Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perkasa belia melalui kegiatan rohani dan lasak

Masjid Alkaff Kampung Melayu pupuk keyakinan diri, bina semangat generasi muda
May 9, 2025 | 5:30 AM
Ustaz Ammar Mohammad Bahrul-Ulum (duduk) bersama aktivis belia  Masjid Alkaff Kampung Melayu. Beliau mahu memanfaatkan kemahiran moden untuk berdakwah secara berkesan, kreatif dan relevan dengan keperluan semasa.
Ustaz Ammar Mohammad Bahrul-Ulum (duduk) bersama aktivis belia Masjid Alkaff Kampung Melayu. Beliau mahu memanfaatkan kemahiran moden untuk berdakwah secara berkesan, kreatif dan relevan dengan keperluan semasa. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Mendekati dan menarik belia menyertai kegiatan masjid adalah satu misi penting bagi Masjid Alkaff Kampung Melayu.

Salah seorang belia yang begitu aktif di Masjid Alkaff Kampung Melayu ialah Ustaz Ammar Mohammad Bahrul-Ulum, 23 tahun, yang bergiat di masjid itu seawal usia lima tahun. Sejak Februari 2025 pula, beliau bertugas sebagai Pegawai Pembangunan Belia di masjid di Bedok Reservoir Road itu.

“Sedari kecil saya sudah tolong pegang tabung derma masjid, menyertai kegiatan silat dan tadarus Al-Quran. Antara kenangan manis yang melekat dan masih segar dalam ingatan saya ialah menyertai kem motivasi ‘Camp Confirm Power’ pada 2008 di Malaysia bersama para belia Masjid Alkaff Kampung Melayu. Ia sangat menyeronokkan dengan pelbagai kegiatan lasak, termasuk flying fox (luncur keluang) dan white water rafting (berakit reda jeram), serta mandi air terjun di hutan,” ujar Ustaz Ammar.

Beliau “dibesarkan” dalam suasana masjid yang sarat dengan nilai agama dan amal ibadah. Ustaz Ammar menyaksikan pentingnya peranan masjid dalam pembangunan rohani dan sosial masyarakat. Justeru itu, timbul keinginannya berkhidmat di Masjid Alkaff Kampung Melayu secara sepenuh masa.

Bagi Ustaz Ammar, imam dan pendakwah yang berkongsi ilmu dan pengalaman mereka bersama jemaah masjid menjadi inspirasi beliau. Tugas sebagai Pegawai Pembangunan Belia membolehkan beliau meneruskan legasi dakwah yang dilihat dan dihayatinya itu. Beliau ingin terus mewujudkan suasana penuh nilai agama dan amal ibadah yang dialaminya sejak kecil dan sepanjang membesar buat belia hari ini.

Ustaz Ammar sedar akan perbezaan zaman belia dahulu dan sekarang serta peranan masjid sekarang.

“Peranan masjid amat besar dalam mendekatkan belia kepada masjid. Jika belia rajin dan suka ke masjid, insya-Allah mereka akan menjadi individu lebih berakhlak, berilmu, dan berjiwa besar dalam membina masyarakat,” ujarnya.

Beliau menambah: “Impian saya ialah menjadikan belia Masjid Alkaff Kampung Melayu sebuah generasi aktif, beriman dan berdaya saing dengan berpaksikan masjid sebagai pusat pembangunan diri dan masyarakat. Masjid harus dijadikan rumah kedua untuk belia. Masjid boleh membimbing, memberi inspirasi dan merapatkan hati belia kepada Allah serta masyarakat.”

Memandangkan ruang Masjid Alkaff Kampung Melayu kini terhad disebabkan projek naik taraf masjid (MUP), Ustaz Ammar merancang menganjurkan kegiatan belia di luar masjid, seperti kem di Johor, berbasikal di Pulau Ubin dan berlari anak di Marina Bay. Beliau juga merancang mengadakan ekspedisi mendaki gunung di India pada musim salji untuk belia masjid itu.

Ustaz Ammar berpendapat kegiatan di luar masjid dapat memupuk keyakinan diri dan membina semangat belia. Beliau sedia berganding bahu dengan masjid lain serta pertubuhan luar untuk menjayakan rancangan-rancangan itu.

Ustaz Ammar juga maklum akan masalah yang mungkin dihadapi belia, seperti rasa kehilangan atau dalam keadaan tertekan.

“Untuk belia di luar sana yang menghadapi masalah, dekatilah asatizah atau pegawai pembangunan belia di masjid. Mereka sedia mendengar dan membantu, bukan dalam hal ibadah sahaja, bahkan dalam membina keyakinan diri dan menetapkan hala tuju hidup.

“Masjid sentiasa terbuka untuk para belia yang memerlukan pertolongan,” ujarnya.

Ustaz Ammar mempunyai harapan besar terhadap aktivis belia.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang, saya berharap aktivis belia di Masjid Alkaff Kampung Melayu akan menjadi lebih proaktif serta mempunyai inisiatif dalam membantu masyarakat. Secara peribadi, impian saya bukan untuk membantu golongan memerlukan di luar masjid sahaja, malah bersama-sama menganjurkan program yang memberi impak positif kepada generasi muda.

“Saya juga berhasrat menjadi seorang pemimpin belia berwibawa, berlandaskan kefahaman agama kukuh, dan berupaya memanfaatkan kemahiran moden bagi menyampaikan dakwah secara kreatif serta relevan dengan keperluan semasa,” kata Ustaz Ammar lagi.

SEKILAS:

DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

1. Pemindahan bank ke akaun OCBC 581-608668-001.

Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar (screenshot) transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

2. Hantarkan cek anda atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU.

Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkannya kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D.

Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

4. Derma tunai

Datang ke pejabat Masjid Alkaff Kampung Melayu di 200 Bedok Reservoir Road pada waktu operasi 9 pagi hingga 5.30 petang antara Isnin hingga Khamis atau 9 pagi hingga 5 petang pada Jumaat.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg