Kerja landasan di Laluan Timur-Barat (EWL) berjalan mengikut jadual dan perkhidmatan tren biasa bakal dibuka semula seperti yang dirancang pada 11 Disember.
Perkembangan itu boleh dicapai jika tiada komplikasi yang tidak dijangka dan ujian pada bahagian terjejas berjalan lancar, kata Encik Chia Choon Poh, pengarah kumpulan rel (elektrik dan mekanikal) Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
“Sekitar 40 peratus kerja landasan telah siap, termasuk (pemasangan alat) bekalan kuasa dan isyarat,” kata Encik Chia dalam sesi taklimat media pada 8 Disember, hari kedua penggantungan perkhidmatan tren biasa antara stesen Tampines dengan Tanah Merah selama empat hari.
“Kami gembira berkongsi bahawa kerja-kerja berjalan dengan lancar, mengikut jadual,” tambahnya.
Penggantungan sementara ini diperlukan untuk menyambungkan laluan kereta api dengan Depoh Bersepadu East Coast (ECID) yang bakal dibuka pada 2026, lapor The Straits Times (ST).
Menurut Encik Chia, lebih 100 kontraktor dan jurutera LTA serta SMRT telah bekerja tanpa henti dalam syif lapan jam dan 12 jam bermula sekitar 1 pagi pada 7 Disember apabila penggantungan perkhidmatan tren biasa dikuatkuasakan.
Setakat pagi 8 Disember, landasan lama dan peralatan di sisi landasan telah dikeluarkan dan landasan baru telah dipasang untuk menggantikannya.
Lapan panel landasan baru telah dipasang dan disatukan untuk menyambungkan laluan kereta api dari ECID ke persimpangan di EWL, tambah Encik Chia.
Ketika ST melawat tapak tersebut pada 8 Disember, kerja pemasangan di sisi landasan sedang dijalankan, termasuk pemasangan rel ketiga, peralatan isyarat dan peralatan bekalan kuasa.
Sekitar 80 pekerja dilihat sedang menjalankan kerja-kerja di tapak tersebut.
Bergantung pada keadaan cuaca, bekalan kuasa akan diaktifkan dan jurutera akan memulakan ujian bekalan kuasa dan isyarat pada 9 Disember.
Kereta api akan dilancarkan di landasan untuk ujian terakhir sebelum perkhidmatan penumpang bermula pada 11 Disember.
Encik Chia berkata pihak jurutera telah membuat kemajuan yang baik dan “bekerja keras” bagi menyiapkan kerja secepat mungkin.
“Tetapi sekiranya hujan lebat atau petir berlaku secara tidak dijangka, kami terpaksa menghentikan kerja – ini adalah perkara yang saya tidak dapat kawal,” katanya.
Hari terakhir penggantungan perkhidmatan, 10 Disember, telah diperuntukkan sebagai tempoh penampan untuk ujian tambahan, kata Encik Chia, yang turut merakamkan ucapan terima kasih kepada penumpang atas kesabaran mereka.
Perkhidmatan tren dan bas ulang-alik telah disediakan untuk penumpang yang terjejas sepanjang empat hari penggantungan perkhidmatan antara stesen terjejas.
LTA berkata ia akan melakukan penutupan landasan lagi pada 2025 dan 2026 bagi memudahkan pembinaan ECID, dan butiran lanjut bakal diumumkan kelak.
Pada November, LTA dan SMRT berkata depoh bersepadu itu dijangka siap pada 2026, dengan 97 peratus kerja struktur telah siap.
Apabila beroperasi, depoh bersepadu ini dapat menampung sekitar 220 tren dari Laluan Downtown (DTL), Laluan Thomson-East Coast (TEL) dan EWL, bersama dengan depoh bas yang boleh menampung lebih daripada 500 bas.
Penumpang berkata mereka lega kerana perkhidmatan tren biasa bakal disambung pada 11 Disember.
Cik Clara Tay, 29 tahun, telah menggunakan laluan alternatif ke tempat kerja, yang menambah 15 hingga 20 minit kepada masa perjalanannya.
“Saya gembira kerana ia akan dibuka semula pada hari Rabu supaya saya boleh kembali ke laluan biasa yang lebih mudah,” kata Cik Tay, seorang pengurus produk.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg