Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerja persediaan Long Island berhampiran Taman East Coast mula Jan
Kerja persediaan Long Island berhampiran Taman East Coast mula Jan
Kerja persediaan bagi projek Long Island akan bermula pada Januari 2027. Projek itu melibatkan penambakan tanah berhampiran Taman East Coast untuk melindungi kawasan pantai Singapura daripada kenaikan paras laut.
Pada masa sama, pantai, laluan senaman, trek dan kemudahan lain di taman itu akan kekal dibuka kepada orang ramai sepanjang tempoh kerja persediaan dijalankan.
Kerja persediaan di sebelah timur Jeti Bedok hanya akan bermula selepas Sukan SEA 2029, yang akan diadakan di Singapura.
Satu sesi baharu untuk mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai cadangan projek Long Island dan pilihan akses ke kawasan itu juga akan bermula pada Januari 2027.
Kerja persediaan itu akan dijalankan “dalam beberapa tahun akan datang” bagi menyokong pelaksanaan projek mengikut jadual yang ditetapkan.
Namun ia tidak akan menentukan reka bentuk terperinci akhir projek tersebut, kata Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam satu kenyataan media pada 17 November.
Halangan di dasar laut akan dialihkan terlebih dahulu, diikuti pembinaan benteng pasir sementara dan kerja mengisi pasir.
Kapal akan dikerahkan di perairan tersebut, dengan kawasan kerja yang ditetapkan dibatasi dengan jelas menggunakan penghadang terapung demi keselamatan orang ramai.
Pengguna ruang laut dinasihatkan supaya mengekalkan jarak selamat daripada kawasan kerja yang ditetapkan serta kapal marin yang dikerahkan di perairan berhampiran Taman East Coast dan penghadang terapung tersebut.
Selain itu, nasihat keselamatan akan dipaparkan di taman tersebut dan diterbitkan di laman web agensi berkenaan sebelum kerja bermula. Nasihat tersebut akan dikemas kini apabila perlu.
Beberapa langkah akan dilaksanakan untuk mengurangkan kesan kerja tersebut terhadap alam sekitar dan aktiviti di kawasan itu.
Bagi memastikan langkah itu berkesan, agensi berkenaan akan memantau rapi keadaan alam sekitar seperti kualiti air, bunyi bising dan habuk.
Diperkenalkan sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang pembangunan Singapura pada 1991, Long Island kini telah berkembang menjadi pertahanan pesisir pantai berskala besar menentang kenaikan paras laut, yang akan turut mewujudkan takungan air tambahan dan tanah untuk keperluan masa depan.
Lebih 15,000 orang telah berkongsi pandangan mereka dengan agensi berkenaan tentang projek itu sejak November 2023, menerusi perbincangan kumpulan, dialog, pameran dan tinjauan dalam talian.
Agensi-agensi berkenaan menyatakan orang ramai telah memberikan cadangan yang bermakna. Antaranya, takungan air masa depan direka untuk menyokong pelbagai sukan air.
Pantai dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi juga dicadangkan untuk diintegrasikan sepanjang garis pantai baharu. Selain itu, Long Island perlu dihubungkan dengan baik ke kawasan lain di Singapura.
Agensi-agensi berkenaan sebelum ini memberitahu The Straits Times (ST) bahawa kerja persediaan akan dijalankan dalam dua fasa di sekitar kawasan tumpuan memancing, Jeti Bedok.
Fasa pertama di sebelah barat jeti itu akan meliputi kawasan seluas sekitar 570 hektar dan sejauh kira-kira 7 kilometer.
Fasa kedua di sebelah timur jeti itu akan bermula selepas selesainya acara sukan antarabangsa utama yang diadakan di Singapura, termasuk Sukan SEA pada 2029, bagi membolehkan aktiviti sukan air di luar Taman East Coast.