini  menstabilkan bekalan kenderaan yang digunakan untuk menyediakan perkhidmatan kereta sewa privet atau e-hailing.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata bahawa langkah ini menstabilkan bekalan kenderaan yang digunakan untuk menyediakan perkhidmatan kereta sewa privet atau e-hailing. - Foto ST

Mulai 19 Februari, syarikat perlu menyimpan kereta sewa privet (PHC) yang digunakan untuk perkhidmatan sewa atau e-hailing selama tiga tahun sebelum kereta tersebut boleh diletakkan di bawah skim lain atau dijual kepada individu.

Dalam satu kenyataan pada 19 Februari, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata langkah tersebut bertujuan menstabilkan bekalan kenderaan yang digunakan untuk menyediakan perkhidmatan kereta sewa privet atau e-hailing.

Agensi tersebut berkata pelaksanaan tempoh selama tiga tahun ini akan memastikan syarikat yang memperoleh kenderaan tersebut akan menyewakan sebahagian besar daripadanya kepada pemandu yang menyediakan perkhidmatan e-hailing.

Langkah ini juga akan menghalang perniagaan daripada mengeluarkan kereta itu daripada skim khidmat kereta sewa terlalu awal, yang boleh menjejas bekalan kereta yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat (P2P).

Sebelum ini, tidak ada sekatan terhadap penukaran seperti itu.

Keadaan ini berbeza dengan teksi, yang tidak boleh dijual atau ditukar menjadi kereta persendirian.

LTA berkata ia mahu mengumumkan peraturan baru ini selepas bidaan Sijil Hak Milik Kenderaan (COE) pada 19 Februari, tetapi vendor teknologi maklumatnya, NCS, mengeluarkan maklumat tersebut secara tidak sengaja.

Akibatnya, beberapa pemain industri dimaklumkan mengenai tempoh baru tiga tahun ini sebelum pengumuman yang dirancang itu.

“Untuk memastikan ketelusan dan keadilan bagi semua pihak berkepentingan, LTA telah memutuskan untuk mempercepatkan pelaksanaan dasar baru ini pada 19 Februari, sebelum bidaan COE ditutup,” kata agensi tersebut.

Satu notis pemberitahuan telah disebar seawal tengah hari pada 18 Februari, lapor The Straits Times.

Peraturan ini melibatkan kenderaan yang didaftarkan oleh perniagaan sebagai PHC dipandu, kenderaan yang ditukar oleh perniagaan untuk berfungsi sebagai PHC dipandu, dan kenderaan yang dimiliki oleh individu dan dipindahkan kepada syarikat sebagai PHC dipandu.

PHC yang didaftarkan oleh syarikat dengan COE yang diperoleh sebelum 19 Februari tidak terjejas.

Peraturan ini juga tidak melibatkan PHC yang dimiliki oleh individu, yang biasanya menggunakannya untuk perkhidmatan kereta sewa e-hailing serta perjalanan peribadi.

Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Dr Amy Khor dalam satu kiriman Facebook pada 19 Februari, berkata peraturan baru ini sebahagian daripada semakan semula sektor pengangkutan P2P yang dimulakan LTA sejak 2023.

Ini menyusuli langkah pada 2024 untuk memperbaiki aspek seperti ketersediaan dan keandalan khidmat teksi dan kenderaan PHC.

Kata Dr Khor lagi, perkembangan terkini akan diberikan semasa satu sidang Parlimen pada Mac.

Hingga Januari 2025, jumlah PHC – yang merangkumi kereta sewa dipandu (chauffered) dan kereta sewa pandu sendiri – ialah 90,882 unit, meningkat 11.2 peratus daripada 81,754 unit pada akhir 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg