Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Kerja bina stesen Maju di Laluan Rentas Pulau bermula suku kedua 2024

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kerja bina stesen Maju di Laluan Rentas Pulau bermula suku kedua 2024

LTA anugerahkan kontrak $480j kepada firma setempat
Jan 31, 2024 | 07:09 PM



Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah menganugerah satu kontrak sivil bernilai $480 juta untuk reka bentuk dan pembinaan stesen Maju di bawah Fasa 2 Laluan Rentas Pulau (CRL) – laluan MRT kelapan Singapura.

Kerja pembinaan bagi stesen bawah tanah itu, yang terletak di bawah Clementi Road, akan bermula pada suku kedua 2024.

Orang ramai dijangka boleh menggunakan khidmat kereta api di stesen itu mulai 2032, lapor The Straits Times (ST).


Kontrak itu diberikan kepada firma KTC Civil Engineering and Construction, menurut LTA dalam satu kenyataan pada 31 Januari.

LTA menambah, firma tempatan itu pernah membina stesen pertukaran Tampines di Laluan Downtown dan stesen Orchard Boulevard di Laluan Thomson-East Coast (TEL) – kedua-duanya merupakan stesen bawah tanah.

Syarikat itu juga kini dalam tahap akhir bagi pembinaan stesen Sungei Bedok di TEL.

Apabila siap kelak, penumpang dari stesen Maju di barat boleh sampai ke stesen Hougang di timur laut dalam masa 35 minit sahaja, berbanding satu jam lima minit sekarang yang memerlukan perjalanan di kedua-dua bas dan MRT di Laluan Timur Laut (NEL).

Satu lagi contoh, penumpang dari stesen Maju boleh sampai ke stesen Jurong Lake District di CRL dalam masa 20 minit sahaja, berbanding 40 minit sekarang yang memerlukan perjalanan di kedua-dua bas dan MRT dari stesen Clementi ke stesen Jurong East di Laluan Timur Barat (EWL) .

Memandangkan stesen Maju adalah stesen bawah tanah yang terletak berhampiran pembangunan perumahan dan institusi pendidikan, LTA menyatakan kerja pembinaannya adalah mencabar, dengan struktur tanah beralun dan keadaan tanah bercampur.

Selepas satu kajian dijalankan bagi kesan projek CRL Fasa 2 terhadap alam sekitar, rancangan awal untuk membina stesen Maju dalam sempadan Hutan Clementi dibatalkan, dan ditukar ke lokasi di bawah Clementi Road. 

Langkah itu bertujuan mengurangkan jumlah tanah hutan yang digunakan bagi fasa kerja tersebut.

Selain itu, terowong yang menghubungkan stesen Maju dengan stesen King Albert Park di CRL telah dijajarkan semula untuk mengurangkan kesan terhadap kawasan yang penuh dengan hidupan liar.

Tapak pembinaan CRL berhampiran kawasan sensitif dari segi ekologi, seperti Hutan Clementi dan kawasan berdekatan Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah.

Walaupun dengan usaha tersebut, kajian itu mendapati CRL Fasa 2 masih boleh membawa kesan buruk yang besar terhadap alam sekitar.

LTA menyatakan ia akan terus melibatkan kumpulan alam semula jadi dan pihak berkepentingan lain dalam usaha itu, termasuk mengadakan satu program pengurusan flora dan fauna.

CRL, yang dibina dalam tiga fasa, merupakan laluan bawah tanah sepenuhnya yang terpanjang di Singapura, iaitu lebih 50 kilometer.

Fasa pertama CRL sepanjang 29 kilometer dan merangkumi 12 stesen dari Aviation Park ke Bright Hill, dijangka siap pada 2030.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >