Singapura menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam kategori celik huruf dan angka dalam laporan Program Penilaian Antarabangsa untuk Kecekapan Orang Dewasa (Piaac) terbaru yang dikeluarkan pada 10 Disember oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).
Dalam kategori baru “kemahiran penyelesaian masalah secara adaptif”, Singapura juga menunjukkan prestasi baik di atas purata OECD berbanding negara lain.
Laporan itu juga menunjukkan Singapura mencatat prestasi lebih baik berbanding negara seperti Korea, Sepanyol dan Italy, manakala Finland, Jepun, Sweden dan Norway adalah empat negara teratas dalam ketiga-tiga kategori.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SkillsFuture Singapura, Encik Tan Kok Yam, berkata walaupun keputusan itu menunjukkan pekerja Singapura telah berusaha untuk meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri, masih ada lagi ruang untuk melakukan lebih baik.
“Syarikat, institusi dan pemerintah perlu bekerjasama untuk memajukan gerakan SkillsFuture dan mencapai tiga matlamat.
“Bantu pekerja pertengahan kerjaya mendapat manfaat daripada pendidikan dan latihan lanjutan, mengekalkan kapasiti warga Singapura untuk belajar selepas mereka meninggalkan sekolah, dan memastikan tenaga kerja kekal relevan di tengah-tengah perubahan teknologi,” kata Encik Tan.
Kajian Piacc menilai kecekapan orang dewasa dalam kemahiran celik huruf, angka dan penyelesaian masalah yang mengiktiraf kemahiran sebagai “kemahiran pemprosesan maklumat utama” yang membolehkan orang dewasa memperoleh pengetahuan dan kemahiran baru.
Kategori celik huruf menguji keupayaan individu untuk memahami dan menilai teks bertulis, manakala kategori melibatkan angka menguji keupayaan individu untuk memahami dan menggunakan konsep matematik yang digunakan dalam kehidupan harian.
Kategori penyelesaian masalah adaptif pula menguji keupayaan individu untuk mencari penyelesaian dalam keadaan yang dinamik, terutama jika penyelesaian segera tidak tersedia.
Contohnya, mencari laluan terbaik untuk ke sesuatu tempat sekiranya terdapat sekatan jalan raya di hadapan.
Kira-kira 5,000 warga Singapura dan penduduk tetap berumur antara 16 dengan 65 tahun menyertai tinjauan itu, yang dijalankan dalam bahasa Inggeris oleh Institut Pembelajaran Dewasa (IAL) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) di Singapura antara September 2022 dengan Mei 2023.
Ini adalah kali kedua Singapura menyertai kajian itu.
Kajian pertama dijalankan dari 2014 hingga 2015. Sebanyak 31 negara menyertai kajian terkini berbanding 39 negara yang menyertai kajian pertama.
Ketika ditanya oleh Berita Harian (BH) mengapa terdapat perbezaan dalam bilangan negara yang menyertai, jurucakap SkillsFuture Singapura berkata kajian itu tidak wajib dan setiap negara boleh memilih untuk mengambil bahagian.
Di Singapura, warga Singapura berumur 25 tahun dan ke atas boleh menggunakan Kredit SkillsFuture untuk meningkatkan kemahiran mereka.
Warga Singapura berumur 40 tahun dan ke atas, yang sedang dalam pertengahan kerjaya, boleh menggunakan Program Peningkatan SkillsFuture untuk mengikuti latihan substantif, di antara beberapa daya usaha untuk membantu rakyat Singapura meningkatkan kemahiran
Walaupun Singapura menunjukkan prestasi yang baik dalam kemahiran celik huruf, angka dan penyelesaian masalah adaptif, kajian itu mendapati penguasaan dalam ketiga-tiga kategori merosot apabila responden semakin dewasa.
Mereka yang berumur antara 16 dengan 34 tahun menunjukkan prestasi melebihi purata OECD, manakala mereka yang berumur 55 hingga 65 tahun menunjukkan kecekapan purata terendah dalam semua kategori.
Mereka yang berpendidikan rendah juga mencapai mata lebih rendah berbanding mereka yang berpendidikan tinggi.
Bagi kategori melibatkan angka, Singapura mencapai kedudukan ke-10 dalam kalangan 31 negara, berbanding kedudukan ke-25 dalam kalangan 39 negara dalam kajian sebelum ini.
Ia memperoleh 274 mata, iaitu melebihi purata OECD sebanyak 263, dan lebih baik dari negara seperti Jerman, England, Perancis, Korea, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Italy.
Bagi kategori celik huruf, Singapura naik ke kedudukan ke-18 dalam kalangan 31 negara, berbanding kedudukan ke-28 yang dicapainya dalam kalangan 39 negara dalam kajian sebelum ini.
Singapura memperoleh 255 mata, di bawah purata OECD sebanyak 260, tetapi masih menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding negara seperti Korea, Sepanyol dan Italy.
Singapura turut mencapai kedudukan ke-14 dalam kalangan 31 negara dalam kategori penyelesaian masalah secara adaptif, lebih baik berbanding negara seperti Perancis, Amerika, Sepanyol, Korea dan Italy.
Ini adalah kali pertama penyelesaian masalah adaptif dinilai di bawah Piacc OECD.
Bagi kategori itu, Singapura memperoleh 252 mata, menunjukkan prestasi lebih sedikit di atas purata OECD 251.
Kajian itu juga mendapati mereka yang bertugas dalam pekerjaan yang memerlukan lebih banyak kemahiran lebih cenderung mendapat gaji lebih tinggi.
Penyertaan tenaga kerja Singapura dalam pendidikan berterusan juga setanding dengan purata OECD, dengan lebih 50 peratus responden yang menyertai latihan berkaitan pekerjaan melaporkan berbuat demikian untuk meningkatkan prospek kerjaya dan prestasi kerja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg