Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerja bagasi di Lapangan Terbang Changi tarik minat rakyat S’pura, namun sukar cari pekerja
Kerja bagasi di Lapangan Terbang Changi tarik minat rakyat S’pura, namun sukar cari pekerja
Kerja bagasi di Lapangan Terbang Changi tarik minat rakyat S’pura, namun sukar cari pekerja
Pekerjaan di lapangan terbang, termasuk mengendalikan bagasi, menarik minat pencari kerja tempatan. Namun, pengambilan pekerja masih mencabar. Tugas yang berat, syif yang tidak menentu dan perjalanan yang jauh boleh menyebabkan sesetengah pemohon menarik diri sebelum mula bekerja.
Menurut platform pengambilan pekerja FastJobs, hampir 600 pencari kerja memohon jawatan pengendali bagasi melalui portalnya. Kira-kira enam daripada 10 pemohon ialah warga Singapura dan penduduk tetap (PR).
Namun, banyak jawatan di lapangan terbang melibatkan syif panjang, kerja yang menuntut tenaga fizikal, pemeriksaan keselamatan sebelum mula bekerja, dan perjalanan jauh ke Changi.
“Faktor ini boleh menyebabkan pemohon menarik diri antara waktu memohon dengan hari pertama bekerja,” kata pengasas dan ketua pegawai eksekutif FastJobs, Encik Julian Tan.
Cabaran pengambilan pekerja itu menjadi perhatian selepas siasatan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) terhadap dugaan pelanggaran pas kerja yang melibatkan sekitar 45 syarikat.
Siasatan itu meliputi sekitar 270 pekerja yang diambil oleh kontraktor dan subkontraktor SATS, pengendali perkhidmatan darat lapangan terbang. Sebahagian daripada mereka disyaki bekerja dengan Pas Pekerjaan (EP) yang sepatutnya untuk profesional, pengurus dan eksekutif, tetapi ditempatkan dalam kerja bergaji rendah seperti mengendalikan bagasi.
SATS berkata pihaknya telah memulakan semakan yang lebih luas terhadap firma kontraknya. SATS juga membuat penyesuaian operasi, termasuk menempatkan semula kakitangan, bagi mengekalkan perkhidmatan di lapangan terbang.
Siasatan itu menimbulkan persoalan sama ada sekatan pengambilan pekerja asing untuk kerja perkhidmatan bergaji rendah menyumbang kepada penggunaan pas kerja secara tidak sah.
Di bawah rangka kerja tenaga kerja asing Singapura, majikan dalam sektor perkhidmatan boleh mengambil pemegang Permit Kerja dari Malaysia, China, Hong Kong, Macau, Taiwan dan Korea Selatan.
Majikan juga boleh mengambil pekerja dari beberapa negara lain seperti India, Bangladesh dan Myanmar. Namun, ini hanya untuk jawatan terpilih seperti anak kapal kabin, pekerja penjagaan kanak-kanak dan pemandu kenderaan berat.
Mengendalikan bagasi tidak termasuk dalam jawatan itu, kata MOM menjawab pertanyaan The Straits Times (ST).
Kementerian itu menambah bahawa ia menyemak senarai jawatan secara berkala dengan berunding bersama agensi sektor dan kesatuan sekerja. Semakan itu mengambil kira tahap kekurangan tenaga kerja tempatan dan sumber Permit Kerja lain yang diluluskan.