Kerja pengukuhan terowong CCL capai hampir 50%, dijangka siap 19 April

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerja pengukuhan terowong CCL capai hampir 50%, dijangka siap 19 April

Feb 10, 2026 | 7:17 PM

Kerja pengukuhan terowong CCL capai hampir 50%, dijangka siap 19 April

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapore, CCL, MRT, tunnel, terowong, kerja pengukuhan, LTA
Pekerja memasang salah satu kepingan keluli terakhir menggunakan lengan robot semasa kerja di terowong stesen MRT Dakota pada 9 Februari. - Foto ST

Hampir separuh kerja pengukuhan terowong bawah tanah antara stesen Mountbatten, Dakota dan Paya Lebar di Laluan Circle (CCL) telah disiapkan, dengan kerja bagi terowong kedua dijangka bermula menjelang akhir Februari.

Bahagian terowong yang telah siap adalah laluan menuju ke stesen HarbourFront.

Kerja kemudian akan beralih ke terowong kedua – yang menuju ke Marina Bay dan Dhoby Ghaut – menjelang akhir Februari, kata Pengarah Peningkatan Infrastruktur Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Encik Saiful Rasno, pada 9 Februari.

Beliau menambah bahawa kerja tersebut berjalan dengan lancar dan akan disiapkan menjelang 19 April.

Apabila kerja beralih ke terowong kedua, perkhidmatan tren serta tempoh selang masa kekal seperti sedia ada. Penumpang hanya perlu mengikuti papan tanda untuk menaiki tren ulang-alik dari platform bertentangan, menurut LTA.

Sepanjang gangguan terancang selama tiga bulan itu, perkhidmatan tren masih berjalan di seluruh laluan, namun dengan masa menunggu lebih panjang.

LTA mengumumkan pada 10 Disember bahawa kerja pengukuhan terowong akan dijalankan antara stesen Mountbatten, Dakota dan Paya Lebar dari 17 Januari hingga 19 April.

Terowong yang menghubungkan stesen tersebut ditutup satu demi satu bagi membolehkan pemasangan gelang keluli. Laluan sepanjang 450 meter yang terjejas turut merangkumi sebahagian terowong antara stesen Stadium dengan Mountbatten.

Terowong itu dibina di atas tanah liat marin yang lembut, menyebabkan strukturnya lebih mudah berubah bentuk. Beberapa kecacatan kecil seperti kebocoran air telah dikesan, dan gelang keluli dipasang untuk mengukuhkan terowong.

Walaupun tiada risiko keselamatan segera, kegagalan menangani kecacatan tersebut boleh menyebabkan gangguan perkhidmatan yang serius, menurut LTA.

Semasa lawatan ke terowong antara stesen Dakota dengan Paya Lebar pada 9 Februari, The Straits Times (ST) menyaksikan pemasangan gelang keluli terakhir, iaitu satu daripada 152 gelang keluli di sepanjang laluan tersebut.

Setiap gelang terdiri daripada enam kepingan keluli yang dihasilkan di China mengikut ukuran khusus. Lebih 300 gelang keluli dijangka dipasang apabila kerja itu selesai sepenuhnya.

Di sebalik tabir, jurutera bergantung kepada jentera khusus bagi menjalankan kerja pemasangan terowong dengan cekap dan selamat dalam operasi sepanjang masa.

Dalam demonstrasi pada 9 Februari, jurutera menunjukkan bagaimana lengan robot digunakan untuk memasang kepingan keluli dengan tepat. Ini merupakan kali pertama lengan robot digunakan dalam kerja terowong seumpama itu, kata Encik Saiful.

“Kami dapat mencapai kemajuan yang baik serta produktiviti tinggi dengan penggunaan lengan robot,” katanya.

Setiap kepingan keluli seberat kira-kira 800 kilogram. Lengan robot mengangkat kepingan tersebut ke dinding terowong dan menahannya di tempat yang betul sementara jurutera memasang lima bolt mekanikal bagi tujuan penetapan sementara.

Proses itu diulang sepanjang terowong menggunakan dua lengan robot, masing-masing dikendalikan oleh pakar dari China.

Secara keseluruhan, lima pengendali terlibat, selain lebih 300 jurutera dan kontraktor yang bekerja secara bergilir-gilir sepanjang masa sejak kerja dimulakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg