Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerjasama untuk bantu kanak-kanak kurang kemampuan sertai aktiviti pengayaan
Kerjasama untuk bantu kanak-kanak kurang kemampuan sertai aktiviti pengayaan
Kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah akan menerima $3,000 setahun untuk belajar sukan atau alat muzik baharu, atau menyertai program tambahan.
Ini merupakan hasil kerjasama baharu antara Dana Wang Saku Sekolah Straits Times (STSPMF) dengan Quantedge Foundation.
Kredit itu akan diberikan kepada 50 penerima STSPMF berumur tujuh hingga sembilan tahun melalui Dana Mobiliti Sosial Quantedge pada awal 2027.
Kanak-kanak itu kemudian boleh membelanjakan kredit tersebut bagi pelbagai peluang dan produk pilihan yang tersedia di platform dana itu.
Kerjasama terbaharu itu diumumkan semasa majlis makan tengah hari penghargaan tahunan STSPMF pada 2 Oktober di auditorium SPH Media di Toa Payoh.
Dalam ucapannya di majlis itu pengerusi STSPMF, Encik Jaime Ho, berkata platform itu menangani masalah ketidaksamaan akses kepada peluang.
Ia memberi keluarga berpendapatan rendah sumber dan pilihan untuk menentukan apa yang membantu anak mereka maju.
“Wang saku untuk waktu rehat masih penting, tetapi anak-anak kita juga mahukan peluang belajar di luar bilik darjah, meneroka minat mereka, mencuba perkara baharu dan menikmati pengalaman bermakna yang sama seperti rakan sebaya mereka,” kata Encik Ho yang juga editor ST.
Beliau menambah bahawa STSPMF menyokong kira-kira 11,000 pelajar pada 2026, meningkat daripada 7,000 pada 2024.
Peningkatan itu hasil daripada peluasan kriteria kelayakan dana supaya sepadan dengan Skim Bantuan Kewangan (FAS) Kementerian Pendidikan (MOE).
Ketua eksekutif Quantedge Foundation, Encik Xie Yao Quan, berkata apabila masyarakat menjadi semakin berjaya, jurang peluang antara mereka yang mempunyai lebih sumber dengan mereka yang kurang akan membesar.
Encik Xie yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi Jurong Central, berkata:
“Perbezaan peluang yang diterima seorang kanak-kanak boleh memberi kesan besar, kerana jurang itu semakin besar apabila kanak-kanak itu meningkat dewasa.
“Kami mahu memberi lebih banyak peluang kepada kanak-kanak yang lahir dalam keluarga kurang berkemampuan.”
Penyelia Dana Mobiliti Sosial di Quantedge Foundation, Encik Hyder Albar, berkata keluarga berpendapatan tinggi lebih mampu membayar untuk perkhidmatan dan produk berbanding keluarga berpendapatan rendah.
Kekurangan akses itu boleh menjadi ‘kerugian’ yang semakin besar seiring masa.
Sebagai contoh, laporan yang diterbitkan Institut Pengajian Dasar (IPS) pada 25 September mendapati purata perbelanjaan bulanan untuk tuisyen meningkat daripada $318 pada 2016 kepada $677 pada 2026.
Keluarga berpendapatan rendah mungkin tidak mampu membelanjakan wang sebanyak itu untuk tuisyen, kata Encik Albar.
Pada peringkat awal, dana baharu itu akan membantu 50 kanak-kanak Singapura daripada keluarga yang mempunyai pendapatan per kapita sebanyak $1,000 atau kurang.
Platform itu akan dipertingkat berdasarkan cara keluarga menggunakan dompet digital dan membuat pilihan.
Wang $3,000 itu akan diberikan dalam tiga bayaran, dengan $1,000 bagi setiap bayaran.
Antara tawaran platform itu ialah tuisyen, kelas tarian, kelas melukis, kelas robotik, kelas pengekodan, latihan bola sepak dan kelas renang.