Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerja keras hasil pasta unik, juarai pertandingan kulinari di M’sia

Jul 3, 2024 | 3:16 PM
pasta
Cef Muhammad Imran Sani (kanan) selepas meraih tempat pertama bagi kategori masakan Italy menggunakan pasta rekaan sendiri dalam pertandingan, ‘Battle of the Chefs’, di Spice Arena, Pulau Pinang, Malaysia pada 28 Jun. Bersamanya ialah Cef Audee Cheah, salah seorang anggota jawatankuasa bagi pertandingan tersebut. - Foto INSTAGRAM CHEFIMRANSG

Beliau tidak pernah menghadiri sebarang kelas formal di sekolah memasak.

Namun, berbekalkan usaha gigih dan minat, Cef Muhammad Imran Sani, 44 tahun, berjaya membuktikan kebolehannya mengalahkan pesaing dari Malaysia, Vietnam dan Korea.

Pada 28 Jun, Cef Muhammad Imran menjuarai kategori masakan Italy menggunakan pasta rekaan sendiri dalam pertandingan, ‘Battle of the Chefs’, di Spice Arena, Pulau Pinang, Malaysia yang berlangsung dari 26 hingga 29 Jun.

Pertandingan tiga hari itu telah menarik lebih 1,000 peserta yang terdiri daripada cef-cef terkemuka dunia anjuran Persatuan Cef Pulau Pinang.

Menurut Cef Muhammad Imran, sejak kecil, tidak pernah terlintas di hatinya ingin menjadi seorang tukang masak.

Namun, setelah bekerja di sebuah hotel sebagai pelayan sambilan, beliau mula tertarik dengan makanan yang disiapkan di dapur kerana semuanya tersusun dan kelihatan lazat.

Sebagai pelajar Diploma dalam Multimedia dan Teknologi Infokom di Politeknik Nanyang (NYP) pada waktu itu, beliau tertarik dengan penyediaan makanan yang dianggapnya artistik.

Maka tidak hairanlah, tatkala dunia sedang dilanda Covid-19, Cef Muhammad Imran, meluangkan masa menghasilkan pasta yang berbentuk dan berwarna unik sehingga mendapat perhatian ramai.

Pasta berjalur ciptaan, Cef Muhammad Imran Sani, melalui proses penyelidikan dan percubaan selama tiga bulan sebelum dapat dihasilkan.
Pasta berjalur ciptaan, Cef Muhammad Imran Sani, melalui proses penyelidikan dan percubaan selama tiga bulan sebelum dapat dihasilkan. - Foto INSTAGRAM CHEFIMRANSG

“Proses itu melibatkan penyelidikan, percubaan, dan perhatian yang teliti terhadap perincian – mengambil masa selama tiga bulan,” ungkap Cef Muhammad Imran.

Pada waktu itu juga, beliau telah menyiapkan ‘kit’ atau panduan pasta untuk mereka yang ingin mencuba memasak makanan Italy di rumah, yang bermutu seperti di restoran, lengkap dengan hiasannya.

Di akaun Instagramnya, Cef Muhammad Imran memberi tumpuan kepada penampilan estetika apabila beliau berkongsi gambar-gambar pasta berwarna-warni yang berlainan corak hasil rekaannya sendiri.

Hasil kerja keras dan daya kreativitinya ternyata membuahkan hasil.

Selaku pemenang, dalam pertandingan, ‘Battle of the Chefs’ itu, beliau menerima pingat emas dan sijil bagi mengiktiraf kedudukannya sebagai cef terbilang serantau ini.

Cef Muhammad Imran mengalahkan peserta lain dari Malaysia, Vietnam dan Korea Selatan dengan markah tertinggi 90 daripada markah keseluruhan 100.

Cef Muhammad Imran Sani, memberi tumpuan sepenuhnya sewaktu pertandingan masak, ‘Battle of the Chefs’, di Spice Arena, Pulau Pinang pada 28 Jun.
Cef Muhammad Imran Sani, memberi tumpuan sepenuhnya sewaktu pertandingan masak, ‘Battle of the Chefs’, di Spice Arena, Pulau Pinang pada 28 Jun. - Foto ihsan MUHAMMAD IMRAN SANI

Apabila ditanya perasaannya setelah memenangi pingat emas itu, Cef Muhammad Imran dengan berseloroh berkata:

“Perasaan sangat tertekan! Tetapi saya sangat gembira dan menikmati proses itu. Alhamdulillah syukur sangat-sangat!”

Cef Muhammad Imran berkongsi perjalanannya yang terpaksa bekerja lebih keras daripada bawah untuk bersaing dengan mereka yang sudah ada sijil dan pengalaman dari sekolah.

“Walaupun saya tidak ada pendidikan formal dalam bidang ini, bagi saya, bidang kulinari adalah satu perjalanan yang panjang, dan saya masih seronok belajar dan memperluaskan ilmu saya.

“Dalam pertandingan, saya tidak anggap pesaing lain sebagai lawan saya, saya cuma ingin membuat lebih baik dari sebelumnya, saya bertanding dengan diri sendiri,” terang Cef Muhammad Imran yang berkongsi bahawa pengalaman itu telah memberinya pengiktifaran sebagai pembikin pasta yang dikenali di peringkat serantau.

Pencapaiannya dalam dunia kulinari termasuk pengalaman memasak untuk restoran terkemuka dunia seperti Garibaldi dan Jamie Oliver.

Pada 2018, beliau yang bertanggungjawab sebagai Cef Eksekutif restoran Mint & Co di Oman berjaya mengharumkan nama restoran itu dengan anugerah Restoran Baru Terbaik 2018.

Anugerah itu anjuran bersama Oman Restaurant Awards dan akhbar, Muscat Daily.

Cef Muhammad Imran kini bergerak selaku cef bebas, menjadi konsultan dan juga jurulatih mengenai keju bersama dengan US Cheese Guild di Singapura.

Melaluinya, beliau mengajar tentang pelbagai jenis keju untuk demonstrasi dan pameran seperti, Food Hotel Asia dan di pasar raya NTUC Finest.

US Cheese Guild merupakan badan cemerlang khusus buat pembeli antarabangsa dan masyarakat pengguna.

Ia menyediakan akses kepada sumber dan perkhidmatan bagi rakan kongsi masakan, runcit dan perkhidmatan makanan di seluruh dunia.

Di samping itu, Cef Muhammad Imran, turut menyandang jawatan selaku Naib Presiden Persekutuan Kulinari Halal Singapura sejak 2023.

Berkongsi tentang rancangan pada masa depan, Cef Muhammad Imran, berkongsi beliau memendam hasrat untuk memiliki sebuah restoran pasta berkonsep terbuka.

“Kalau ada rezeki... insya-Allah,” katanya.

Cef Muhammad Imran akan mengadakan sesi makan privet termasuk hidangan pasta rekaannya yang menghambat hati juri. Sesi berharga $120 seorang itu terhad kepada 30 orang. Keterangan lanjut di akaun Instagram @chefimransg.

“Bagi saya, bidang kulinari adalah satu perjalanan yang panjang, dan saya masih seronok belajar dan memperluaskan ilmu saya. Dalam pertandingan, saya tidak anggap pesaing lain sebagai lawan saya, saya cuma ingin membuat lebih baik dari sebelumnya, saya bertanding dengan diri sendiri.”
Cef Muhammad Imran Sani, pereka pasta unik yang meraih tempat pertama dalam salah satu kategori di pertandingan, ‘Battle of the Chefs’ di Pulau Pinang.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg