Fasa pertama kerja persediaan bagi projek Long Island bakal dimulakan di kawasan perairan sebelah barat Jeti Bedok di East Coast mulai akhir 2026.

Long Island merupakan langkah penting untuk melindungi salah satu kawasan paling rendah di Singapura, termasuk kawasan pesisir pantai East Coast, daripada kenaikan paras air laut dan banjir.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 30 Jun, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) serta Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menyatakan bahawa terdapat kesan terhadap sukan laut dan biodiversiti di situ.

Lantas, kerja tersebut akan dijalankan secara berperingkat, dengan langkah diambil bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan masyarakat.

Orang ramai boleh terus mengunjungi Taman East Coast dengan kegiatan seharian seperti berlari-lari anak, berbasikal serta berenang di pesisir pantai boleh diteruskan.

Namun, beberapa kegiatan sukan laut bakal terjejas, khususnya luncur lelayang yang dijangka paling terjejas.

Menjawab soalan Berita Harian (BH), Majlis Sukan Singapura (SportSG) berkata beberapa agensi akan terus bekerjasama rapat dengan penggiat sukan laut yang terjejas, bagi membantu mereka memindahkan kegiatan masing-masing ke kawasan perairan alternatif.

Ini termasuk perairan di sebelah timur Jeti Bedok, Changi, Pasir Ris, Sembawang dan Sentosa.

Long Island merupakan langkah penting untuk melindungi salah satu kawasan paling rendah di Singapura, termasuk kawasan pesisir pantai East Coast, daripada kenaikan paras air laut dan banjir. Dalam laporan sebelum ini, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) memaklumkan beberapa kawasan tepi laut, seperti Taman East Coast, telah mengalami banjir pantai dalam beberapa tahun kebelakangan ini akibat air pasang bermusim.
Long Island merupakan langkah penting untuk melindungi salah satu kawasan paling rendah di Singapura, termasuk kawasan pesisir pantai East Coast, daripada kenaikan paras air laut dan banjir. Dalam laporan sebelum ini, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) memaklumkan beberapa kawasan tepi laut, seperti Taman East Coast, telah mengalami banjir pantai dalam beberapa tahun kebelakangan ini akibat air pasang bermusim. - Foto ST

Kerja persediaan akan dilaksanakan menerusi dua fasa.

Fasa pertama, yang merangkumi kawasan perairan seluas sekitar 570 hektar, akan dilaksanakan di sebelah barat Jeti Bedok, iaitu dari Bendungan Marina hingga ke Jeti Bedok.

Semua kerja tersebut akan dilakukan sekurang-kurangnya 130 meter dari pesisiran pantai dan akan jelas dipaparkan dengan penghadang terapung serta tabir kelodak demi keselamatan pengunjung.

Fasa kedua pula akan dilakukan di perairan sebelah timur Jeti Bedok, meliputi kawasan seluas sekitar 155 hektar.

Menjawab pertanyaan BH, HDB dan URA menjelaskan bahawa fasa kedua hanya akan bermula selepas Sukan SEA 2029 melabuhkan tirai.

Langkah ini bagi menyokong penggiat sukan laut dan memastikan kelancaran penganjuran beberapa temasya sukan utama, termasuk temasya dwitahunan itu, yang bakal dianjurkan Singapura.

Mengulas lebih lanjut, SportSG berkata:

“Beberapa kegiatan sukan laut akan terjejas oleh kerja persediaan yang bakal dijalankan, berikutan pengurangan ruang laut di sepanjang East Coast.

“Kesan tersebut akan dikurangkan melalui pelaksanaan kerja persediaan secara berperingkat... kawasan perairan di timur Jeti Bedok akan terus dibuka bagi kegiatan sukan laut sehingga sekurang-kurangnya 2029, sekali gus membolehkan kegiatan dan acara diteruskan sepanjang tempoh ini.”

Permulaan fasa kedua kerja persediaan akan diumumkan pada masa hadapan dan tiada rancangan untuk menjalankan kerja persediaan di kawasan ketiga, tambah HDB dan URA.

HDB dan URA menjelaskan bahawa kerja persediaan tersebut amat penting untuk mempersiapkan landasan yang kukuh bagi projek tambakan berskala besar di East Coast.

“Ini bertujuan memastikan projek Long Island dapat dilaksanakan tepat pada masanya, supaya ia dapat menangani risiko iklim serta memenuhi keperluan negara kita,” kata HDB dan URA.

Sekilas kegiatan yang boleh diteruskan.
Sekilas kegiatan yang boleh diteruskan. - Grafik BH oleh HISYAM ABDUL RAHMAN
Kerja persediaan tidak akan menjejas kegiatan popular seperti berlari-lari anak, berbasikal, dan berenang di pesisir pantai.
Kerja persediaan tidak akan menjejas kegiatan popular seperti berlari-lari anak, berbasikal, dan berenang di pesisir pantai. - Foto fail
Beberapa kegiatan sukan laut bakal terjejas, dengan sukan luncur lelayang dijangka paling terjejas.
Beberapa kegiatan sukan laut bakal terjejas, dengan sukan luncur lelayang dijangka paling terjejas. - Foto fail

Dalam satu hantaran Facebook pada 30 Jun, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata orang awam boleh terus mengunjungi pantai dan trek senaman di Taman East Coast dengan selamat sepanjang tempoh kerja persediaan.

HDB telah menugaskan satu kajian persekitaran untuk memahami kesan kerja persediaan terhadap alam sekitar dan masyarakat, serta melaksanakan langkah terbaik untuk mengurangkan kesan tersebut dan meningkatkan keselamatan awam.

Selain kesan yang lebih besar terhadap beberapa penggiat sukan laut, kajian persekitaran itu mendapati bahawa kegiatan di darat dan pesisiran pantai secara amnya tidak terjejas.

Kegiatan memancing di pesisir pantai dan Jeti Bedok juga boleh diteruskan. Namun, kerja persediaan tersebut dijangka bakal menjejas hasil tangkapan ikan.

Mengenai sokongan yang diberikan kepada pihak pengendali sukan laut di East Coast yang mungkin terjejas, URA berkata:

“Agensi berkenaan telah menawarkan lanjutan sewa yang lebih singkat bagi memberikan lebih fleksibiliti kepada pihak perniagaan dalam tempoh ini.

“Kami juga akan terus mendekati penyewa dengan rapat dan menyokong rancangan peralihan mereka, sekiranya perlu.

“Secara amnya, kami tidak menjangka kerja persediaan akan menjejas kegiatan darat.

“Meskipun beberapa kawasan perairan Taman East Coast mungkin terjejas semasa fasa kerja yang berbeza, keadaan ini akan diuruskan dan disusun secara berperingkat dengan teliti.”

Sekilas kesan kepada persekitaran di East Coast yang dijangkakan semasa kerja persediaan bagi projek Long island dijalankan.
Sekilas kesan kepada persekitaran di East Coast yang dijangkakan semasa kerja persediaan bagi projek Long island dijalankan. - Grafik BH oleh HISYAM ABDUL RAHMAN
Kegiatan memancing di pesisir pantai dan Jeti Bedok juga boleh diteruskan. Namun, kerja persediaan tersebut dijangka bakal menjejas hasil tangkapan ikan.
Kegiatan memancing di pesisir pantai dan Jeti Bedok juga boleh diteruskan. Namun, kerja persediaan tersebut dijangka bakal menjejas hasil tangkapan ikan. - Foto fail

Kajian persekitaran juga menggariskan bahawa beberapa hidupan pesisiran pantai dan marin secara umumnya bakal mengalami kesan jangka pendek dan setempat semasa tempoh kerja persediaan.

Misalnya, kelompok batu karang dan rumput laut berdekatan dengan kawasan kerja persediaan dijangka terjejas oleh peningkatan kadar sedimen di dalam air.

Peningkatan kadar sedimen di dalam air bakal menghalang cahaya matahari daripada bersinar ke dalam air secara berkesan, sekali gus menjejaskan kelangsungan beberapa hidupan marin.

Ia juga bakal mengganggu pergerakan dan pernafasan haiwan marin.

Untuk mengurangkan kesan demikian, tabir kelodak akan dipasangkan untuk menyekat peningkatan sedimen, manakala kadar debu akan terus dipantau.

Tabir kelodak dipasangkan di dalam perairan untuk menyekat peningkatan kadar sedimen daripada menjejas kelangsungan  terumbu karang di sekeliling Pulau Semakau. Langkah yang serupa akan diambil di perairan East Coast sepanjang tempoh kerja persediaan bagi projek Long Island.
Tabir kelodak dipasangkan di dalam perairan untuk menyekat peningkatan kadar sedimen daripada menjejas kelangsungan terumbu karang di sekeliling Pulau Semakau. Langkah yang serupa akan diambil di perairan East Coast sepanjang tempoh kerja persediaan bagi projek Long Island. - Foto NEA

HDB dan URA turut menjamin bahawa mutu air akan berada pada tahap yang sesuai sepanjang tempoh kerja persediaan.

Risiko kejadian tumpahan minyak juga rendah, memandangkan bilangan kapal yang terlibat dalam kerja persediaan terhad, selain langkah mitigasi yang disediakan.

Proses pendaratan untuk penyu bertelur juga boleh diteruskan di kawasan timur Jeti Bedok sepanjang fasa pertama kerja persediaan, dan akan terus disokong pada jangka panjang menerusi projek mengalihkan telur ke Pulau Subar (Sisters’ Island) oleh Lembaga Taman Negara (NParks).

Spesies burung yang mencari makanan di perairan East Coast juga dijangka mengalami kesan kecil, kerana mampu dipindah ke tempat lain.

Menurut HDB dan URA, kajian persekitaran itu merupakan fasa pertama, yang meneliti kesan kerja persediaan. Ia telah dijalankan dari sekitar Februari 2025 hingga Jun 2026, dengan kerjasama beberapa kumpulan sekitar untuk meneliti skop kajian serta mendapat maklum balas.

Laporan kajian persekitaran pertama tersebut diterbitkan pada 30 Jun, dan orang awam boleh memberi maklum balas selama empat minggu.

Peringkat kedua kajian persekitaran untuk menilai kesan daripada kerja penambakan tanah pula kini sedang dijalankan, dan dijangka selesai dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Proses pendaratan untuk penyu bertelur bakal terjejas oleh kerja persediaan. HDB dan URA berkata proses itu boleh diteruskan di kawasan timur Jeti Bedok sepanjang fasa pertama kerja persediaan. Penyu juga akan terus disokong menerusi projek mengalihkan telur ke Pulau Subar (Sisters’ Island) oleh Lembaga Taman Negara (NParks).
Proses pendaratan untuk penyu bertelur bakal terjejas oleh kerja persediaan. HDB dan URA berkata proses itu boleh diteruskan di kawasan timur Jeti Bedok sepanjang fasa pertama kerja persediaan. Penyu juga akan terus disokong menerusi projek mengalihkan telur ke Pulau Subar (Sisters’ Island) oleh Lembaga Taman Negara (NParks). - Foto ST

Pihak berkuasa menambah bahawa Rancangan Pemantauan dan Pengurusan Alam Sekitar (EMMP) akan dilaksanakan untuk memantau mutu air, pencemaran bunyi dan debu sepanjang tempoh kerja persediaan secara teliti.

Dalam pada itu, pihak berkuasa menegaskan bahawa kawasan kerja persediaan tidak mencerminkan tanah tambak bagi projek Long Island, yang dijangka mengambil masa beberapa dekad untuk diselesaikan.

HDB dan URA berkata:

“Kerja tambakan tanah utama bagi projek Long Island akan dilaksanakan pada masa depan, hanya selepas pihak agensi berkenaan menyelesaikan kajian teknikal, menentukan langkah pencegahan sewajarnya serta meneliti dan mengambil kira maklum balas daripada orang awam.”

Selain itu, pihak agensi akan merancang lebih banyak sesi pendekatan dengan pihak berkepentingan dan orang ramai untuk mendalami isu utama mulai akhir 2026.

Ia termasuk topik seperti pembangunan mampan, usaha memenuhi keperluan masa depan, serta aktiviti riadah di sepanjang pesisir pantai dan takungan air pada masa depan.

Menurut Encik Chee, agensi yang terlibat telah mendapat saranan dan maklum balas daripada lebih 14,000 individu.

“Kerja tambakan tanah utama bagi projek Long Island akan dilaksanakan pada masa depan, hanya selepas pihak agensi berkenaan menyelesaikan kajian teknikal, menentukan langkah pencegahan sewajarnya serta meneliti dan mengambil kira maklum balas daripada orang awam.”
Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam kenyataan bersama.