Walaupun orang ramai beberapa kali diingatkan mengenai penggantungan perkhidmatan MRT antara Tanah Merah dan Tampines dari 7 hingga 10 Disember melalui media sosial, di stesen dan di dalam tren, sebilangan penumpang masih terkejut dengan penggantungan tersebut pada hari pertama ia dikuatkuasakan.
Namun, kebanyakan penumpang di Laluan Timur-Barat (EWL) pada pagi 7 Disember tidak begitu terjejas dengan penggantungan sementara itu.
Langkah yang diumumkan pada awal November ini diperlukan untuk menyambungkan laluan kereta api dengan Depoh Bersepadu East Coast (ECID) yang akan datang di Upper Changi Road East, dengan beberapa bahagian bersebelahan di EWL juga akan terjejas.
Sebagai ganti perkhidmatan tren biasa, perkhidmatan tren ulang-alik akan beroperasi setiap lima minit antara stesen Tampines dan Pasir Ris, setiap lapan minit antara stesen Tanah Merah dan Expo, serta setiap 11 minit antara Expo dan Lapangan Terbang Changi.
Perkhidmatan bas ulang-alik Shuttle 7 pula akan menghubungkan laluan yang tidak dilalui perkhidmatan tren ulang-alik itu.
Shuttle 7 akan beroperasi antara stesen Tampines, Simei dengan Tanah Merah dengan kekerapan tiga hingga lima minit, dengan harga tambang sama seperti tambang perjalanan MRT di laluan tersebut.
Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), sehingga 55 bas dua tingkat akan digunakan setiap hari untuk perkhidmatan bas ulang-alik itu.
Di kawasan menaiki bas ulang-alik di Tanah Merah, Simei dan Tampines, pagar logam dipasang bagi membolehkan penumpang beratur dengan teratur, lapor The Straits Times (ST).
Kakitangan SMRT, LTA dan kumpulan pekerja lain dikerahkan di stesen terjejas untuk membantu menunjukkan arah dan menjawab pertanyaan penumpang, manakala sebilangan lain menaiki kereta api untuk memberitahu penumpang ke arah mana mereka perlu pergi.
Ramai penumpang menggambarkan perjalanan MRT mereka pada 7 Disember sebagai lancar, namun sebilangan penumpang mengalami sedikit kekeliruan.
Cik Yuki Teo, 35 tahun, yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Changi, menyangka beliau boleh sampai ke Paya Lebar tanpa perlu menukar tren di stesen Expo.
Disebabkan kekeliruan yang berlaku, beliau kembali ke stesen Lapangan Terbang Changi melalui tren ulang-alik, sebelum menyusun semula perjalanannya.
“Ia agak mengelirukan, papan tandanya tidak begitu jelas,” katanya.
Cik Junaidah Abdul Rahman, 35 tahun, berkata beliau tidak menyedari tentang penggantungan perkhidmatan MRT kerana tiada papan tanda yang menjelaskannya di stesen Pasir Ris, tempat beliau menaiki tren.
Beliau hanya mendapat tahu tentang perkara itu apabila tiba di Tampines dan diminta untuk turun.
“Syif saya bermula pada 9 pagi, jadi saya sangat lewat,” kata jururawat di Hospital Parkway East, yang akhirnya terpaksa menaiki kereta sewa privet.
Pengendali EWL, SMRT, berkata ia bekerjasama rapat dengan LTA untuk memperbaiki usahanya dalam menguruskan penumpang sepanjang tempoh empat hari penggantungan perkhidmatan MRT terjejas itu.
Presiden SMRT Trains, Encik Lam Sheau Kai, menjelaskan beberapa usaha yang mereka jalankan untuk mengurangkan gangguan.
Usaha ini termasuk meningkatkan tenaga kerja sebanyak lima kali ganda di stesen terjejas, melakukan tinjauan terperinci untuk mengoptimumkan perkhidmatan bas ulang-alik, menyediakan air mineral di kawasan beratur utama – terutamanya di Simei yang bergantung sepenuhnya kepada bas ulang-alik – serta memberi panduan kepada penumpang mengenai laluan alternatif melalui notis, risalah dan panduan daripada kakitangan SMRT sendiri.
LTA sebelum ini menyatakan bahawa penggantungan sementara ini diperlukan untuk membolehkan penggantian landasan sepanjang 80 meter dan komponen berkaitan antara Simei dan Tanah Merah.
Disebabkan kawasan tersebut agak sempit, kerja-kerja ini hanya dapat dilakukan apabila tren tidak beroperasi.
Sekitar 100,000 penumpang dianggarkan akan terjejas oleh penggantungan perkhidmatan kereta api setiap hari, dengan masa perjalanan mereka dijangka bertambah 20 hingga 30 minit.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg