Kerja pembaikian di lobi lif sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di kawasan Yew Tee sedang dijalankan selepas beberapa jubin lantai tertanggal pada malam 11 Mac.
Dalam satu video yang dimuat naik di TikTok, jubin lantai di kawasan lobi lif itu kelihatan terpelanting, dengan banyak jubin yang pecah atau tertanggal dari tempat asalnya, lapor The Straits Times (ST).
Sehingga 3 petang pada 12 Mac, video tersebut telah meraih 432,300 tontonan, dengan lebih 12,000 perkongsian.
Dalam satu hantaran di Facebook, Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee, Encik Alex Yam, berkata kejadian tersebut berlaku di Blok 691A, Choa Chu Kang Crescent.
“Setelah dimaklumkan, pekerja majlis bandaran kami segera bertindak untuk mengeluarkan jubin yang tertanggal sebagai langkah berjaga-jaga.
“Mereka juga telah meletakkan kain kanvas di permukaan (lantai) untuk membolehkan penduduk terus menggunakan lobi itu,” kata Encik Yam, sambil menambah jubin gantian telah dipesan dan kerja pembaikian dijangka siap dalam masa dua minggu.
“Jubin yang tertanggal biasanya disebabkan oleh perubahan suhu cuaca atau faktor lama.
“Kami memohon kesabaran semua pihak sepanjang tempoh ini dan memohon maaf atas kesulitan yang timbul.
“Sila berhati-hati ketika berjalan di permukaan yang tidak rata sepanjang tempoh ini,” kata Encik Yam.
ST telah menghubungi Majlis Bandaran Marsiling-Yew Tee untuk mendapatkan perincian lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg